Pada 10 Julai 2013, sebuah tragedi yang menyayat hati melibatkan sepasang bapa dan anak menjadi perbualan ramai.
Mendiang Tan Boon Sin, 67 tahun, dan anaknya, Tan Chee Heong, menjadi mangsa pembunuhan berganda yang berlaku di Kovan.
Pasukan Polis Singapura (SPF) segera bertindak dan mengesan Staf Sarjan Kanan, Iskandar Rahmat sebagai suspek yang terlibat dalam kes tersebut. Iskandar diberkas sebagai penjenayah dalam tragedi itu.
Episod keempat podcast #NoTapis Diari Mahkamah memberikan paparan lanjut tentang tragedi itu.
Peguam Cik Syafiqah Ahmad Fuad dari IRB Law memberikan penjelasan mengenai kes tersebut sementara penolong editor berita, Cik Ervina Mohd Jamil pula menyingkap tentang liputan mengenai peristiwa tragis itu.
Pada hari pembunuhan berganda itu, tubuh seorang lelaki Cina berusia 42 tahun, mendiang Tan Chee Heong, ditemui di tepi jalan raya bersebelahan stesen MRT Kovan.
Tubuhnya berlumuran darah dan beliau ditemui dengan berbelas kesan luka di kepala, muka, dan leher.
Laporan mengesahkan bahawa beliau diseret di bawah kereta Toyota Camry milik keluarganya sendiri.
Mayat bapanya, mendiang Tan Boon Sin, kemudian ditemui di rumah keluarganya di 14J Hillside Drive dengan hampir 20 kesan tikaman di leher dan muka.
Namun, tiada senjata yang ditemui di tempat kejadian.
Kereta Toyota Camry itu kemudian ditemui dengan kesan darah dekat Blok 1084, Eunos Avenue 7 pada 11 Julai 2013.
Suspek, Iskandar, ditangkap di Danga Bay, Johor Bahru, 56 jam selepas pembunuhan berlaku. Dia kemudian didakwa atas dua tuduhan membunuh dan perbicaraannya bermula pada 20 Oktober 2015.
Pembunuhan berganda di Kovan itu berpunca daripada masalah kewangan yang dialami Iskandar selepas penceraiannya, di mana beliau menanggung hutang mencecah lebih $60,000 pada Jun 2012.
Dalam perbicaraan, pihak pendakwa mengetengahkan lebih 100 orang saksi dan 17 orang daripadanya dipanggil ke mahkamah.
Mereka membuktikan bahawa Iskandar mempunyai niat untuk membunuh.
Pada 4 Disember 2015, hukuman mati dijatuhkan ke atas Iskandar atas pembunuhan berganda di Kovan.
Kisah tragis itu turut menjadi perbualan dalam podcast #NoTapis Diari Mahkamah.
Untuk mendengar kisah pembunuhan berganda di Kovan dengan lebih terperinci, anda boleh mendengarnya di podcast #NoTapis Diari Mahkamah menerusi Spotify, Apple Podcast, atau laman web beritaharian.sg/podcasts.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg