Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perpaduan sosial hasil usaha berterusan semua pihak: Lawrence

Sep 09, 2022 | 05:30 AM



PERPADUAN sosial di Singapura tidak datang secara kebetulan, tetapi dicapai hanya melalui usaha yang konsisten dan disengajakan untuk memahami, membuat penyesuaian bagi satu sama lain dan berkembang bersama, kata Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Lawrence Wong.



Dalam ucapannya pada hari ketiga dan terakhir Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) semalam, Encik Wong berkata selain mewujudkan hubungan sosial, negara ini berusaha menyelesaikan perbezaan menerusi rundingan dan kompromi dengan memupuk budaya membuat penyesuaian.



Mengulas lebih lanjut, beliau berkata ini tidak bermakna memberikan setiap kumpulan semua yang mereka mahu, sebaliknya berusaha untuk mencapai keseimbangan kepentingan yang boleh diterima semua.



Beliau menyampaikan ucapan itu pada pembukaan sesi Perbualan dengan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong.



"Perpaduan sosial bermula dengan semua kita berusaha bersama dengan ikhlas untuk memahami satu sama lain. Ini bermula dengan sesuatu yang sangat asas iaitu idea memupuk hubungan dan interaksi antara orang-orang daripada latar belakang berbeza. Pada masa sama, kita berusaha menggalak dialog di kalangan pemimpin masyarakat, agama dan pemerintah," kata Encik Wong.



"Tetapi mewujudkan hubungan sosial sahaja tidak mencukupi kerana dalam masyarakat yang pelbagai, pasti ada isu di mana kita berbeza pendapat. Persoalannya ialah bagaimana kita menyelesaikan perselisihan ini? Bagaimana untuk mencapai keseimbangan, dan tidak membiarkan pandangan yang berbeza memecahbelahkan masyarakat?" tambahnya.



Encik Wong berkata, selepas Singapura mengalami rusuhan kaum pada tahun 60-an, negara ini berusaha menyelesaikan perbezaan melalui rundingan dan kompromi dengan memupuk budaya membuat penyesuaian.



Ini dilakukan dengan panduan prinsip mengekalkan ruang maksimum untuk setiap masyarakat menjalani kehidupan mereka.



"Anda tidak perlu mengasimilasikan diri kepada mana-mana standard yang sama. Setiap masyarakat bebas dan diberi ruang untuk menjalani kehidupan mereka. Dan itu tidak bermakna memberi setiap kumpulan semua yang mereka mahu. Tetapi sebaliknya kita berusaha untuk mencapai keseimbangan kepentingan yang boleh diterima oleh semua orang. Ini juga bermakna menolak seruan bagi hak maksimum oleh setiap kumpulan, dan mengelakkan percubaan untuk mentafsirkan setiap kompromi sebagai ketidakadilan," kata Encik Wong.



"Ini tidak mudah dilakukan tetapi lama kelamaan, ia menjadi sebati dalam pemikiran kolektif kita. Dan apabila orang ramai melihat bahawa ini bukan sahaja mungkin dilakukan, tetapi bernilai dan berharga, ia mendorong mereka untuk terus mendampingi satu sama lain, membina konsensus, mencari cara untuk berkompromi dengan pandangan yang berbeza dan memperdalam perpaduan sosial dalam proses itu," tambahnya.



Encik Wong juga berkata, untuk memupuk kepercayaan dan perpaduan sosial, masyarakat perlu membenarkan semua orang berkembang bersama.



Individu mesti merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat, di mana mereka boleh meraih manfaat daripada kemajuan negara mereka, membangunkan kehidupan yang bermaruah dan memuaskan untuk diri sendiri dan keluarga mereka, dan melihat anak-anak mereka melakukan lebih baik daripada mereka, katanya.



"Tetapi ini lebih mudah dinyatakan daripada dilakukan dan dalam banyak masyarakat, kita telah melihat ketidaksamaan meluaskan jurang antara yang memiliki dan yang tidak memiliki.



"Dan apabila orang ramai mendapati diri mereka diketepikan daripada kemajuan negara, mereka menjadi marah. Mereka merasakan bahawa sistem itu tidak adil. Dan semua ketidakbahagiaan dan kekecewaan ini menjadi situasi yang baik untuk politik xenofobia dan pengecualian yang hanya memburukkan lagi jurang sosial.



"Tiada masyarakat yang terlindung daripada kuasa-kuasa ini, sudah tentu bukan Singapura. Dan itulah sebabnya kita sentiasa menyemak dasar-dasar kita untuk melihat bagaimana kita boleh meneruskan pertumbuhan inklusif dan terus mengecilkan jurang pendapatan kita," kata Encik Wong.



LAPORAN SELANJUTNYA:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >