Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrasekolah boleh benarkan ibu bapa murid baru masuk premis mulai 19 Ogos
Prasekolah boleh benarkan ibu bapa murid baru masuk premis mulai 19 Ogos
IBU bapa kanak-kanak prasekolah yang baru mendaftar boleh dibenarkan memasuki premis sekolah mulai Khamis (19 Ogos), kata Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak Awal (ECDA) pada Isnin (16 Ogos). Tetapi ini tertakluk kepada langkah pengurusan selamat seperti had satu ibu bapa dalam kelas. Ibu bapa yang menemani anak yang baru mendaftar itu juga harus divaksinasi atau telah menjalani ujian pantas antigen (ART) sebelum masuk, kata ECDA, yang menguruskan sektor pendidikan awal kanak-kanak di Singapura. Kelonggaran peraturan pengurusan selamat di prasekolah itu dibuat sedang Singapura mula melonggarkan langkah kawalan Covid-19, seperti membenarkan orang ramai menjamu selera di luar dengan syarat tertentu. ECDA juga berkata dalam kenyataannya bahawa prasekolah juga akan diletakkan di bawah rejimen "vaksin atau ujian kerap". Mulai 1 Oktober, kakitangan prasekolah yang tidak divaksinasi harus menjalani ujian ART dua kali seminggu. ECDA berkata majoriti kakitangan prasekolah sudah diberi vaksin penuh atau telah mengambil dos pertama mereka. Ia juga berkata prasekolah akan terus berwaspada dan mematuhi langkah pengurusan selamat yang ketat. Ini termasuk melarang pengunjung, memastikan kebersihan diri dan persekitaran yang baik di kalangan kanak-kanak dan kakitangan, dan memastikan kanak-kanak hanya berinteraksi dalam kelas masing-masing. Sedang Singapura bergerak ke arah menjalani kehidupan dengan Covid-19 sebagai penyakit endemik dan lebih banyak kegiatan disambung dalam masyarakat, kes Covid-19 di prasekolah harus dijangkakan walaupun terdapat langkah pengurusan selamat dan usaha terbaik daripada sekolah, kata ECDA.