SATU Perikatan Untuk Bertindak (AfA) bagi Mengukuhkan Perkahwinan dan Hubungan Keluarga telah dibentuk oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Diketuai Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, AfA itu mempunyai enam bidang tumpuan, termasuk sokongan bagi pasangan baru berumah tangga, ibu bapa tunggal dan keluarga menghadapi risiko awal.
Mengumumkan pelancaran AfA itu dalam satu sidang media dalam talian semalam, Cik Sun berkata MSF mengambil berat statistik terkini berkaitan perkahwinan dan mahu menyokong pasangan sedang mereka menimbangkan membina kehidupan bersama.
"Apabila kita melihat statistik perceraian, kita sedar perceraian lebih tinggi dalam kalangan perkahwinan muda.
"Ini adalah trend yang kami bimbang dan ambil berat, dan kami mahu bekerjasama dengan rakan masyarakat untuk memahami alasan disebalik trend ini serta melihat bagaimana kita sebagai satu masyarakat boleh menyokong pasangan dan keluarga," ujar beliau.
Cik Sun berkata pada masa ini, MSF mengenal pasti enam bidang tumpuan bagi AfA itu.
Enam bidang tumpuan itu ialah usaha mendekati keluarga melalui dan bersama rakan masyarakat; sokongan bagi pasangan baru berumah tangga; keibubapaan bersama; sokongan bagi ibu bapa tunggal; sokongan bagi keluarga menghadapi risiko awal; dan memperkukuh perkahwinan serta keluarga dalam masyarakat agama.
Bagi setiap bidang tumpuan, MSF akan bekerjasama dengan rakan masyarakat, pertubuhan bukan pemerintah dan badan agama untuk mengenal pasti masalah dan membina serta menyampaikan huraian bersama bagi masalah-masalah itu.
Antara pertubuhan yang akan bekerjasama dalam AfA ini ialah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), yang bakal menyumbang kemahirannya bagi menyokong keluarga yang menghadapi risiko awal.
Ini termasuk keluarga yang pasangannya berkahwin pada usia muda dan mungkin mempunyai ramai anak atau keluarga pernah mengalami keganasan keluarga.
Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, yang hadir semasa pelancaran AfA itu semalam, berkata meskipun sudah banyak program dijalankan di bawah Hab Inspirasi PPIS, masih banyak peluang untuk memperbaikinya dengan kerjasama badan-badan lain.
Hab Inspirasi membantu pasangan muda membuat keputusan tepat dan bernas serta persiapan awal untuk membina asas keluarga kukuh sebelum mereka memasuki alam perkahwinan.
Ia juga membantu pasangan muda dalam 10 tahun pertama perkahwinan mereka.
"Kami akan melihat cara kami dapat meningkatkan program sedia ada atau cara ia dapat diperluas lebih lanjut, atau cara program-program itu dapat dirombak dan disegarkan dengan kerjasama (pertubuhan lain).
"Jika ada keperluan baru atau sokongan baru yang diperlukan, sudah semestinya itulah yang akan kami usahakan," kata Cik Hazlina.
Merumuskan, Cik Sun menekankan peri penting kerjasama seluruh masyarakat dalam memastikan hubungan keluarga kukuh.
"Sedang pemerintah terus mengadakan dasar-dasar untuk menyokong perkahwinan dan keluarga, kami sedar bahawa usaha seluruh masyarakat akan mempunyai kesan lebih jauh dalam menyokong keluarga.
"Kami juga mengalu-alukan lebih banyak segmen masyarakat bergabung tenaga agar kami dapat dengan cepat memberi respons terhadap trend-trend baru yang muncul yang mungkin boleh menjejas keluarga Singapura pada masa depan," kata beliau.
"Sedang pemerintah terus mengadakan dasar-dasar untuk menyokong perkahwinan dan keluarga, kami sedar bahawa usaha seluruh masyarakat akan mempunyai kesan lebih jauh dalam menyokong keluarga. "Kami juga mengalu-alukan lebih banyak segmen masyarakat bergabung tenaga agar kami dapat dengan cepat memberi respons terhadap trend-trend baru yang muncul yang mungkin boleh menjejas keluarga Singapura pada masa depan." - Cik Sun Xueling, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg