Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usahawan tidak kecewa, anggap peluang buka mata

Penjaja S’pura tutup cawangan burger Ashes Burnnit di New York

Nov 22, 2023 | 05:35 PM



Rangkaian perniagaan penjaja tempatan, Ashes Burnnit – yang terkenal dengan sajian burger – telah menutup satu-satunya cawangan di New York, Amerika Syarikat, pada hujung September 2023.

Ini berikutan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran mendapatkan visa pekerjaan di sana, kata pemilik Ashes Burnnit, Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee.

Gerai tersebut, yang terletak dalam ruang penjaja Urban Hawker berdekatan mercu tanda ikonik Times Square, telah beroperasi selama sekitar setahun selepas dibuka secara rasmi pada September 2022.

Pusat makanan itu ialah hasil kerjasama antara syarikat setempat MakanSutra yang diasaskan cef dan usahawan, Encik KF Seetoh, dan syarikat Amerika, Urbanspace.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Encik Syafiq mengesahkan beliau terpaksa menghentikan operasi gerai di New York kerana mendapati sukar meneruskan operasi harian.


“Sungguhpun kami dapat sambutan baik semasa tiga bulan pertama pembukaan, ia bertambah sukar menjelang bulan-bulan berikutnya.

“Misalnya bagi beberapa kakitangan dari Singapura, kami mendapatkan visa sementara tetapi gagal mendapatkan visa pekerjaan tetap (untuk mereka),” tambah usahawan berusia 31 tahun itu.

Beliau berkata visa sementara yang dimaksudkan adalah visa B1.


Menurut laman rasmi Jabatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, visa tersebut membolehkan individu atas tujuan perundingan, menghadiri persidangan dan berunding kontrak tetapi tidak membenarkan individu bekerja di Amerika Syarikat.


Ini di samping kos operasi lebih mahal – yang beliau katakan adalah 1.5 kali ganda lebih tinggi – berbanding mengendalikan gerai di sini.

Beliau memberi contoh perangkaan gaji tukang masak di Amerika yang boleh mencecah AS$4,000 ($5,361) sebulan, selepas cukai secara purata, berbanding Singapura dengan gaji tukang masak adalah sekitar $2,300 secara purata.

Encik Syafiq berkata: “Perlindungan insurans juga menjadi tanggungjawab syarikat, jadi ini sedikit sebanyak menelan belanja (bagi perniagaan).”

Tetapi cabaran terhebat baginya adalah mengimbangi perniagaan di Singapura dan New York secara serentak.

Menurutnya, perbezaan waktu 13 jam antara Singapura dan New York “menyukarkan pengimbangan operasi” dan mengurangkan masa terluang bersama keluarganya.

Beliau berkongsi ada kala perlu berhubungan pada 12 malam (waktu New York) untuk mengurus perniagaan di Singapura apabila waktu tempatan adalah 11 pagi.

Namun demikian, beliau berkata tidak sedikit pun rasa kecewa dengan keputusan membuka cawangan di sana kerana pengalaman itu “banyak membuka mata sebagai usahawan”.

“Ini adalah masanya untuk lakar semula strategi dan tumpu kepada pengurusan keenam-enam cawangan (di Singapura).

“Lebih dari itu, pengalaman ini mengajar saya cara membuka bisnes di luar negara dan belajar cara mengendalikan kakitangan (dari berbilang negara),” ujar beliau.

Dengan nada penuh optimis, beliau melahirkan harapan membuka semula gerai di New York berbekalkan pengalaman yang diraih dan meletakkan tempoh seawal 2024 untuk mencapai matlamat ini.

Beliau berseloroh: “Saya tidak mahu mundur dan kalau tak cuba, anda tak akan tahu (kemampuan anda).

“Yang penting saya tidak menyesali apa yang saya cuba.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >