Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penting ibu bapa teroka pembelajaran di luar bilik darjah: Zaqy

Oct 23, 2022 | 05:30 AM



HASRAT ibu bapa yang berminat untuk meneroka secara bersama perjalanan pembelajaran anak-anak bukan sahaja sesuatu yang terpuji tetapi juga mengagumkan.



Demikian kata Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan merangkap Kementerian Tenaga Manusia, Encik Zaqy Mohamad, yang telah merasmikan satu acara Pesta Pembelajaran di Kampung Admiralty semalam.



Acara itu adalah anjuran Mendaki dan ia adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun Mendaki yang ke-40 sempena sambutan tahunan Raikan Ilmu.



"Pengalaman pendidikan ini penting kerana ia menyemai nilai-nilai pembelajaran di luar bilik darjah," kata Encik Zaqy, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki.



"Saya gembira dengan sambutan baik acara ini kerana ia bukan daripada anak-anak sahaja tetapi juga ibu bapa yang menunjukkan keprihatinan terhadap pembelajaran anak-anak mereka.



"Menerusi acara ini, ibu bapa dapat menerokai alternatif-alternatif pembelajaran sepanjang hayat, bukan sahaja dalam bilik darjah, tetapi di luar kelas juga.



"Ini penting kerana ia memberi pendedahan kepada ibu bapa akan ilmu pembelajaran mengenai format-format yang berlainan seperti pembelajaran virtual ataupun pembelajaran berkaitan budaya dan negara lain.



"Ini membolehkan pendedahan pembelajaran yang lebih luas, menjangkaui bilik darjah," kongsi Encik Zaqy kepada pihak media semalam



Acara itu telah mengalu-alukan lebih daripada 3,000 pengunjung.



Pesta Pembelajaran itu menampilkan 10 stesen kegiatan untuk kanak-kanak.



Antaranya ialah stesen permainan penggunaan teknologi simulasi seperti realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR).



Stesen yang mencirikan kraf tradisional seperti membuat bunga rampai dan dokoh juga termasuk dalam kegiatan untuk kanak-kanak.



Selain stesen untuk kanak-kanak, pesta itu juga merangkumi stesen bagi golongan dewasa.



"Ibu bapa juga dapat menerokai pembelajaran sepanjang hayat.



"Mendaki telah bekerjasama dengan Skillsfuture, NTUC Learning Hub dan e2i untuk membantu ibu bapa lebih memahami trend pasaran pekerjaan sekarang," tambah Encik Zaqy, yang telah menjalani lawatan stesen-stesen yang disediakan di pesta itu.



Menurutnya, menerusi wadah ini, beliau telah menyaksikan suri rumah yang telah mendaftarkan diri dalam kelas memasak dan juga kursus keselamatan makanan.



"Ini membolehkan mereka meraih pendapatan tambahan menerusi hobi ataupun minat mereka.



"Ini adalah sesuatu yang baik dan saya berasa sangat gembira melihat masyarakat kita berusaha untuk meneroka nilai pembelajaran dan juga yakin kepada pembelajaran sepanjang hayat, serta bidang-bidang yang kita boleh memperbaiki sebaik mungkin," ujar Encik Zaqy.



Antara pengunjung pada pesta itu ialah seorang suri rumah yang ingin dikenali sebagai Cik Maslina, 43 tahun.



"Pameran sebegini sangat baik. Ia memberikan akses kepada pendidikan dan pengetahuan bagi kami yang tidak bekerja," ujarnya.



Untuk golongan dewasa, terdapat lima stesen peningkatan kemahiran di pesta itu.



"Ini antara nilai ilmu dan pelajaran yang kita ingin mengetengahkan bukan hanya kepada seorang pelajar tetapi pembelajaran itu sepanjang hayat.



"Saya harap masyarakat kita akan terus menyokong proses sebegini dan Mendaki dapat menjadi rakan kongsi bagi mereka untuk menceburi ilmu sepanjang hayat," tambah Encik Zaqy.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >