Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Remaja terima vaksin salah dalam keadaan baik: Chun Sing

MOE telah hubungi ibu bapa, akan terus pantau keselamatannya
Jun 05, 2021 | 05:30 AM



PELAJAR lelaki berusia 16 tahun yang secara silap diberikan vaksin Moderna berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan buruk sejauh ini, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing, sehari selepas pelajar itu menerima vaksin yang belum diluluskan bagi kumpulan usianya.



Mengongsi lanjut, Encik Chan berkata pihak Kementerian Pendidikan (MOE) telah menghubungi keluarga pelajar itu dan akan terus memantau kesihatan dan keselamatan pelajar tersebut.



Sejak kejadian itu berlaku kelmarin, Encik Chan berkata kakitangan Kementerian Kesihatan (MOH) telah diberi taklimat menyeluruh yang meliputi kedua-dua proses pendaftaran vaksinasi dalam talian dan juga pengesahan butiran dan maklumat di pusat vaksinasi.



"Terdapat proses di mana kakitangan MOH akan meneliti proses pendaftaran untuk melihat bagaimana kami boleh mengurangkan kejadian kesilapan.



"Namun begitu, lapisan pemeriksaan terakhir mesti dilakukan di pusat vaksinasi, di mana sebelum vaksinasi, kakitangan akan memeriksa dan mengesahkan nombor kad pengenalan, alahan, profil usia individu yang datang untuk mendapatkan vaksinasi," kata beliau.



Encik Chan menambah bahawa ibu bapa pelajar yang terjejas itu dalam keadaan tenang dan kementeriannya sedang bekerja rapat untuk menyokong keluarga tersebut dan memastikan kesihatan dan kesejahteraan pelajar itu dijaga.



Kesilapan itu berlaku di pusat vaksinasi Kelab Masyarakat Kolam Ayer kelmarin, apabila kakitangan mengenal pasti bahawa pelajar lelaki itu sebenarnya berusia bawah 18 tahun selepas dia telah diberikan suntikan dos pertamanya.



Remaja itu didaftarkan sebagai berusia atas 18 tahun selepas tarikh kelahirannya dimasukkan secara salah semasa proses tempahan janji temu vaksinasi.



Ini membolehkan pusat vaksinasi memberikan vaksin Moderna kepada pelajar itu.



Di pusat vaksinasi itu, kakitangan tidak memeriksa usia pelajar itu semasa pendaftaran, dan kesilapan itu hanya dikesan selepas remaja itu mendapatkan suntikannya.



Dalam satu kenyataan bersama, MOE dan MOH berkata kakitangan pusat vaksinasi itu sepatutnya memeriksa usia pelajar itu terdahulu semasa proses pendaftaran, dan telah meminta maaf bagi kesusahan dan kebimbangan yang berlaku.



MOH kini sedang melaksanakan semakan proses dalaman di pusat vaksinasi untuk mengelakkan kesilapan daripada berlaku lagi, termasuk memperkukuh proses pendaftaran dalam talian dan melaksanakan protokol lebih ketat di pusat vaksinasi untuk mengesahkan kelayakan.



Di Singapura, hanya vaksin Pfizer-BionTech telah diberikan kelulusan bagi penggunaan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.



Meskipun data daripada satu ujian melibatkan lebih 3,700 remaja berusia 12 dengan 17 tahun di Amerika Syarikat mendapati bahawa vaksin Moderna selamat dan berkesan bagi golongan itu, vaksin tersebut belum mendapatkan kelulusan bagi penggunaan di Singapura bagi mereka yang berusia bawah 18 tahun.



Program vaksinasi Covid-19 bagi lebih 400,000 pelajar berusia 12 tahun dan ke atas bermula kelmarin, dengan keutamaan diberikan kepada kohort yang akan menduduki peperiksaan GCE peringkat 'N', 'O' dan 'A' tahun ini.



Semalam, Encik Chan mengunjungi pusat vaksinasi MOE di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central untuk meninjau persiapan yang dilakukan sebelum ia dibuka pada Isnin ini.



Ia merupakan antara empat pusat vaksinasi MOE yang akan ditubuhkan untuk menyokong vaksinasi untuk pelajar, dengan tiga pusat lain terletak di kampus ITE di Choa Chu Kang dan Simei, dan satu lagi di Pusat Konvensyen Raffles City.



Pusat vaksinasi di ITE akan dapat memberikan 1,600 dos vaksin sehari manakala pusat di Raffles City itu boleh memberikan 2,000 dos sehari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >