Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pentingnya adab dan etika dalam pergaulan di media sosial

Mar 13, 2022 | 05:30 AM



DUNIA hari ini telah berubah.



Kemodenan dan kecanggihan teknologi telah merubah cara manusia berkomunikasi dan berinteraksi. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi telah berkembang saban tahun menjadikan ia lumrah dan tren kehidupan masyarakat pada hari ini.



Tidak dinafikan bahawa kewujudan pelbagai bentuk media digital termasuk media sosial telah membawa manfaat dan kemudahan yang banyak kepada manusia.



Media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Instagram, Telegram dan seumpamanya telah menjadi wadah penyebaran maklumat dan perhubungan yang penting dalam kehidupan seharian kita.



Pada waktu yang sama, media sosial juga boleh menjadi medan bagi menggalakkan perbalahan, kebencian, fitnah dan juga pengganasan. Ini telah terbukti di mana kumpulan-kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan ISIS menggunakan media sosial untuk menyebarkan ideologi dan propaganda mereka.



Tidak kurang juga ramai anggota masyarakat hari ini terperangkap dalam budaya menghasut, memfitnah dan menyebarkan kebencian dalam penggunaan media sosial.



Akibat dari budaya buruk ini telah memecahbelahkan hubungan sesama manusia.



Maka di sini pentingnya kita menghayati panduan agama yang menganjurkan adab dan etika ketika berinterkasi sesama manusia termasuk di medan media sosial.



PENTINGNYA ADAB DAN ETIKA



Antara cara untuk kita mengekalkan keharmonian dan kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga dan masyarakat adalah dengan menjaga adab, etika dan akhlak dalam pergaulan kita antara satu sama lain.



Akhlak itu perhiasan dan cerminan Muslim. Ia lambang kemuliaan keperibadian seseorang Muslim. Seorang Muslim seharusnya beradab pada setiap ketika termasuk juga ketika ia berinteraksi dan berkomunikasi di media sosial. Dalam soal akhlak ini, Nabi Muhammad saw telah mengingatkan kita dalam pesanannya: "Sebaik-baik orang mukmin adalah yang paling baik akhlaknya." (Hadis riwayat Imam Termizi).



Apabila hilang adab dan etika dalam diri seorang Muslim, maka akan timbul sifat-sifat keji yang boleh merosakkan diri dan juga hubungan sesama manusia. Lihatlah bagaimana perbalahan, permusuhan dan juga pengganasan yang berlaku hari ini kesemuanya berpunca dari ideologi kebencian dan sifat tidak senang antara satu sama lain.



Sifat-sifat keji seperti dengki, hasad, dan prasangka harus dijauhi sama sekali, termasuk dalam pergaulan di media sosial.



Perhatikanlah firman Allah swt dalam Surah Al-Hujurat ayat 12: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebaikan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa.



"Dan janganlah kamu mengintip (mencari kesalahan) orang dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.



"Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya.



"Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih."



Teknologi komunikasi dan media sosial pada dasarnya sangat bermanfaat dan bertujuan mempermudahkan urusan manusia.



Sekiranya ia digunakan dengan niat yang betul, maka ia akan membawa kepada manfaat dan kesejahteraan hidup.



Namun, sekiranya media sosial itu disalahgunakan, maka ia akan membawa kepada perkara yang sia-sia dan merugikan.



Ketika berinteraksi di media sosial, kita perlu menyedari bahawa kita telah mendedahkan diri kita kepada sebuah dunia yang terbuka luas tanpa sempadan.



Justeru, sikap kewaspadaan dan teliti perlu diperhatikan pada setiap pertuturan dan tindakan agar adab dan etika kita dapat dijaga dengan baik.



MENJAGA PERTUTURAN



Dalam konteks komunikasi dan interaksi di media sosial, menjaga tutur bicara dan perkataan itu penting demi memastikan bahawa setiap perkataan yang kita lafazkan atau pun kata-kata yang kita tulis itu adalah sesuatu yang elok, baik dan pasti kesahihannya.



Ini termasuklah menjauhkan diri dari bertutur dengan kata-kata ataupun menggunakan perkataan yang tidak sesuai dan keji seperti menghina, mengejek, mencela, berbicara dengan perkataan-perkataan yang kurang sopan dan segala bentuk perkataan buruk lainnya.



Ingatlah pesan Nabi Muhammad saw: "Bukanlah seorang mukmin yang suka mencela, melaknat, berbuat dan berkata keji dan kotor." (Hadis riwayat Imam Termizi).



Umat Islam juga diberi amaran oleh agama agar tidak bersifat buruk sangka dan mencari-cari kesalahan orang lain. Ini kerana sifat-sifat tersebut akan membawa kepada perbuatan umpat dan fitnah.



Di zaman moden yang serba canggih ini, perbuatan mengumpat dan menabur fitnah itu semakin mudah disebarkan.



Dalam perkara ini, Nabi Muhammad saw ada memberikan panduan dengan sabdanya: "Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kamu saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara". (Hadis Riwayat Imam Bukhari).



Perlu diingat bahawa dalam agama kita, mengumpat dan memfitnah itu adalah satu perbuatan yang haram, tercela dan termasuklah dalam dosa-dosa besar.



Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri kita daripada melakukan perbuatan yang boleh mengundang kepada kata-kata umpat dan fitnah.



Ini kerana bahaya umpat dan fitnah itu bukan sahaja menyebabkan kita mendapat dosa besar, malah mengakibatkan kita tidak akan dapat memasuki syurga.



Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad saw pernah memberi amaran dengan sabdanya: "Penabur fitnah tidak akan masuk syurga." (Hadis riwayat Imam Bukhari).



MEMASTIKAN KESAHIHAN KHABAR



Islam menekankan pentingnya konsep tabaiyun, iaitu mensabit dan menyemak asas kebenaran sesuatu perkara atau khabar.



Oleh yang demikian, setiap perkara; informasi; berita ataupun khabar yang kita terima dan perolehi itu hendaklah diselidik dan disiasat terlebih dahulu kebenaran dan kesahihannya sebelum menularkannya ke laman-laman sosial dan aplikasi-aplikasi tertentu.



Dalam hal ini Nabi Muhammad saw pernah menegaskan: "Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat." (Hadis riwayat Imam Bukhari).



Dasar konsep tabaiyun ini bersumber dari Al-Quran. Dalam Surah Al-Hujurat ayat 6, Allah swt berfirman:



"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."



Ahli tafsir terkenal, Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Sofwa At-Tafasir, bahawa ayat ini bermaksud: "Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq, yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannya, dengan apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita.



Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil mengenai hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tidak sudah atas perbuatan kamu."



Kita boleh gariskan beberapa panduan dalam penerimaan sesuatu berita seperti berikut:



  • Melihat kepada sumber.

  • Meneliti dan menyiasat sumber berita tersebut

  • Mencari bukti atau petunjuk

  • Bertanyakan kepada saksi untuk pengesahan

  • Mendapat pengakuan dari pihak yang terlibat dalam berita tersebut

  • Tidak berkongsi dengan lain jika tidak pasti kesahihan sesuatu berita

  • Berfikir dahulu sebelum berkongsi maklumat

  • Berkongsi maklumat dengan yang lain hanya jika ia mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada yang menerimanya.

Islam meletakkan ilmu itu paling utama.



Ilmu itu lawannya kejahilan. Imam Abu Bakar Al-Jassas menyatakan di dalam kitabnya, Ahkamul Quran, bahawa tabaiyun itu dasarnya ilmu. Maka dalam setiap perkara yang kita lakukan, hendaklah didahulukan ilmu termasuk dalam hal penerimaan berita.



Bertindak sesuatu atas dasar kejahilan merupakan sesuatu yang dikeji dalam Islam.



Justeru, menyebarkan sesuatu berita yang tidak diketahui kebenarannya adalah satu tindakan yang salah kerana ia menyebarkan berita yang masih 'dijahili' kesahihannya. Ingatlah pesanan Nabi Muhammad saw: "Cukuplah seorang itu dianggap berdusta apabila dia bercakap segala apa yang dia dengar." (Hadis Riwayat Muslim)



Di dalam kitab Syarah Shahih Muslim, Imam An-Nawawi menghuraikan hadis ini dengan menyatakan: "Di sini menunjukkan larangan daripada bercakap setiap apa yang dia dengar kerana boleh jadi dia dengar pada adatnya benar atau dusta.



"Justeru, apabila dia berbicara setiap apa yang dia dengar, maka sesungguhnya dia telah mendustakan dengan berita-beritanya yang boleh jadi bukan begitu."



Melihat kepada garis panduan ini, ternyata konsep tabaiyun iaitu memastikan kebenaran sesuatu berita dan pendakwaan di dalam Islam adalah sesuatu perkara penting dan mempunyai implikasi yang buruk sekiranya tidak dipraktikkan.



KESIMPULAN



Setiap Muslim harus peka dan waspada dengan setiap tindakan dan pertuturannya. Bahasa, tutur kata dan sikap yang baik mencerminkan keperibadian dan akhlak seorang Muslim.



Kesilapan dan kelalaian dalam hal ini membawa padah yang buruk dan boleh menimbulkan fitnah. Peribahasa Melayu ada menyebut: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa; dan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.



Mari kita hayati suruhan Allah swt dalam Surah Al-Anfal ayat 25: "Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu ke semuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat seksanya."



Semoga penghayatan panduan agama yang dikongsikan dalam artikel ini dapat membantu kita menjadi lebih peka dan waspada dalam setiap tindakan dan tutur kita. Marilah kita terus maju sebagai satu masyarakat yang sentiasa dihiasai keindahan adab, moral, saling menghormati dan kasih sayang.




Teknologi komunikasi dan media sosial pada dasarnya sangat bermanfaat dan bertujuan mempermudahkan urusan manusia.

Sekiranya ia digunakan dengan niat yang betul, maka ia akan membawa kepada manfaat dan kesejahteraan hidup.

Namun, sekiranya media sosial itu disalahgunakan, maka ia akan membawa kepada perkara yang sia-sia dan merugikan.

- Penulis.




  • Penulis ialah Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajatratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang. Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Anggota Lembaga Rayuan Muis dan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Muis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >