Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rumah kampung Melayu di Pulau Ubin dibaik pulih

Nov 25, 2023 | 07:27 PM



Satu-satunya rumah kampung Melayu yang masih berdiri – iaitu nombor 22E – di Kampung Surau, Pulau Ubin, telah dibaik pulih selepas menjalani proses kajian, rancangan dan binaan semula sejak November 2017.

Proses itu adalah sebahagian daripada usaha memulihara rumah kampung Melayu di pulau tersebut, sekali gus memartabatkan warisan kehidupan kampung di Singapura.

Demikian kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC East Coast, Dr Mohamad Maliki Osman, semasa pelancaran rumah tersebut pada Sabtu di Pulau Ubin.

Majlis pelancaran itu adalah sebahagian atur cara separuh hari bagi kegiatan sempena Hari Ubin yang dianjurkan GRO GRC East Coast.

Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), hadir sebagai tetamu terhormat bersama Penasihat kepada GRO GRC East Coast lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat dan Timbalan Speaker, Cik Jessica Tan.

Dalam ucapannya, Dr Maliki berkata: “Dengan mengembalikan rumah kampung ini kepada asal, diharap masyarakat, khususnya generasi lebih muda, dapat kunjungi tempat ini dan terus menghargai warisan kita, lebih-lebih lagi cara kehidupan kampung.

“Ia akan menjadi rumah kampung Melayu demonstrasi, ruang masyarakat bagi penduduk dan orang awam serta tempat bagi acara kemasyarakatan.”

Menurut kenyataan media Pejabat Kawasan Undi Siglap pada Sabtu, anggaran kos pembinaan semula menelan belanja $230,000.

Ia ditaja sepenuhnya oleh Loyang Tua Pek Kong dengan usaha sama sektor awam seperti Lembaga Taman Negara (NParks) dan sukarelawan.

Berkongsi kepada Berita Minggu (BM) mengenai sejarah rumah itu, pensyarah kanan di Jabatan Kajian Melayu dan Jabatan Seni Bina Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Imran Tajudeen, berkata bekas pemilik rumah tersebut merupakan Allahyarham Cikgu Ahmad Kasah dan ia didirikan pada 1982.


Beliau yang terlibat dalam usaha dokumentasi kampung di Pulau Ubin pada 2017 dan 2018 bersama Jabatan Seni Bina NUS, menjelaskan rumah 22E merupakan rumah panggung – iaitu rumah dibina di atas tiang-tiang bagi mengelakkan kemasukan haiwan liar dan banjir – berbumbung limas (piramid).

Pembinaan rumah ini menggunakan kaedah tanggam lekap penjuru – iaitu kaedah tanpa penggunaan paku – pada siku pertemuan alang panjang, alang pendek dan puncak tiang, tambahnya.

Kerangka struktur rumah tersebut pula berasal daripada rumah yang dibina lebih awal dari 1982 di Kampong Darat Nenas, sebuah kampung di tanah besar Singapura, lalu ia dibawa ke Pulau Ubin melalui sampan.

Dr Maliki menambah atas sebab sedemikian, rumah tersebut dipilih untuk dibaik pulih.

“Kami berusaha sedaya upaya memastikan rumah ini adalah serupa dengan yang asal – daripada jenis kayu, jendela dan juga warna cat,” ujarnya.


Salah seorang anggota yang terlibat dalam projek itu, Encik Chieng King Wu, menjelaskan aspek logistik merupakan cabaran paling genting, memandangkan peralatan dan kayu jenis chengal yang digunakan rumah ini harus diimport.


Orang Berkelayakan (QP) berusia 60 tahun itu berkata: “Kesemua balak chengal (yang digunakan) tidak tersedia secara tempatan.


“Jadi kami perlu import dari Malaysia dan bawa balak chengal sedemikian melalui tongkang untuk membina rumah ini.”

Sekitar 1,000 pengunjung daripada GRC East Coast menghadiri acara bagi meraikan warisan Melayu di Pulau Ubin bersempena pelancaran rumah 22E.


Pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan berunsurkan budaya Melayu oleh badan-badan dan institusi pendidikan yang mengambil bahagian.


Sebanyak 150 pokok turut ditanam di Pulau Ubin sebagai usaha menyumbang kepada gerakan Satu Juta Pokok menjelang 2030 NParks.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >