Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penyedia khidmat korban hanya mampu pantau upacara dari jauh

Tahun ini kesemua ibadah korban dijalankan di luar negara disebabkan penularan Covid-19
Jul 23, 2020 | 05:30 AM



PENYEDIA khidmat korban bersiap sedia menyesuaikan korban tahun ini yang kesemuanya dijalankan di luar negara disebabkan penularan Covid-19.



Namun, berbeza daripada tahun sudah, dengan penganjur 'turun padang' ke tempat penyembelihan bagi memastikan ibadah itu dijalankan dengan sempurna, kali ini, disebabkan langkah jarak selamat ketat, pemantauan hanya dapat dilakukan dari jauh.



Eksekutif pemasaran di pusat pendidikan Islam Nur Insan, Encik Muhammad Hilmi Abdul Wahid, berkata biasanya pegawai akan dikerahkan ke beberapa tempat seperti Lombok dan Bangladesh bagi memastikan ibadah korban jemaah yang membuat tempahan menerusi mereka dijalankan dengan baik.



Tetapi tahun ini, tugas itu terpaksa diserahkan kepada wakil mereka di negara-negara itu berserta prosedur tertentu bagi menunjukkan yang ibadah tersebut berlangsung seperti yang dijanjikan.



"Wakil kami akan mengambil gambar dan video, jadi kami boleh berikan laporan kepada mereka yang membuat korban bersama kami," katanya.



Encik Hilmi berkata video itu akan menunjukkan upacara ibadah korban itu secara umum, manakala gambar akan diambil bagi setiap haiwan yang disembelih untuk diserahkan kepada jemaah yang membuat tempahan korban itu.



Bagaimanapun, tidak semua negara membenarkan gambar haiwan diambil, seperti Australia dan Makkah, katanya.



Ini kali keempat Nur Insan menawarkan korban di luar negara dan kali ini ia menawarkan pakej korban kambing dan lembu di lebih 10 negara.



Bagi Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar pula, beliau sedang berusaha mendapatkan visa untuk ke ladang kambingnya di Jawa Tengah, Indonesia, menjelang Hari Raya Aidiladha supaya dapat memantau pengendalian ibadah itu sendiri.



"Memang saya ada petugas di sana, tapi kalau boleh saya mahu memantau sendiri. Saya faham yang saya akan perlu dikuarantin di sana dan saya bersedia, demi menjalankan amanah ini sebaik mungkin. Saya merancang, kalau dapat ke sana saya akan menjalani kuarantin di rumah di ladang saya," katanya yang mempunyai pengalaman 15 tahun mengendalikan ibadah korban, termasuk empat tahun melibatkan kambing di ladangnya sendiri, di bawah syarikat Attawasol Insaniy.



Tidak sekadar menawarkan pakej korban, beberapa syarikat berusaha menawarkan khidmat tambahan bagi jemaah yang membuat tempahan bersama mereka, bagi mengasingkan diri mereka daripada pesaing.



Qurban.sg contohnya, memanfaatkan teknologi realiti terimbuh (augmented reality - AR) untuk menganjurkan Cabaran Qurban SG dengan orang ramai boleh menggunakan alat mudah alih bagi meletakkan haiwan seperti kambing atau lembu di ruang sekitar mereka dan mengambil gambar atau video dalam cara yang kreatif.



Sambil berseronok melakukan cabaran itu, pihak penganjur berharap ia dapat menjadi permulaan perbualan bagi ibu bapa untuk mendidik anak-anak tentang korban dan kepentingannya.



Sebanyak 10 gambar atau video paling menarik berpeluang memenangi hadiah daripada Qurban.sg yang menawarkan pakej korban di lapan negara.



Asatizah setempat, Ustaz Muhammad Shaheedan Sutari, yang menawarkan tempahan korban di lapan negara di bawah Sasha GoQorban pula menawarkan air zamzam pada harga promosi $55, berbanding $65, termasuk penghantaran ke rumah bagi jemaah yang melakukan ibadah korban dengannya.



Bagi yang melakukan ibadah korban bersama Attawasol Insaniy, majlis korban akan diakhiri dengan bacaan serta khatam Al-Quran dan doa selamat oleh para tahfiz untuk jemaah korban.



Nur Insan pula menawarkan pakej tiga-dalam-satu merangkumi pembayaran haiwan korban, wakaf untuk madrasah percuma Nur Insan dan makanan kepada keluarga yang memerlukan di Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >