SELAMA lebih tujuh tahun bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura, warga Indonesia Cik Casinah, tidak pernah berkesempatan menyambut Lebaran bersama keluarganya di kampung.
Namun tahun ini agak berbeza dan ia begitu istimewa.
Kali ini, Cik Casinah, 32 tahun, bukan sahaja berpeluang balik ke kampungnya di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia, untuk menyambut Syawal bersama anggota keluarganya, malah, buat pertama kalinya juga beliau berkesempatan meraikan Aidilfitri bersama suami di sisi.
Walau sudah bergelar isteri sejak lebih setahun lalu, namun, Cik Casinah belum sempat berbulan madu atau melancong bersama suami kerana kesuntukan waktu dan tuntutan tugas.
Tahun ini, Cik Casinah berasa cukup bertuah kerana turut mendapat cuti panjang - sehingga 21 hari - yang diberikan oleh majikannya, Encik Amin Kadir dan isteri, Cik Norsidah Mohamed Nasir, kedua-duanya 50 tahun.
"Sudah tujuh tahun saya beraya di sini bersama majikan dan sanak saudara mereka.
"Suasananya meriah dan indah di sini, namun kerinduan untuk bersama keluarga tercinta di kampung, tidak pernah luput dari ingatan saya.
"Inilah Raya saya yang pertama bersama suami dan sejak sekelian lamanya tidak menyambut Lebaran bersama famili di kampung. Tentunya saya amat gembira," akui Cik Casinah yang membelanjakan sekitar $280 untuk membeli tiket penerbangan dua hala ke Jakarta, melalui Singapore Airlines.
Menyifatkan Singapura sebagai negara sumber mata pencarian terbaik bagi dirinya, Cik Casinah yang menganggap negara ini adil, selamat dan menjaga kesejahteraan pekerja asing dan pembantu rumah sepertinya, menambah:
"Kalau di sini, saya yang perlu menyiapkan juadah Raya seperti ayam masak merah, daging rendang, sambal goreng, sambal tumis udang dan banyak lagi.
"Namun jika di kampung hidangan lazim yang kami sediakan ialah seperti lontong dan sayur lodeh berserta lauk opor ayam.
"Manakala salah satu sajian asas orang Jawa ialah nasi lengko, ia seperti nasi putih bercampur sayuran berbumbu dan keropok, namun makanan ini mudah didapati bila-bila masa sahaja," ujar Cik Casinah.
Beliau juga turut menceritakan suasana ketika di bulan Ramadan dan di pagi Syawal serta kegiatan yang kerap dilakukan oleh penduduk di kampungnya.
"Kegiatan yang sering dilakukan ketika di bulan Ramadan ialah mengaji Al-Quran serta bertadarus dan bertarawih di masjid.
"Suasana pagi Syawal di kampung pula, agak syahdu.
"Semua orang kampung akan bersalaman meminta maaf sambil mendengar takbir dan menziarahi kuburan.
"Kami juga akan kunjung mengunjung sanak saudara dan jiran terdekat.
"Namun yang paling indah dan istimewa bagi saya tahun ini ialah dapat menyambut Aidilfitri bersama suami dan ibu mentua untuk kali pertama.
"Inilah saat yang paling saya nantikan selama ini," katanya sambil menguntum senyuman.
"Sudah tujuh tahun saya beraya di sini bersama majikan dan sanak saudara mereka. Suasananya meriah dan indah di sini, namun kerinduan untuk bersama keluarga tercinta di kampung, tidak pernah luput dari ingatan saya... Namun yang paling indah dan istimewa bagi saya tahun ini ialah dapat menyambut Aidilfitri bersama suami dan ibu mentua untuk kali pertama. Inilah saat yang paling saya nantikan selama ini.
- Cik Casinah, pembantu rumah, dari Indramayu, Jawa Barat, Indonesia.