Penyair Melayu Singapura berhimpun malam esok, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:56
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Penyair Melayu Singapura berhimpun malam esok

Jun 05, 2014 | 05:36 PM

SERAMAI 14 seniman akan mempersembahkan karya mereka di Malam Sastera Berita Harian yang akan berlangsung esok.

Selama dua jam bermula 8 malam ini di auditorium Singapore Press Holdings di Toa Payoh North, hadirin akan berpeluang menikmati keindahan puisi Melayu yang cukup bernilai.

Mereka bukan sahaja akan dihiburkan dengan persembahan gerak tari, malah deklamasi sajak dan dendangan puisi para penyair tempatan.

Mereka yang akan tampil menyerikan terdiri daripada penerima Pingat Budaya dan Anugerah Tun Seri Lanang, seperti Suratman Markasan, Djamal Tukimin, Nadiputra dan Isa Kamari.

Haji Suratman, 84 tahun, mula menulis secara serius pada 1954 bermula dengan puisi, diikuti cerpen, esei sastera dan novel.

Halal Home Based Business
OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Savour The Flavour by Chef Im

Savour The Flavour ingin menyajikan makanan yang berkualiti...

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Novelnya, Tak Ada Jalan Keluar (1962), mengangkatnya sebagai novelis yang berpotensi besar, sementara novel Tiga Lelaki (1994) disifatkan pengkritik sebagai bertaraf dunia.

Djamal Tukimin, 67 tahun, pula disifatkan oleh ilmiawan dan sasterawan Malaysia, Dr Ahmad Kamal Abdullah (lebih dikenali sebagai Kemala), sebagai antara penyair ulung Singapura.

Nadiputra atau nama sebenarnya Almahdi Al-Haj Ibrahim, 68 tahun, pula dianggap paling prolifik menghasilkan skrip pentas seperti Puncak, Awang Kerambit, dan Villa Singa.

Wartawan halaman Dwibahasa The Straits Times dan juga pengulas teater Melayu setempat, Almarhum Haron Abdul Rahman, menyifatkannya sebagai 'pencorak utama' teater Melayu pascamerdeka.

Isa Kamari, 53 tahun, yang bertugas sebagai Ketua Pengurus, Reka Bina di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merupakan antara sasterawan gigih mengantarabangsakan sastera Melayu - tujuh daripada lapan novel beliau telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Selain keempat-empat mereka, acara malam ini turut menampilkan ramai sasterawan dan penyair prolifik lainnya - Mohd Raman Daud, Rohman Munasip, Maarof Salleh, Hanim Salleh, Asnida Daud, Nurul Ain Razali, Adi Rahman dan Chairul Fahmy Hussaini.

Di antara mereka ini, Mohd Raman Daud, 57 tahun, merupakan wartawan kanan Berita Harian dan prolifik dalam menghasilkan skrip drama televisyen, skrip drama pentas, esei sastera, cerpen dan sajak.

Rohman Munasip, 60 tahun, pula merupakan penulis buku Keroncong Penyair, Sebuah Madrasah dan Suatu Percakapan, Bicara Karya, Secangkir Ceritera dan Balada Seorang Penyair Di Pentas Bangsanya.

Selain mereka, para hadirin akan turut dihiburkan dengan lagu-lagu puisi oleh Art Fazil dan Ramli Sarip.

Art, 46 tahun, sudah lebih 20 tahun berkecimpung di dalam bidang seni dan merupakan antara pelopor Rausyanfikir (dalam bahasa Parsi, bererti golongan pemikir) dan kini popular dengan lagunya Rilek Brader.

Ramli, 62 tahun, pula adalah antara seniman legenda Singapura, menganggotai kumpulan Sweet Charity, bergerak secara solo dan merupakan antara pencipta seni kata, pengubah lagu dan penerbit yang dikagumi.

Mengongsikan pandangannya, penyair dan personaliti radio, Adi Rahman, berkata:

"Ia satu acara yang harus diteruskan kerana ia menggalakkan penggunaan bahasa yang molek dan halus dan... ia harus diberikan tumpuan dan sokongan untuk jangka masa panjang."

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map