Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MERANCAKKAN LAGI KAWASAN GEYLANG SERAI

Penyewa fahami keperluan Tanjong Katong Complex diberi nafas baru

Dec 09, 2021 | 05:30 AM



PARA penyewa Komplex Tanjong Katong (TKC) menyambut berita penutupan pusat itu yang akan menjalani kerja-kerja naik taraf dengan rasa sedih tetapi juga memahami keperluan bahawa pusat ikonik masyarakat Melayu/Islam itu perlu diperbaru.



Sekitar 106 penyewa itu perlu mencari lokasi baru bagi menempatkan perniagaan mereka apabila tempoh sewa mereka berakhir sehingga 30 Jun 2023.



Bangunan empat tingkat TKC yang berusia 37 tahun itu, merupakan tempat kunjungan membeli-belah masyarakat Melayu/Islam lebih-lebih lagi bagi membeli keperluan Hari Raya dan majlis kahwin.



Ia menempatkan kedai-kedai seperti First Lady dan Golden Chance milik Encik Salleh Marican dan Orange Ballroom dan The Istana Ballroom milik ketua pegawai eksekutif (CEO) Orange Events and Media, Encik Syah Ibrahim.



Ketika wartawan mengunjungi TKC semalam, pemilik kedai Sufia's Gallery, Encik Rokhmat Sinthar, 62 tahun, yang menjual karya seni Melayu dan kaligrafi mengalu-alukan kerja pembaruan yang akan dijalankan.



"Ia adalah masa yang tepat untuk memberi wajah yang baru kepada TKC kerana ia sekarang dikelilingi dengan bangunan-bangunan yang baru seperti PLQ dan Kinex.



"Dengan wajah yang baru ini, ia juga akan kelihatan lebih sama dengan bangunan-bangunan sekelilingnya," kata beliau yang sudah berniaga di TKC selama 18 tahun.



Ketika ditanya apa yang beliau harap dapat lihat dalam kerja pembaruan ini, Encik Rokhmat berkata TKC kini memerlukan tarikan makanan dan minuman (F&B) serta perniagaan-perniagaan yang baru untuk menarik perhatian anak muda ke tempat tersebut.



"Dengan gabungan perniagaan yang lama dan baru, ia akan memastikan tempat ini menjadi tempat sehenti untuk orang ramai datang mencari apa saja yang mereka perlukan.



"Selain itu, saya rasa ia wajib mempunyai F&B yang mungkin ada makan 'trendy' di sini, supaya dapat perhatian anak muda," katanya.



Satu lagi penyewa di TKC, Haji Abdullah & Sons Pte Ltd, yang menjual pakaian pula melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman itu semalam.



Kata rakan kongsi kedai itu, Encik Mohammad Kamalludin Rouzie, 33 tahun, mereka baru sahaja mengambil alih kedai di sana pada Mei tahun ini untuk menampung kos perniagaan semasa bazar tidak dibenarkan dianjurkan selama dua tahun akibat Covid-19.



"TKC merupakan mercu tanda yang utama bagi masyarakat Melayu kita mengunjungi.



"Namun begitu, pembaruan ini saya rasa adalah satu tindakan yang baik kerana tempat ini pun sudah lama dan perlukan imej yang baru dan 'vibes' yang mungkin menarik perhatian ramai pada masa akan datang," jelasnya.



Mengulas tempoh lanjutan sewa selama enam bulan sehingga 30 Jun 2023 agar mereka boleh memanfaatkan penjualan Hari Raya pada April 2023, Encik Kamalludin gembira dengan lanjutan tersebut untuk membantu perniagaan itu bertahan semasa tempoh yang mencabar ini.



Setelah berniaga di TKC selama 20 tahun, pemilik Sultanah Bridal & Boutique, Cik Sultanah Hussien, 64 tahun, melahirkan rasa sedih apabila mendengar berita penutupan pusat itu.



"Sudah lama saya bangunkan perniagaan saya di sini, semestinya saya rasa sayang untuk meninggalkannya," ujarnya.



"Saya hanya berharap dalam masa akan datang, mungkin ada peluang bagi penyewa mendapatkan tempat prioriti untuk teruskan perniagaan setelah kerja pembaharuan dijalankan nanti," katanya sambil menambah bahawa perubahan ini adalah sesuatu yang positif sekiranya beliau kembali berniaga di pusat itu dalam masa akan datang.



Mengenai masa depan perniagaannya Cik Sultanah berkata beliau masih belum ada rancangan beralih ke tempat alternatif untuk meneruskan niaga butiknya dan akan terus memantau keadaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >