MESKIPUN beliau merupakan seorang pelajar, jika ada masa luang, Encik Afnan Liew sering mencari peluang untuk bekerja.
Ini termasuk menjadi tutor muzik atau bermain dalam orkestra terutamanya semasa cuti sekolah.
Lulusan Politeknik Nanyang itu berbuat demikian bukan sahaja untuk mendapatkan wang perbelanjaan tambahan malah untuk mengurangkan beban kewangan keluarganya.
Memandangkan abang sulungnya menuntut di universiti sepenuh masa dan beliau menuntut di politeknik pada 2016, Encik Afnan menjelaskan ia telah menyebabkan tekanan kewangan bagi keluarganya.
"Bapa saya adalah satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga saya.
"Walaupun bapa saya dapat menyara keluarga saya dengan mencukupi, perbelanjaan kami ketika itu tinggi kerana saya dan abang saya sudah lanjut ke peringkat pengajian tinggi.
"Melihat berapa banyak bapa saya harus membantu untuk pengajian kami, tergerak rasa bertanggungjawab untuk menyokongnya dengan cara saya tersendiri," jelas Encik Afnan, 22 tahun.
Mempunyai niat untuk mengurangkan beban kewangan bagi keluarganya, lulusan Diploma dalam Sistem dan Pengurusan Aeroangkasa telah melakukan penyelidikan tentang sokongan kewangan yang ditawarkan dan mendapat maklumat tentang Subsidi Yuran Pengajian Tinggi (TTFS) yang ditawarkan oleh Yayasan Mendaki.
Mempunyai kaum dua laras iaitu Jawa dan Cina, Encik Afnan berkata pada awalnya beliau khuatir sama ada layak atau tidak untuk menerima subsidi tersebut.
Namun begitu, ia tidak menjadi satu halangan kerana pelajar yang mempunyai Melayu sebagai komponen bangsa pertama masih layak untuk skim tersebut.
"Apabila saya mendapat tahu tentang TTFS, saya berfikir hanya mereka yang merupakan bangsa Melayu sepenuhnya layak menerima subsidi itu.
"Tetapi apabila saya membaca kriteria yang mereka perlukan dengan lebih teliti, saya dapati saya masih layak menerima sokongan itu.
"Ketika itu saya dapat menghela nafas lega juga," katanya sambil menambah bahawa kebanyakan maklumat yang beliau dapati sebenarnya sedia ada di dalam talian melalui laman web Yayasan Mendaki.
Menerima TTFS pada 2016, beliau telah mendapat subsidi TTFS sebanyak 50 peratus. Apabila peringkat subsidi TTFS disemak pada 2018, Encik Afnan pula telah menerima 100 peratus subsidi TTFS.
Dihubungi Berita Harian (BH), anak bongsu dua beradik itu menjelaskan bahawa subsidi TTFS itu bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan bahkan membolehkannya memberi tumpuan kepada perkara lain.
Ini termasuk pembelajarannya serta menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Dengan sokongan kewangan ini, saya tidak perlu bekerja sambilan lagi dan dapat memberi tumpuan kepada pelajaran saya.
"Saya bertekad untuk mencapai kecemerlangan, dan alhamdulillah saya berjaya mendapat gred A untuk separuh kedua kursus diploma saya.
"Selain itu, saya juga mempunyai lebih masa untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai seorang tutor.
"Sebagai seorang individu yang suka mengajar orang, saya rasa adalah wajar bagi saya untuk meluangkan masa membantu junior daripada kursus saya," katanya yang meluangkan masa seminggu sekali sebagai seorang tutor sukarelawan.
Kini, Encik Afnan merupakan pelajar tahun kedua di Universiti Teknologi Nanyang di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
Ditanya tentang nasihat yang beliau boleh beri kepada orang ramai, beliau berkata:
"Terdapat banyak maklumat disediakan dalam talian. Saya berharap orang ramai dapat merebut peluang ini dan cuba untuk membuat permohonan.
"Sekiranya tidak tahu, ada juga ramai yang dapat bantu. Yang penting adalah, jangan segan bertanya," ujarnya yang juga penerima Pingat Gangsa Thales di NYP.
DAPAT BERI TUMPUAN KEPADA PELAJARAN
"Dengan sokongan kewangan ini, saya tidak perlu bekerja sambilan lagi dan dapat memberi tumpuan kepada pelajaran saya.
Saya bertekad untuk mencapai kecemerlangan, dan alhamdulillah saya berjaya mendapat gred A untuk separuh kedua kursus diploma saya.
Selain itu, saya juga mempunyai lebih masa untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai seorang tutor.
Sebagai seorang individu yang suka mengajar orang, saya rasa adalah wajar bagi saya untuk meluangkan masa membantu junior daripada kursus saya.''
- Encik Afnan Liew.
Mengenai Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) Mendaki
Ditubuhkan pada 1991 menerusi geran tahunan pemerintah kepada Mendaki, Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) bertujuan membiayai yuran pengajian pelajar Melayu di institut pengajian tinggi setempat.
TTFS adalah sebahagian daripada komitmen perlembagaan pemerintah untuk melindungi dan memupuk kepentingan pendidikan masyarakat Melayu Singapura demi menjamin kemajuan sosioekonomi kita.
KRITERIA PERMOHONAN
- Warga Singapura atau Penduduk Tetap Singapura dengan salah seorang daripada ibu bapa (kandung, angkat atau tiri) yang masih hidup atau telah meninggal dunia adalah warga Singapura
- Pelajar daripada keluarga dengan Gaji Per Kapita (PCI)* kurang daripada $2,000
● PCI kurang daripada $1,400 akan menerima 100 peratus subsidi
● PCI antara $1,401 dengan $1,700 akan menerima 75 peratus subsidi
● PCI antara $1,701 dengan $2,000 akan menerima 50 peratus subsidi
- Mengikuti kursus di politeknik, universiti-universiti berautonomi setempat, Akademi Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Diploma Kejuruteraan Teknikal (TED) yang ditawarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal (ITE) atau ijazah dan diploma tertentu di Maktab Seni Lasalle dan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa)
- Dibuka kepada pelajar Melayu atau kacukan yang mempunyai Melayu sebagai komponen bangsa pertama
Untuk maklumat lanjut mengenai TTFS atau kriteria kelayakan, lungsuri laman https://www.mendaki.org.sg/assistance_landing/tertiary-tuition-fee-subsidy-ttfs/.
* Untuk mendapatkan anggaran PCI, jumlah pendapatan kasar keluarga perlu dibahagikan dengan jumlah anggota keluarga