Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pusat Guaman Masyarakat bantu golongan kurang bernasib baik

Feb 01, 2023 | 05:30 AM



GOLONGAN kurang bernasib baik, khususnya di kawasan timur laut, yang memerlukan bantuan guaman kini boleh mendapatkan pertolongan di Pusat Guaman Masyarakat.



Ditubuhkan oleh badan amal, Perkhidmatan Guaman Pro Bono Singapura (Pro Bono SG), pusat itu bermatlamat mendekatkan bantuan guaman kepada mereka yang menghadapi cabaran khususnya dari segi mobiliti dan teknologi.



Pusat yang terletak di premis Kuil Tian De di Hougang itu, adalah yang pertama oleh Pro Bono SG di kawasan kejiranan, dan akan memberi tumpuan kepada penduduk timur laut seperti di Hougang, Punggol serta Sengkang.



Dua peguam sepenuh masa akan ditugaskan di pusat itu yang menerima komitmen pendanaan lebih $700,000 daripada para penyumbang.



Pusat itu juga akan bekerja rapat dengan rakan masyarakat seperti Pusat Perkhidmatan Keluarga, Pejabat Khidmat Sosial dan Agensi-agensi Khidmat Sosial, bagi menyediakan jagaan guaman bersepadu.



Ia adalah yang pertama daripada lima pusat yang dirancangkan oleh Pro Bono SG di lima kawasan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).



Semasa melancarkan pusat itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong berkata pusat ini akan meningkatkan lagi akses terhadap usaha mencapai keadilan dengan memastikan sokongan guaman disediakan di kawasan kejiranan.



Buat pertama kali, menurut beliau, akan terdapat peguam masyarakat sepenuh masa berkhidmat untuk masyarakat di kesemua lima kawasan CDC yang boleh memberikan nasihat guaman.



"Matlamat lebih luas inisiatif ini ialah untuk menyediakan jagaan guaman bersepadu kepada penduduk dengan menguruskan keperluan guaman mereka mahupun keperluan lain yang menjangkaui isu-isu guaman," ujar beliau.



"Mengapa penjagaan bersepadu penting? Ini kerana seringkali, individu berdepan dengan isu guaman juga berdepan dengan isu kewangan, keluarga dan sosial lain.



"Isu-isu ini juga memerlukan huraian di luar bidang guaman."



Buat masa ini, golongan memerlukan harus ke syarikat guaman yang kebanyakan terletak di pusat bandar, akses khidmat dalam talian atau bekerjasama dengan karyawan khidmat sosial.



Maka, pusat ini akan memanfaatkan mereka yang kekurangan dari segi mobiliti atau teknologi, cabaran kewangan atau masa dan tidak perlu melangkah jauh untuk meminta bantuan, kata peguam dari Halijah Mohamad & Co, Cik Halijah Mohamad.



Beliau yang merupakan antara 10 peguam berpengalaman dalam panel sumber pusat itu berkata usaha ini akan memanfaatkan ramai penduduk, termasuk masyarakat Melayu.



"Satu perbezaan utama pusat ini dibandingkan dengan klinik bantuan guaman lain ialah para peguam bukan sahaja boleh memberikan nasihat guaman, tetapi mereka boleh mewakili anak guam jika ada keperluan dan bila masa mengizinkan.



"Ini akan memberi manfaat kepada ramai penduduk kurang bernasib baik dalam kes-kes rumit," terang Cik Halijah.



Pengurus pusat itu, Cik Natasha Baobed menjangkakan menerima 10 hingga 15 pertanyaan setiap hari.



Pusat itu dibuka kepada orang ramai dari Isnin hingga Jumaat, dan mereka yang ingin mendapatkan bantuan digalak menghubungi dahulu menerusi emel help@probono.sg, atau telefon 1800-776 2666.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >