PELAWAK Alias Kadir, 58 tahun, kini telah kehilangan kedua-dua belah kaki selepas kaki kirinya dibedah pada 2017 akibat kencing manis, kaki kanannya pula terpaksa dipotong pada Mei lalu kerana gangren yang teruk.
Dengan keadaan kesihatan seiring komplikasi lain, beliau dijangka memerlukan rawatan panjang di hospital, disusuli sesi fisioterapi.
Justeru, untuk meringankan beban kos rawatan yang berterusan, Jamiyah Singapura pada Khamis (17 Jun) mengumumkan projek pengumpulan dana Projek Permata dengan matlamat mengumpulkan sebanyak $100,000.
Bercakap di sidang akhbar semalam, Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, berkata Alias merupakan antara selebriti yang secara aktif membantu program-program Jamiyah.
“Apabila saya diberitahu oleh Husin Saaban (pelawak dan eksekutif Perhubungan Awam Jamiyah) tentang keadaan Alias, saya sangat sedih kerana mengenangkan jasanya kepada Jamiyah. Saya anggap beliau berpengaruh.
“Kami sama-sama membincangkan bagaimana kami dapat membantu meringankan beban kos rawatan,” ujar Dr Mohd Hasbi.
Menerusi Projek Permata, orang ramai boleh menderma secara dalam talian dengan menderma kepada Jamiyah Singapura di https://forms.jamiyah.org.sg/donation atau PayNow ke UEN S61SS0055KJ04.
Selain itu, derma secara fizikal tunai atau cek atas nama Jamiyah Singapore boleh dilakukan di ibu pejabat badan tersebut yang terletak di 31 Lorong 12 Geylang.