SEORANG remaja warga Singapura yang mengancam membunuh pemain Liga Perdana England, Neal Maupay dan keluarga pemain bola sepak itu dijatuhkan hukuman probesen sembilan bulan semalam.
Pemain barisan depan berusia 23 tahun di pasukan Brighton dan Hove Albion Football Club itu bersama keluarganya berada di Britain apabila Derek Ng De Ren, yang kini berusia 19 tahun membuat ancaman itu pada Jun dan Julai tahun lalu, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Ng sebelum ini mengaku bersalah atas dua tuduhan menyebabkan gangguan.
Lagi dua tuduhan serupa diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.
Ibunya dilantik memastikan Ng terus berkelakuan baik setelah membayar ikat jamin $5,000.
Timbalan Pendakwa Raya Encik Jeremy Bin memberitahu mahkamah bahawa disebabkan mesej-mesej daripada Ng, pemain Liga Perdana itu menghadapi tekanan dan percaya bahawa ancaman pada nyawanya merupakan sesuatu yang benar.
DPP itu menambah:
"Mangsa dan keluarga tidak meninggalkan rumah kerana takut diserang."
Pada 20 Jun tahun lalu, Encik Maupay berjaya menjaringkan gol yang membolehkan pasukannya menang dalam satu perlawanan dengan Arsenal, namun penjaga gol Arsenal, Bernd Leno mengalami kecederaan dan dipaksa dikeluarkan daripada perlawanan itu selepas bergelut dengan Encik Maupay.
DPP Bin memberitahu mahkamah daerah Cik May Mesenas:
"Ng menonton perlawanan itu...di rumah neneknya di Singapura.
"Dia yang merupakan penyokong Arsenal, berasa marah dengan jaringan itu hingga menyebabkan Arsenal tewas. Dia juga menyalahkan mangsa atas kecederaan yang dialami penjaga gol Arsenal."
Dengan menggunakan satu akaun tanpa nama sebenar, Ng menghantar beberapa mesej ancaman menerusi platform media sosial Instagram.
Dalam satu kiriman mesej empat hari kemudian, Ng berkata:
"Kau fikir kau boleh larikan diri daripada mencederakan Leno? Langsung tidak mungkin bruv... Tapi jangan khuatir, kau akan selamat dan tidak akan disakiti.
"Lagi seronok melihat kau rasa keperitan apabila orang yang kau sayang menjalani kesakitan itu."