Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

PM Lee: Masyarakat Melayu perlu tangani masalah kencing manis

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

PM Lee: Masyarakat Melayu perlu tangani masalah kencing manis

Beliau memuji penyertaan ramai anak Melayu dalam prasekolah dan maju dalam bidang IT
Aug 20, 2017 | 07:07 PM

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong melahirkan keprihatinannya terhadap masalah penyakit kencing manis yang dihadapi masyarakat Melayu.

Menyifatkannya sebagai satu masalah yang serius yang menjejas 10 peratus rakyat negara ini, peratusan yang menjerat orang Melayu di sini adalah lebih tinggi - sebanyak 17 peratus.

"Satu sebab ialah masalah berat

badan, yang juga lebih serius di kalangan orang Melayu. Apabila anda menghidap kencing manis, ia tidak boleh sembuh.

"Ia hanya boleh dikawal. Tetapi jika ia tidak dikawal dengan baik, banyak kesulitan boleh timbul dan membahayakan nyawa anda," kata PM Lee semasa berucap dalam bahasa Melayu di Rapat Hari Kebangsaan yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal di Ang Mo Kio Drive, petang ini.

Untuk mengatasi masalah ini, beliau memberikan dua saranan, yakni, menjaga makan dan minum selain meningkatkan senaman.

"Saya tahu masakan Melayu memang sedap kerana kandungan lemaknya. Malangnya, lemaknya itu datang dari santan dan gula...

"Selain daripada menjaga makan dan minum, kita juga harus menjaga aktiviti harian dengan banyakkan bersenam.

"Doktor cadangkan kita lakukan aktiviti fizikal 150 minit seminggu atau kira-kira 20 minit sehari.

"Sebenarnya, tidak susah. Dengan melakukan aktiviti yang kita gemari, kita tidak terasa ia satu beban.

"Kita boleh berjalan pantas, atau ikuti kelas aquarobics dengan kawan-kawan. Bagi yang lebih muda, anda boleh mencuba futsal ataupun floorball," ujarnya.

Rapat Hari Kebangsaan bermula tepat 6.45 petang tadi, dengan siaran boleh diikuti secara langsung di saluran televisyen, radio dan media sosial.

Orang ramai boleh mengikutinya di Channel 5, 938LIVE mulai 6.45 petang dan di Channel NewsAsia bermula 8.15 malam.

Siaran dalam bahasa Melayu boleh diikuti di saluran Suria, dan di saluran radio Warna 94.2FM mulai 6.45 petang dan 8.15 malam.

Dalam ucapannya dalam bahasa Melayu juga, Encik Lee turut membincangkan dua isu nasional yang lain, yakni meningkatkan pendidikan prasekolah dan membentuk Negara Bijak.

Menerangkan mengapa ketiga-tiga isu ini diberikan sorotan dalam rapat kali ini, Encik Lee menyatakan; "Ini semua isu jangka panjang tetapi kita perlu buat persediaan sekarang supaya kita dapat meraih manfaatnya pada masa hadapan."

Menyentuh tentang soal pendidikan prasekolah, Encik Lee berkata, pendidikan prasekolah penting bagi kanak-kanak membina kemahiran kognitif, emosi dan sosial. Dengan mengikutinya, setiap anak dapat mencapai potensi sepenuhnya di sekolah, dalam kerjaya dan dalam kehidupan.

Dari sudut yang lebih luas kata beliau, sistem prasekolah yang baik membolehkan:

a. Setiap pelajar bersaing secara adil dalam sistem meritokrasi kita;

b. Setiap warga pula boleh menikmati hasil kemajuan Singapura; dan

c. Ini akan terus menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang penuh dengan peluang dan harapan untuk semua warganya.

"Sebab itu, saya gembira, kini lebih ramai kanak-kanak Melayu mendapat pendidikan prasekolah. Itulah sebabnya juga Pemerintah sedang meningkatkan mutu prasekolah, dan memastikan biayanya dimampui," katanya.

Menyentuh tentang pembentukan Negara Bijak pula, Encik Lee berkata pemerintah "ingin menggunakan IT sepenuhnya untuk mencipta peluang dan pekerjaan bagi semua rakyat Singapura".

Memuji usaha masyarakat Melayu menceburi bidang IT, Encik Lee berkata:

" Masa depan generasi muda kita cerah. Ramai pelajar Melayu di universiti, politeknik dan ITE sedang mengikuti pelbagai kursus teknikal.

"Kursus seperti kejuruteraan sofwe, sains data dan seni digital akan menjamin peluang yang baik dalam ekonomi baru," jelasnya lagi.

Mengakhiri ucapan dalam bahasa Melayu, beliau melahirkan rasa gembira masyarakat Melayu terlibat sepenuhnya dalam usaha pemerintah untuk membina Singapura yang bersedia bagi mengharungi masa hadapan.

" Iltizam ini akan memacu kita mencatat kemajuan dan mengatasi cabaran bersama-sama sebagai satu masyarakat yang utuh.

Itulah visi Presiden pertama kita, Encik Yusof Ishak, 50 tahun lalu," kata Encik Lee.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3