Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program beri peluang keluarga susah jalani aktiviti

Jun 22, 2022 | 05:30 AM



SEMALAM, Cik Roziana Ramli, 41 tahun, dan suaminya Encik Nik Muhammad Nasrullah Samsudin, 28 tahun, sibuk membuat kraf tangan dan menonton pementasan di Pusat Seni Aliwal bersama dua anak mereka berusia tiga tahun dan sembilan bulan.



Pementasan itu antara lain mengajar penonton peri pentingnya menghormati dan menghargai orang di sekeliling mereka tidak kira perbezaan mereka, menerusi watak hidupan laut seperti ikan yu, ketam, dan lain-lain lagi.



Ditonton para ibu bapa di bersama anak kecil mereka, ia turut memupuk kepentingan ibu bapa meluangkan masa melakukan kegiatan interaktif dengan anak-anak mereka.



Cik Roziana, terharu dapat melakukan kegiatan seperti itu, kerana ia tidak selalu dilakukan mereka sekeluarga, bahkan dianggap satu kemewahan setelah melalui perjalanan hidup agak sulit sebelum ini.



Daripada kehilangan rumah, kemudian menumpang tempat berteduh selepas berpisah dari pasangan pertamanya, dan kini menduduki rumah sewa dua bilik bersama suami dan lima anaknya, Cik Roziana, yang tidak mempunyai adik-beradik dan kededua ibu bapanya sudah meninggal dunia, berkata:



"Jujur saya tak pernah bayangkan saya bersama anak-anak dapat menyertai program seperti ini."



Keluarga beliau antara 30 keluarga diundang KidSTART Singapura menyertai program dan menonton pementasan interaktif bertajuk KidSTART Sea Adventures pagi semalam.



KidSTART Singapura adalah sebuah pertubuhan kendalian Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) yang bertujuan memperkasa keluarga berpendapatan rendah dengan anak berusia sehingga enam tahun, membina asas kekeluargaan teguh.



Program semalam - acara fizikal pertama KidSTART sejak ia ditubuhkan pada 2016 - antara lain menggalak ibu bapa meluangkan masa bermutu serta memupuk nilai baik menerusi kegiatan interaktif seperti bermain bersama anak mereka.



Cik Roziana dirujuk untuk menerima bantuan KidSTART menerusi Pertubuhan Khidmat Sosial (SSO) selepas anak kelimanya dilahirkan pada 2019.



Beliau berkata sebelum ini, beliau tidak sedar betapa mendalamnya kesan tingkah laku ibu bapa terhadap pembesaran anak-anak, lebih lagi kerana sibuk menyara hidup keluarganya.



Cik Roziana dan suaminya, seorang warga Malaysia yang sebelum ini bekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B) dan kini masih dalam proses mendapatkan pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan tetap.



"Hidup kami seolah gali lubang, tutup lubang. Apa yang kami dapat dari kerja, hampir semua digunakan untuk sara hidup keluarga kami," kata Cik Roziana.



"Jadi, saya sangat terharu apabila kami menerima bantuan ini, sebab waktu kami memulakan rumah tangga baru itu ia sangat-sangat susah,"



Antara lain, pasangan itu, menerima bimbingan keibubapaan oleh KidSTART secara kerap setiap bulan menerusi program kunjungan rumah.



Keluarga Cik Roziana juga menerima alat teknologi maklumat seperti tablet dan komputer riba, dan rangkaian internet bagi anaknya menghadiri program pembelajaran dalam talian di rumah, yang ditaja KidSTART dengan syarikat SP Group.



Ketika diwawancara, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), KidSTART Singapura, Cik Rahayu Buang, berkata, bantuan sedemikian penting bagi ibu bapa keluarga berpendapatan rendah hadir serta mengutamakan pembesaran anak mereka pada peringkat awal.



"Disebabkan situasi mereka yang mungkin agak sulit atas sebab kewangan atau sebab lain, ibu bapa dari golongan tersebut mungkin memberi tumpuan lebih kepada urusan menyara hidup keluarga mereka, dan tumpuan terhadap pembesaran anak mereka pada usia muda itu tidak begitu kerap dan mendalam," jelasnya.



"Jadi program yang kami adakan seperti hari ini (semalam) dalam berdasarkan sains dan bukti, bahawa tempoh genting pembesaran anak mereka ialah sehingga usia lima tahun.



"Dan ia mengajar ibu bapa, mereka tidak perlu berbelanja atau membeli mainan mahal, namun lebih penting adalah layanan yang bermutu seperti menceritakan nilai-nilai baik menerusi kegiatan bermain bersama anak, yang akan memberi kesan mendalam bagi anak-anak mereka buat sekian lamanya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >