Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahas Belanjawan: KEMENTERIAN TENAGA MANUSIA

See Leng: Sistem baru nilai karyawan asing telus

Tidak bertujuan sukarkan kemasukan pemegang Pas Pekerjaan
Mar 05, 2022 | 05:30 AM



SISTEM markah baru untuk menilai karyawan asing yang masuk ke Singapura akan bersifat telus dan memberi kepastian kepada perniagaan dalam merancang tenaga kerja mereka, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.



Rangka Kerja Penilaian Pelengkap (Compass) yang diperkenal bagi permohonan Pas Pekerjaan (EP) itu juga tidak bertujuan menyukarkan kemasukan EP, kata beliau.



"Majoriti permohonan hari ini tidak akan mempunyai masalah. Ini kerana perniagaan kita umumnya progresif, dan dasar kita sejauh ini telah membawa masuk pemegang EP yang bersifat melengkapi (pekerja tempatan).



"Beberapa firma mungkin perlu membuat penyesuaian di bawah Compass. Mereka akan tahu dengan jelas bidang untuk membuat peningkatan, memandangkan ketelusan, kejelasan dan kepastian Compass," kata Dr Tan.



Semasa berucap di bahas belanjawan kementeriannya di Parlimen semalam, Dr Tan mengumumkan Compass, satu rangka kerja baru untuk menilai secara lebih menyeluruh karyawan asing yang ingin dibawa masuk oleh syarikat di Singapura.



Rangka kerja itu juga akan menilai usaha syarikat tersebut menggajikan pekerja tempatan serta meningkatkan kepelbagaian warga negara pekerja mereka.



Di bawah Compass, calon EP akan dinilai dari segi gaji mereka berbanding karyawan tempatan dalam sektor sama; kelayakan calon itu; kepelbagaian kewarganegaraan dalam syarikat; serta sokongan syarikat dalam menggajikan pekerja tempatan.



Rangka kerja itu akan digunakan bagi permohonan EP baru mulai 1 September 2023, serta pembaharuan pas dari 1 September 2024.



Dalam menilai permohonan EP, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga akan mengambil kira apakah calon itu mempunyai kemahiran yang diperlukan di Singapura, atau apakah syarikat itu mempunyai kegiatan inovasi, hab atau pengantarabangsaan dengan kerjasama pemerintah.



"Dalam kes ini, ada demi kepentingan Singapura untuk membenarkan firma membawa masuk calon tersebut.



"Oleh itu, kami akan memberi markah bonus dalam dua perkara ini," kata Dr Tan.



Beliau menjelaskan bahawa permohonan EP yang memenuhi jangkaan bagi empat kriteria asas itu akan lulus di bawah Compass.



Namun, jika permohonan itu kurang memenuhi kriteria asas tertentu, ia boleh memenuhi kriteria asas lain atau dengan meraih markah bonus.



Contohnya, firma yang mempunyai profil tenaga kerja yang dianggap lemah akan digalak di bawah Compass memperkukuh pekerja tempatan mereka dan memastikan kepelbagaian.



Pada masa sama, rangka kerja itu akan membolehkan firma mengakses EP dalam bidang kemahiran yang kekurangan di Singapura, kata Dr Tan.



Beliau menambah bahawa MOM akan bekerjasama dengan rakan tiga pihak, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), serta agensi ekonomi untuk menilai keperluan industri agar Compass kekal relevan dan memberi respons kepada keperluan itu.



Dr Tan menarik perhatian bahawa Pasukan Bertindak NTUC-Snef PME juga telah menyarankan sistem markah serupa bagi EP tahun lalu.



Dengan adanya Compass, rangka kerja EP akan mempunyai dua tahap: pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan gaji dan mereka perlu meraih markah yang mencukupi di bawah Compass.



Pemerintah mengumumkan sebelum ini bahawa gaji kelayakan minimum bagi pemohon EP baru akan dinaikkan daripada $4,500 kepada $5,000 mulai September.



Langkah ini bagi memastikan mutu pemegang EP yang memasuki negara ini setaraf dengan satu pertiga karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) tempatan yang bergaji paling tinggi.




"Perubahan ke atas (dasar pekerja asing) bertujuan, pertama, membawa masuk tenaga kerja asing bermutu tinggi dengan kemahiran tertentu, rangkaian, serta kepakaran untuk melengkapi tenaga kerja setempat. Kedua, menyokong majikan yang melabur dalam usaha melatih semua pekerja dan mengalih keupayaan untuk membangun teras Singapura yang kukuh. Ketiga, memastikan kepelbagaian dalam tenaga kerja asing... dan keempat, memacu pertumbuhan produktiviti sambil mengekalkan kebergantungan kita terhadap pekerja asing pada tahap mampan."
- Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.







Perubahan kepada dasar pekerja asing 



Diumum dalam Bahas Belanjawan MOM semalam:



- Rangka Kerja Penilaian Pelengkap (Compass) bagi menilai pemohon Pas Pekerjaan (EP) secara menyeluruh



- Langkah benarkan firma perkhidmatan dan perkilangan gajikan pemegang Permit Kerja dari Sumber Bukan Tradisional (NTS) bagi pekerjaan tertentu



- Perkenal Skim Tenaga Manusia bagi Keutamaan Ekonomi Strategik untuk beri firma tertentu fleksibiliti gajikan lebih ramai pemegang Pas S dan Permit Kerja



Diumum dalam kenyataan Belanjawan sebelum ini:



- Naikkan gaji kelayakan minimum bagi pemohon EP



- Naikkan gaji kelayakan minimum bagi pemohon Pas S, serta levi Tahap 1



- Kurangkan Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) dan perkenal struktur levi baru bagi pemegang Permit Kerja dalam sektor binaan dan proses




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >