BAGI Cik Marsita Kamis, langkah pemerintah untuk menerima saranan Kluster Tiga Pihak bagi Perkhidmatan Makanan (TCF) berkenaan Model Gaji Progresif (PWM) merupakan satu berita baik.
Apakan tidak, ia bermakna gajinya akan bertambah.
Penolong Katering dengan syarikat Kitchen Haus Group berkata pengumuman itu memberinya lebih semangat untuk bekerja.
"Bila mereka kata mereka akan naikkan gaji kami, kami rasa gembira, lagi pun kerja F&B (makanan dan minuman) ini gajinya pun tak begitu tinggi," kata beliau
Cik Marsita, 50 tahun, yang bekerja lima setengah hari seminggu, berkata beliau membawa pulang gaji "lebih daripada $1,000 tapi kurang daripada $2,000" sebulan.
Beliau sudah bekerja dengan syarikatnya itu selama dua tahun dan tanggungjawab utamanya ialah memotong dan menyediakan bahan-bahan untuk dimasak seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Di bawah PWM yang disarankan, sekitar 41,000 pekerja warga Singapura dan penduduk tetap yang bertugas dalam sektor khidmat makanan seperti Cik Marsita, boleh menjangkakan peningkatan gaji sebanyak 19 peratus dalam tempoh tiga tahun antara 2023 dengan 2025.
Selain peningkatan gaji, TCF juga menyarankan laluan kemajuan kerjaya yang lebih jelas bagi sektor khidmat makanan di mana ia boleh membantu pekerja mendapatkan kemahiran lebih baik dan meningkatkan tanggungjawab pekerjaan mereka.
Saranan-saranan itu dibuat setelah rundingan dengan lebih 1,000 syarikat sepanjang dua tahun lalu.
Cik Marsita mengalu-alukan hal tersebut dan meluahkan hasrat mahu meningkatkan kemahirannya.
"Kadangkala, apabila saya sedang memotong bahan-bahan dan saya lihat orang lain masak, saya rasa sesuatu, lagi-lagi sebab saya pun tahu masak.
"Tetapi kita perlu ikut peraturan, jadi tak boleh suka-suka tolong orang masak.
"Bagi saya, saya nak ambil kursus memasak atau apa-apa lain yang membolehkan saya menjadi penolong tukang masak pun jadilah," katanya.
Majikannya, Encik Tan Chow Jin, Ketua Pegawai Operasi Kitchen Haus Group, turut menyambut baik perubahan berdasarkan PWM.
Pun begitu, beliau akur akan ada peningkatan kos perniagaan dek perubahan tersebut.
"Pastinya kos akan meningkat, tapi ia sesuatu yang perlu kami uruskan, kami perlu pastikan keperluan klien terurus dan pada masa yang sama ada langkah penjimatan kos. Berkaitan PWM, memang sudah kami rancang bagi kakitangan kami.
"Apabila mereka gembira, mereka akan bekerja dengan lebih baik, jadi dari segi produktiviti, kami juga akan meraih manfaat daripadanya. Itu yang paling penting, semua orang meraih manfaat," katanya.
Menyentuh hal serupa, pengerusi bersama TCF dan wakil Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Andrew Tjioe, akur akan ada peningkatan kos perniagaan dan "oleh itu kami meminta pengguna juga bekerjasama dan bersedia untuk membayar lebih sedikit terutamanya untuk perkhidmatan makanan".
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata sokongan akan diberikan kepada syarikat F&B agar mereka dapat menangani peningkatan kos itu.
Beliau memberi contoh tokokan $2.4 bilion kepada dana Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Belanjawan 2023.
"Ini cara pemerintah memberi sokongan kami untuk membolehkan majikan menaikkan gaji pekerja bergaji rendah tanpa memberi kesan kepada pengguna," ujarnya.