Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENINJAU PENCAPAIAN MASYARAKAT SEPANJANG 2023

Program M³ catat beberapa kejayaan, tapi masih di tahap awal: Masagos

Dec 03, 2023 | 05:30 AM



Kegiatan dan program yang dijalankan di bawah M Kuasa Tiga (M³) telah menunjukkan beberapa tanda kejayaan, namun ia masih lagi di peringkat awal dan lebih banyak masa diperlukan untuk meninjau keberkesanannya, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Sementara beberapa program, yang telah diusahakan sebelum wujudnya M³, telah menunjukkan pencapaian yang baik, yang lain pula memerlukan lebih banyak masa bagi penilaian keberkesanannya untuk jangka panjang, tambah beliau.

Encik Masagos berkata demikian dalam sesi wawancara akhir tahun bagi merumuskan tentang pencapaian dan hal ehwal masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang 2023 pada 29 November yang diadakan di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

“Antara program-program yang dilakukan sebelum M³, seperti untuk membanteras kadar kebentanan, telah dilakukan sejak 2007. Tetapi ia telah dialih dari saya kepada Amrin (mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan)) dan kemudian kepada Faishal (Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara)).

“Ia telah dimasukkan ke dalam program M³ dan dikembangkan oleh mereka yang banyak juga menyumbang kepada pencapaian yang baik itu hinggakan kadar kebentanan turun daripada 44 peratus pada 2007 kepada 24 peratus sekarang.

“Program-program lain seperti Bersamamu dan selain darinya adalah program yang boleh disebutkan berjaya dari segi prosesnya, iaitu dari segi penyertaan, kesan sambutan peserta dan sebagainya.

“Tetapi kita perlu melakukan penyelidikan jangka masa panjang untuk mengetahui, umpamanya, apakah 10 tahun dari sekarang, mereka yang menjalani program Bersamamu akan tetap sebagai suami isteri? Ini belum kita tahu kerana masih dalam tahap awal,” jelas Encik Masagos.

Turut hadir di sesi wawancara itu ialah lima pemegang jawatan politik Melayu lain – Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Parlimen Kanan (Undang-undang merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman.

Sudah lima tahun sejak M³ – terdiri daripada Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) – dibentuk pada 2018 dalam usaha menyelaraskan sokongan dan bantuan untuk masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Pelbagai kegiatan dan program diadakan di bawah M³, dengan tumpuan pada lima bidang – pekerjaan dan daya kerja; kesihatan lebih baik untuk masyarakat; perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak; sokongan buat individu mudah terjejas dan keluarga mereka; dan pemerkasaan serta pementoran belia.







Antaranya, Program Bersamamu – daya usaha oleh naib kadi dan kadi untuk menyokong pasangan dari sebelum mereka bernikah hingga beberapa tahun pertama perkahwinan – telah memberi manfaat kepada lebih 23,000 pasangan sejak dilancarkan empat tahun lalu.

Projek Dian, yang membantu keluarga tinggal di flat sewa, telah mendekati hampir 400 keluarga Melayu/Islam di enam bandar M³ iaitu Bedok, Geylang Serai, Jalan Besar, Jurong, Chua Chu Kang dan Tampines.

Program Fitrah pula telah membantu lebih 100 banduan yang diletakkan dalam program berasaskan masyarakat sejak khidmat pengurusan kes dimulakan.

Fitrah menyediakan program keagamaan dalam penjagaan berstruktur dan menyampaikan khutbah Jumaat berteras konteks keperluan pemulihan banduan Melayu/Islam. Ia juga menyokong pesalah dan keluarga mereka dengan menyediakan khidmat rujukan dan pendamping masyarakat.

Sementara itu, Dr Maliki berkata M³ sedang berusaha menubuhkan papan pemuka atau ‘dashboard’ supaya dapat meneliti perkembangan dan keberkesanan program dan kegiatan di setiap bandar, dengan laporan yang pertama dijangka dikeluarkan pada tahun depan.

“Dashboard M³ akan menunjukkan perkembangan kita, menunjukkan kebolehan kita, menunjukkan apa kekurangannya juga. Ini kerana kita tahu bahawa dalam kerja-kerja sedemikian, bukan semua yang akan menunjukkan kepuasan sahaja tetapi akan terdapat hambatan-hambatan dan kita akan meneliti apakah hambatan tersebut, dan memastikan bahawa kita cuba menangani hambatan tersebut,” kata beliau.

Dr Maliki menambah bahawa penubuhan Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³ (M³ ECO) juga telah membolehkan struktur dilaksanakan bagi Mendaki, Muis dan Mesra bekerjasama dan menyelaraskan kegiatan di kesemua 11 M³@Bandar.

Setiap M³@Bandar kemudian juga dapat membentuk struktur masing-masing supaya dapat menyelaraskan usaha dalam mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi pemerintah untuk menangani masalah yang dihadapi di kawasan mereka.

Perwujudan struktur sedemikian juga telah mempermudahkan M³ bertindak secara proaktif terhadap masalah dan cabaran yang timbul.

Contohnya, Dr Maliki berkata apabila Banci Penduduk menunjukkan jumlah keluarga Melayu/Islam yang tinggal di flat sewa semakin meningkat, M³ secara aktif cuba memahami isu tersebut dan dari situ, terlahirlah Projek Dian.







“Projek Dian juga meletakkan struktur bagi setiap bandar perintis. Di setiap bandar itu, ada pelbagai agensi pemerintah yang terlibat, termasuk HDB, MOE, MSF, majlis bandaran, MOH, KidSTART, dan kami mempunyai jawatankuasa penyelaras yang menyelia kegiatan Projek Dian di peringkat nasional.

“Bagi setiap bandar, kami juga mempunyai pegawai-pegawai yang terlibat kerana kami sedar bahawa untuk bekerjasama dengan keluarga berpendapatan rendah, anda memerlukan tempat bantuan yang mudah didekati dan mudah didatangi, dan mereka perlu rasakan bahawa anda mudah didekati,” kata beliau.

Ditanya apakah isu dan cabaran di dalam dan luar negara yang berlaku sepanjang 2023 telah menghambat kemajuan masyarakat, Cik Rahayu berkata ia sedikit sebanyak memberi kesan kerana masyarakat mungkin kurang fokus ataupun mungkin merasa ada sesuatu isu yang lebih penting daripada isu-isu jangka masa panjang.

Walaupun mungkin ada isu luaran yang perlu diberi keprihatinan, Cik Rahayu menekankan kepentingan memberi tumpuan pada isu-isu yang akan menjejas masyarakat Melayu/Islam untuk jangka panjang, seperti dalam soal pekerjaan, pendidikan dan kesihatan.

“Sebagai pemerintah dan juga pemimpin, yang menjadi keprihatinan kita adalah kehidupan rakyat Singapura, masyarakat Melayu/Islam, dan apa yang akan memberi kesan kepada mereka pada jangka panjang.

“Bukan hanya isu yang meletup sekali sekala. Jadi, walaupun kita harus prihatin tentang isu-isu itu, perlu tanganinya, dalam masa yang sama, kita juga harus sibuk dan teruskan usaha dalam memastikan rangka kerja, aktiviti, terus berjalan,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >