Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN

Peranan anak muda perangi pengganasan

Jul 19, 2022 | 05:30 AM



MELENTUR buluh, biar dari rebungnya.



Justeru, adalah penting anak muda dilibatkan dalam usaha menolak fahaman radikal seawal mungkin.



Ini juga merupakan langkah penting yang dapat menyumbang kepada usaha nasional memerangi pengganasan secara keseluruhan.



Menurut edisi terkini Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura yang diterbitkan minggu lalu, ancaman radikalisasi sendiri atau 'self-radicalisation' terus menjadi pendorong utama ancaman pengganasan setempat bagi negara ini.



Sejak 2015, 45 individu yang menjadi radikal sendiri, termasuk 33 warga Singapura dan 12 warga asing, telah dikenakan arahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



Dalam kes yang terkini, seorang warga Singapura berusia 29 tahun, Radjev Lal Madan Lal, ditahan di bawah ISA April lalu.



Radjev, yang bekerja di sebuah syarikat logistik, menjadi radikal selepas terpengaruh oleh ajaran seorang pendakwah radikal dari luar negara dan sedang menimbangkan untuk pergi ke Afghanistan bagi menyertai kumpulan militan Taliban ketika ditahan.



Kes Radjev itu menunjukkan bahawa ideologi ekstremis dan pengganas boleh mudah didapatkan di dalam talian, termasuk yang disebarkan oleh pendakwah dan ideologi asing.



Hakikatnya, belum ada penawar untuk mengatasi isu radikalisasi sendiri sepenuhnya.



Namun menurut naib pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, cabaran itu dapat ditangani dengan usaha pendidikan dan pendekatan yang berterusan.



"Kita perlu mendekati pelbagai segmen masyarakat termasuk belia dan masyarakat lebih meluas, baik Muslim mahupun yang bukan Muslim.



"Ancaman radikalisasi sendiri ini belum berakhir kerana terdapat pelbagai orientasi yang disebarkan di dalam talian dan mudah dipengaruhi anak muda seperti fahaman ekstremis, sifat eksklusif, sentimen anti agama, perkauman, ideologi kebencian, Islamofobia, xenofobia dan sebagainya. Kesemua orientasi ini boleh membawa kepada pengganasan.



"Oleh itu, kita harus terus mendekati anak muda berhubung hal ini dan ibu bapa juga perlu mendekati anak mereka di rumah dan pantau kegiatan mereka di dalam talian," ujar Ustaz Dr Mohamed yang juga Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajatratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Di Singapura, orientasi demikian juga sudah mula menyelinap dalam masyarakat setempat.



Jika gagal ditangani dengan baik dari peringkat awal, ini boleh membawa kepada akibat yang lebih buruk pada masa akan datang.



Oleh itu, wadah yang melibatkan belia untuk membincangkan isu ancaman keselamatan dan meningkatkan kesedaran mereka tentang risiko ideologi radikal juga adalah penting.



Antaranya termasuk sesi pendampingan belia anjuran Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura yang diadakan dengan RRG dan Kumpulan Jagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) hujung minggu lalu.



Wadah seperti itu membolehkan belia berfikir bagaimana mereka juga boleh menjadi 'mata dan telinga' dalam masyarakat dalam usaha Singapura membanteras pengganasan selain memainkan peranan mempererat hubungan dan memupuk persefahaman antara kaum dan agama yang berbeza untuk menjaga keharmonian masyarakat Singapura.



Menekankan pentingnya usaha pendidikan dan pendekatan itu harus diteruskan, Ustaz Dr Mohamed berkata:



"Selagi ada Internet, radikalisasi sendiri akan terus wujud. Dan selagi radikalisasi sendiri itu wujud, pengganasan juga akan terus berlaku.



"Oleh itu untuk membasmikan pengganasan... kita perlu menanganinya daripada akar masalahnya dengan memastikan orientasi negatif tidak berakar dalam masyarakat kita."



Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada pemerintah dan badan masyarakat sahaja.



Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama setiap pihak termasuk ibu bapa dan keluarga.



Di rumah misalnya, ibu bapa harus peka memantau kegiatan anak mereka di dalam talian serta perubahan kelakuan yang ketara.



Ibu bapa harus ambil tahu supaya mereka boleh mengambil langkah campur tangan awal sebelum terlambat jika mengesyaki sesuatu yang tidak kena.



Pastinya kita tidak mahu menyesal di belakang hari apabila dikejutkan dengan perkara yang tidak diingini nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >