Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Tak semeriah dulu-dulu... tapi semangat CNY tetap segar

Sambutan tahun baru Cina yang 'senyap' buat tahun ketiga dek kenaikan kes Covid-19. BERITA MINGGU mengunjungi Chinatown meninjau suasana dan perniagaan disana.
Jan 30, 2022 | 05:30 AM



Sambutan tahun baru Cina yang 'senyap' buat tahun ketiga dek kenaikan kes Covid-19. BERITA MINGGU mengunjungi Chinatown meninjau suasana dan perniagaan disana.



SUASANA di sekitar Chinatown tahun ini kelihatan tidak begitu meriah seperti tahun-tahun sebelumnya.



Tiada kesesakan pengunjung berjalan-jalan sambil membeli-belah, juga tidak kedengaran jeritan tawaran penjual dari gerai-gerai justeru menjadikan suasana kemeriahan menjelang sambutan Tahun Baru Cina tidak begitu dirasai. Ditambah lagi dengan Langkah Pengurusan Selamat (SMM) yang lebih ketat demi mengawal jangkitan Covid-19, jelas nampak kekurangan pelawat ke Chinatown.



Walaupun sepanjang Eu Tong Sen Street dihiasi gah dengan nyalaan lampu serta hiasan-hiasan yang direka khas sempena tahun harimau, suasana agak lengang dan sunyi dari biasa di kawasan-kawasan yang dahulu lazimnya menjadi tempat kaum Cina membeli perhiasan serta dekorasi yang bertemakan zodiac tahun sambutan.



Berita Minggu (BM) mengunjungi beberapa gerai serta lokasi yang sering dikunjungi kaum Cina setiap kali menjelang sambutan perayaan itu.



Wartawan BM dan personaliti tempatan, Hans Ashrie, bertemu dengan Encik Terence Ang berusia 67 tahun, yang pada ketika itu sedang duduk sambil memerhatikan pejalan kaki di hadapan kedai runcitnya di Pagoda street. Beliau merupakan seorang pesara yang dulunya bekerja sebagai juruelektrik di serata Singapura. Anak sulung dalam sembilan adik-beradik dan dilahirkan di Amoy street pada tahun 1955.



Apabila ditanya pada bapa tiga orang anak itu tentang keuntungan hariannya, Encik Ang hanya tersenyum sambil berkata: "Beginilah keadaan di sini setiap hari, agak sunyi, cuma hujung minggu baru nampak orang ramai sedikit, kalau tak dari pagi sampai ke malam memang lengang tempat ni".



"Saya mula berniaga di sini sejak bulan lima tahun lepas, anak lelaki saya buat keputusan agar saya berniaga dan menjaga kedai ini supaya saya tidak bosan atau jatuh sakit jika duduk di rumah sahaja," kata beliau.



"Tapi saya rasa waktu tu perniagaan memang teruk sangat, dengan keuntungan harian hanya satu dolar sahaja, percaya atau tidak. Cuma baru-baru ini ada peningkatan dari segi keuntungan," tambah beliau.



Beliau mempunyai harapan yang tinggi untuk menambah keuntungan dari kedai yang dibuka seawal jam tujuh pagi itu walaupun lot-lot kedai bersebelahannya masih lagi kosong. Apabila ditanya apa yang beliau paling ingin lakukan ketika sambutan Tahun Baru Cina nanti, beliau berkata: "Tiada lain, saya cuma nak masak makanan lauk itik dan makan bersama dua orang cucu perempuan saya.''



Suasana menyambut Tahun Baru Cina, tidaklah semeriah dan gah seperti yang kita jangkakan, meskipun tiada perubahan pada angka dan jumlah pelawat yang boleh terima di rumah, keadaan pandemik yang masih tidak begitu stabil sedikit sebanyak mengurangkan rasa kemeriahan untuk membuat persiapan perayaan itu.



BM menemuramah beberapa orang pengunjung di kedai menjual dekorasi.



"Dah tiga tahun saya tak begitu rasa semangat nak sambut tahun baru. Saya paksa diri untuk beli juga sedikit dekorasi untuk rumah saya sebab cucu-cucu saya, kalau tidak memang saya tak akan beli," kata Cik Chan Mei Fang, 65 tahun.



Cik Chan pada ketika itu sedang membeli-belah bersama jiran sebelah rumahnya, Cik Alice Lam, 62 tahun. "Saya harap pandemik ini akan lebih awal tinggalkan kami semua, agar kehidupan sedikit sebanyak kembali seperti dahulu. Saya tak tahu macam mana kalau saya terpaksa sambut Tahun Baru seorang diri kalau Singapura adakan pemutus rantaian sekali lagi," tambah Cik Alice.



BM juga bertanya pada Pengarah Eksekutif, Persatuan Perniagaan Chinatown (CBA), Cik Lim Yick Suan, tentang keadaan perniagaan di situ.



"Kami lihat orang ramai kembali ke Pasar Jalan Chinatown menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Peniaga di sepanjang jalan Pagoda Street, Smith Street, Trengganu Street dan Sago Street beroperasi setiap hari, mempromosikan pelbagai jenis makanan dan barangan bermusim, termasuk tart nenas, kacang tanah, guazhai, salai itik hingga ke manis-manisan.



"Pengunjung juga boleh mendapatkan barangan hiasan rumah daripada pelekat dinding CNY, aksesori, jumbai, teh, penyepit, tumbuhan bermusim serta peket merah," katanya.



"Kami tetap menjalankan perniagaan seperti biasa. Gerai-gerai pasar jalanan Chinatown di sepanjang Jalan Smith, Jalan Pagoda, Jalan Trengganu dan Jalan Sago akan dibuka seperti biasa sehingga lewat pada malam Tahun Baru nanti,'' tambah beliau.



Daripada kenyataan 15 Januari lalu oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), difahami bahawa STB akan memperkenalkan langkah tambahan untuk mengurangkan kesesakan, dan meningkatkan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan kepada Langkah Pengurusan Selamat (SMM) bagi memastikan keselamatan pengunjung ke Chinatown menjelang Tahun Baru Cina.



Dengan itu, Persatuan Perniagaan Chinatown akan mengerahkan pegawai keselamatan untuk membantu dalam kawalan orang ramai nanti, kata Cik Lim.



Selain tawaran makanan dan runcit, pihak CBA juga telah mengatur bengkel dua minggu sekali bagi lawatan berjalan kaki dan pasar perayaan bertema untuk keluarga dan kanak-kanak.



Pengunjung yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan atau mencuba hobi baru boleh mendaftar untuk bengkel hujung minggu yang disusun khas dengan tema Tahun Baru Cina, yang dijalankan dalam persekitaran terbuka.



Aktiviti-aktiviti ini termasuk bengkel Fius Beads Keychain, Cara Menghargai Budaya Cina Melalui Jed, Bengkel Tembikar, Bengkel Membuat Resin dan Penulisan Couplet Cina. Selain itu, CBA telah mempromosikan presint Chinatown, penyewa dan produk melalui saluran media sosial, penstriman langsung dan laman webnya (Chinatown.sg).



"Beginilah keadaan di sini setiap hari, agak sunyi, cuma hujung minggu baru nampak orang ramai sedikit, kalau tak dari pagi sampai ke malam memang lengang tempat ni.

Saya mula berniaga di sini sejak bulan lima tahun lepas, anak lelaki saya buat keputusan agar saya berniaga dan menjaga kedai ini supaya saya tidak bosan atau jatuh sakit jika duduk di rumah sahaja.''

- Encik Terence Ang, pesara, buka kedai runcit di Pagoda Street.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >