PANDEMIK koronavirus Covid-19 menimbulkan kerunsingan dalam masyarakat, tetapi bagi individu yang terjejas dari segi kesihatan mental, pandemik tersebut mendatangkan cabaran lebih berat, kata Presiden Halimah Yacob.
Oleh itu, adalah penting masyarakat terus menghulurkan bantuan kepada golongan itu di tengah-tengah pandemik ini.
Presiden Halimah berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke badan kebajikan Psalt Care di Jalan Lepas dekat Hougang semalam.
Psalt Care menyediakan pelbagai perkhidmatan dan program yang dibiayai Cabaran Presiden (PC), bagi menyokong kesejahteraan dan kesihatan individu yang mengalami penyakit mental.
Pusat itu salah satu daripada 72 badan benefisiari Cabaran Presiden tahun ini.
Dalam lawatan beliau itu, Presiden Halimah turut merasmikan pembukaan hab kegiatan Psalt Care, yang dinamakan Betsy's Place dan mula beroperasi pada 1 April.
"Tujuan Psalt ialah memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan kerana mempunyai isu-isu kesihatan mental.
"Psalt memainkan peranan penting kerana ia memberi ruang selamat bagi mereka yang memerlukannya," kata Presiden Halimah.
Antara program yang disediakan Psalt Care ialah program kumpulan sokongan rakan, ialah individu yang telah melalui proses pemulihan atau telah pulih daripada penyakit mental kini menyumbang kembali dengan menyokong individu lain yang memerlukan bantuan.
Presiden Halimah melahirkan rasa gembiranya bahawa program sedemikian terus membantu golongan tersebut dalam situasi pandemik Covid-19.
"Satu yang unik ialah mereka tidak terus memberhentikan program-program itu (ketika pandemik ini), mereka meneruskannya melalui penggunaan teknologi, menerusi Zoom, misalnya," kata beliau.
Presiden Halimah berharap masyarakat Singapura terus menyokong individu terjejas dari segi kesihatan mental kerana ia adalah penting bagi proses pemulihan mereka.
Puan Halimah juga berharap lebih banyak sumber dan sokongan akan diberikan kepada badan-badan yang membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
"Adalah penting kita terus meningkatkan usaha seluruh masyarakat demi memupuk kesejahteraan mental dan tidak bergantung pada usaha institusi sahaja.
"Menerusi Cabaran Presiden dan pelbagai rakan masyarakat, saya berharap ia akan memupuk lebih banyak kesedaran tentang kesihatan mental, dan meluaskan usaha membantu mereka yang menghadapi penyakit kesihatan mental dalam perjalanan mereka ke arah pemulihan dan integrasi semula," kata Puan Halimah.