SEKITAR 100 kanak-kanak dari tujuh prasekolah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) meraikan Bulan Bahasa secara dalam talian pada Jumaat (8 Okt) dengan menghasilkan video kreatif dengan ibu bapa mereka.
Kanak-kanak tersebut telah membuat persembahan muzikal dan berlakon menggunakan Bahasa Melayu sambil menonjolkan pemahaman mereka tentang budaya dan tradisi Melayu.
Ini merupakan tahun keempat PPIS menyambut Bulan Bahasa, dengan tema tahun ini 'PPIS Bulan Bahasa 2021: Semarak Bahasa dan Budaya'.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim telah menghadiri acara tersebut sebagai tetamu terhormat.
"Bahasa Melayu milik kita dan merupakan kebanggaan kita, ia adalah salah satu simbol identiti kita.
"Untuk membina masyarakat yang kohesif dan bersatu, setiap individu perlu menyumbang terhadap pembangunan identiti yang dikongsi sama ini.
"Oleh itu, adalah penting untuk mengukuhkan penggunaan Bahasa Melayu agar kita dapat membina identiti yang kuat agar kita dapat sama-sama maju sebagai satu masyarakat Melayu," kata Dr Faishal dalam ucapannya.
Diadakan secara tahunan, Bulan Bahasa dianjurkan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu di sini.
Menekankan kepentingan bahasa dalam pembangunan awal kanak-kanak, Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim berkata:
"Lebih daripada menguasai Bahasa Melayu, bahasa merupakan asas pembelajaran dan pembangunan kanak-kanak.
"PPIS berharap dapat menyediakan sekitaran pembelajaran kondusif yang dapat menyemai cinta terhadap Bahasa Melayu."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg