KEHARMONIAN kaum dan agama di Singapura perlu dijaga dengan begitu teliti "seperti kita menatang minyak yang penuh", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Akur penyesuaian perlu dibuat sejajar nilai-nilai yang berubah dari generasi ke generasi dan aspirasi pelbagai kaum yang semakin meningkat, Encik Lee berkata salah satu penyesuaian sedemikian ialah soal pemakaian tudung oleh jururawat Muslim. Ini bukan isu baharu.

"Saya sendiri telah berbincang tentang perkara ini dengan pemimpin agama dan masyarakat.

"Saya katakan kepada mereka, "Saya faham hasrat anda. Saya hargai pandangan anda dan akur tentang aspirasi masyarakat Melayu/Islam, tetapi saya juga berharap anda turut memahami pertimbangan dan keprihatinan nasional Pemerintah," kata Encik Lee semasa ucapan Bahasa Melayunya di Rapat Hari Kebangsaan 2021.

Beliau berkata keprihatinan utama pemerintah ialah keharmonian kaum.

"Pemerintah wajib memastikan bahawa sebarang perubahan kepada peraturan mengenai tudung, harus merapatkan masyarakat Singapura yang berbilang kaum.

"Kita tidak mahu perubahan ini meluaskan jurang antara kaum dan melemahkan kita," kata beliau.