Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MENGENAI MASYARAKAT BERSATU PADU (ICCS)

Peranan media sosial pupuk ikatan dalam masyarakat

Sep 08, 2022 | 05:30 AM



MEDIA sosial dan wadah dalam talian lain boleh menggalakkan persefahaman antara kumpulan dalam masyarakat, kata sebuah panel yang terdiri daripada ahli akademik dan pemimpin masyarakat semalam.



Tetapi pada masa yang sama, terdapat juga keperluan untuk mengambil berat tentang jurang digital antara mereka yang mempunyai teknologi dan yang tidak mempunyainya, kata ahli panel itu semasa perbincangan tentang bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk memupuk kepercayaan antara kumpulan.



Perbincangan itu adalah sebahagian daripada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) di Pusat Konvensyen Raffles City semalam.



ICCS, yang bermula kelmarin, adalah acara tiga hari yang dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).



Persidangan itu - dengan tema Identiti Yakin, Masyarakat Terhubung (Confident Identities, Connected Communities) - melibatkan lebih 800 delegasi dari lebih 40 negara dalam perbincangan mengenai tiga tonggak utama iaitu kepercayaan, identiti dan perpaduan.



Pengerusi pengasas City Sikhs di Britain, Encik Jasvir Singh, berkata semasa menganjurkan acara selama sebulan yang menggalak pemahaman budaya Asia Selatan, wadah seperti Facebook dan Instagram membenarkan orang ramai menyertai secara maya.



Tetapi tidak semua orang mempunyai akses kepada perbincangan dan acara Bulan Warisan Asia Selatan, yang berlangsung tahun ini dari 18 Julai hingga 17 Ogos, dan usia seseorang juga menjadi faktor, katanya.



Encik Singh berkata beliau dan pasukannya menyedari bahawa apabila tiba kepada penyertaan dalam talian bagi acara itu, mereka yang berumur antara 55 dengan 64 tahun didampingi melalui YouTube, tetapi tidak melalui media sosial. Mereka yang lebih tua tidak dapat menyertai acara itu sama sekali.



"Terdapat jurang. Saya akan katakan ia kurang menjadi isu apabila melibatkan golongan lebih muda - kebanyakan golongan lebih muda mempunyai akses kepada telefon bimbit," katanya.



Beliau dan ahli panel lain menjawab soalan pensyarah dari Universiti Newcastle di Britain, Dr Terri-Anne Teo, mengenai jurang digital ini, dan risiko yang ditimbulkannya kepada masyarakat.



Profesor Patrice Brodeur daripada Institut Pengajian Agama di Universiti Montreal di Canada menyatakan bahawa selalunya segmen masyarakat termiskin yang paling kurang berhubung secara digital.



Ini bermakna orang-orang ini mungkin lebih berisiko terdedah kepada, dan menghayati, retorik pelampau, memandangkan bagaimana mereka mungkin tidak dapat mengakses fakta dan maklumat dan dengan itu boleh lebih mudah diyakinkan oleh orang lain.



Walaupun menghasilkan bahan dalam talian yang lebih baik untuk menjelaskan sebarang maklumat salah adalah cara untuk menentang radikalisasi sedemikian, akses kepadanya adalah pertimbangan penting yang mesti difikirkan, kata Profesor Brodeur.



Untuk membuka akses ini dan mendidik bahagian termiskin dunia dengan lebih baik, sambungan asas ke Internet dan bekalan elektrik yang boleh dipercayai diperlukan, kata profesor itu.



Pelbagai bahagian masyarakat mempunyai peranan untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan secara digital atau dimanipulasi oleh orang lain, kata ketua Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Nasional di RSIS, Dr Shashi Jayakumar.



"Kemahiran yang pernah kita ada... kebolehan membaca, untuk membaca teks seperti yang kita lakukan pada zaman dahulu, ingat? Untuk memahami makna yang tersirat, lampiran dan nota kaki, saya rasa itu juga cukup berharga," katanya.



Tetapi pemikiran kritis, walaupun penting, bukanlah huraian mudah untuk memerangi radikalisasi, kata Dr Jayakumar sebagai menjawab soalan Dr Teo mengenai perkara itu.



Beliau menyatakan bahawa terdapat pemikir kritis di luar negara pada masa lalu yang tetap menjadi pelampau.



Sebaliknya, terdapat juga keperluan untuk satu bentuk "perjanjian belas kasihan", di mana orang ramai memahami bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang beroperasi dalam had yang diterima umum.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >