Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Halimah temui Presiden baru UAE

May 18, 2022 | 5:30 AM
BERKONGSI KEDUKAAN: Presiden Halimah Yacob bertemu Presiden UAE, Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan, yang juga Raja Abu Dhabi, untuk menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Singapura atas pemergian mantan presiden Sheikh Khalifa dan mengucapkan tahniah atas pemilihan Sheikh Mohamed sebagai Presiden baru amiriah itu. - Foto AFP
BERKONGSI KEDUKAAN: Presiden Halimah Yacob bertemu Presiden UAE, Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan, yang juga Raja Abu Dhabi, untuk menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Singapura atas pemergian mantan presiden Sheikh Khalifa dan mengucapkan tahniah atas pemilihan Sheikh Mohamed sebagai Presiden baru amiriah itu. - Foto AFP -

PRESIDEN Halimah Yacob telah bertemu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Presiden baru Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang juga Raja Abu Dhabi, kelmarin dan menyampaikan ucapan takziah atas pemergian mantan presiden Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan, bagi pihak Singapura.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Sheikh Mohamed atas pemilihannya sebagai presiden baru UAE, sambil berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan Sheikh Mohamed untuk mengeratkan lagi hubungan dua negara itu.

Menulis dalam satu catatan di Facebook semalam, Presiden Halimah berkata: "Bagi pihak Singapura, saya menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan.

"Syeikh Khalifa disayangi rakyat UAE dan akan sangat dirindui. Di bawah kepimpinan Sheikh Khalifa, UAE makmur dan berkembang dengan mantap.

"Hubungan Singapura-UAE juga telah bertambah kukuh, sejak Sheikh Khalifa menjadi tuan rumah kepada Presiden S R Nathan dalam satu lawatan negara pada 2009."

Pada masa sama, Puan Halimah berkata beliau juga mengambil kesempatan pada pertemuan itu untuk mengucapkan tahniah kepada Sheikh Mohamed di atas pemilihannya sebagai Presiden baru UAE.

"Kali terakhir saya menjadi hos kepadanya ialah dalam satu lawatan rasmi beliau ke Singapura pada Februari 2019.

"UAE adalah rakan kongsi yang sudah lama terjalin dan dihargai buat Singapura, dan saya berharap dapat bekerjasama dengan Sheikh Mohamed untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala kami," tulis beliau.

Sebelum ini, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan Puan Halimah mewakili Singapura di majlis perkabungan rasmi Sheikh Khalifa kelmarin di Abu Dhabi, UAE.

Menurut kenyataan MFA itu, Puan Halimah diiringi Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, dan pegawai daripada pejabat Presiden dan MFA.

Pada Sabtu lalu, Presiden Halimah dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, merakamkan ucapan takziah kepada UAE menyusuli pemergian Presiden Sheikh Khalifa, yang dianggap pemoden pro-Barat yang membawa negara Arab Teluk itu lebih dekat kepada Amerika Syarikat dan sekutunya.

Beliau dilahirkan pada 1946 dan jarang dilihat di khalayak ramai selepas diserang penyakit angin ahmar pada 2014.

Semasa ketiadaan Presiden Halimah, Pengerusi Majlis Penasihat Presiden (CPA), Encik Eddie Teo, menjalankan tugas Pejabat Presiden.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg