Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pesalah di penjara rai Hari Kanak-Kanak dengan anak melalui Zoom

Nov 06, 2020 | 05:30 AM



KETIADAAN bapa dalam kehidupan seseorang anak meninggalkan kekosongan yang tidak boleh diisi orang lain.



Ini termasuk sokongan sosio-emosi yang boleh diberikan seorang ayah kepada anaknya.



Oleh yang demikian, adanya program yang membantu merapatkan jurang antara pesalah di penjara dengan anak-anak mereka adalah perlu dan penting agar hubungan antara bapa dan anak dapat terus terjalin.



Memberi ulasan tersebut, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir di Prison Link Centre semalam untuk menyaksikan sambutan Hari Kanak-kanak antara lima pesalah dan anak-anak mereka berkata:



"Ketiadaan seorang bapa akan meninggalkan kesan terhadap anak mereka.



"Sementara saya menghadapi cabaran saya sendiri sebagai seorang ayah, saya dapat bayangkan jika saya tidak ada dalam kehidupan keluarga saya, sokongan sosio-emosi yang dapat saya berikan kepada anak-anak saya tidak akan lengkap.



"Oleh itu, kami bekerjasama dengan rakan masyarakat untuk menyediakan hubungan tersebut dan pada masa yang sama memberi sokongan kepada kanak-kanak ini," kata Dr Faishal.



Semalam, beliau telah turut serta dalam sambutan Hari Kanak-kanak secara dalam talian yang dianjurkan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Pusat Kebapaan (CFF).



Semasa sambutan tersebut yang diadakan menerusi wadah Zoom, pesalah yang terlibat telah membacakan buku cerita kepada anak-anak mereka sebelum melakukan beberapa aktiviti permainan bersama.



Bapa-bapa itu juga telah memberi kejutan kepada anak-anak mereka dalam bentuk kad yang telah dihasilkan dari dalam penjara.



Ketua Pendekatan CFF, Encik Eruandee Prayitna, berkata penting bagi hubungan antara bapa dan anak-anak mereka dikekalkan.



"Kajian menunjukkan bahawa (kanak-kanak yang tidak mempunyai hubungan dengan bapa mereka) tidak membesar dengan begitu baik.



"Kajian juga menunjukkan bahawa ketiadaan bapa akan meninggalkan impak yang berbahaya terhadap seseorang anak. Ini digelar fatherlessness atau ketiadaan bapa.



"Hakikat bahawa kanak-kanak ini membesar di luar sana tanpa bapa mereka, pada kami ini adalah tanda yang berbahaya... jadi bersama-sama SPS, kami cuba sedaya upaya untuk mewujudkan hubungan tersebut," ujar beliau, yang merupakan bapa tiga anak.



Antara mereka yang hadir semalam ialah Natasha, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, yang ditemani mak cik dan pak ciknya, Cik Anna, 32 tahun; dan Encik Isa, 35 tahun (kesemuanya merupakan nama samaran).



Bapa Natasha, Daniel, 37 tahun, telah dimasukkan ke penjara akibat kesalahan berkaitan dadah sejak anak tunggalnya itu berusia hanya dua bulan.



Natasha dibesarkan Cik Anna dan Encik Isa kerana ibu kandungnya juga sedang meringkuk di penjara akibat kesalahan dadah.



Melahirkan kegembiraannya dapat bertemu dengan anaknya secara maya semalam, Daniel berkata dia tidak sabar dibebaskan bulan ini kerana mahu bertemu dan berada dengan anaknya itu secara fizikal.



"Saya rasa saya telah gagal kerana dia berhak mendapat lebih baik lagi. Dengan ketiadaan saya, bukan sahaja dia yang kehilangan banyak perkara, saya juga banyak kehilangan.



"Saya tidak dapat menyaksikan dia membesar, langkah-langkah pertamanya, perkataan pertamanya, saya tak dapat menghantarnya ke sekolah, malah apabila dia sakit pun saya tak dapat berada di sisinya apabila dia memerlukan kasih sayang seorang ayah," ujarnya.



Daniel, yang sudah tujuh kali keluar masuk penjara berkata kehadiran anak perempuannya itu telah memberi semangat baru kepadanya untuk berubah.



Apabila dibebaskan kelak, dia sudah pun mendapatkan pekerjaan di sebuah pusat panggilan, kongsinya.



"Sememangnya saya berharap dapat membuktikan kepada diri saya dan anak saya bahawa saya boleh berubah dan menjadi insan yang lebih baik," ujarnya, yang setelah dibebaskan nanti, bakal menyambut ulang tahun anaknya itu secara fizikal buat kali pertama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >