Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rumah peralihan sedia program pemulihan, integrasi bagi bekas penagih wanita

Dec 07, 2021 | 05:30 AM



RUMAH Peralihan Rise Above bukan sahaja menyediakan program pemulihan dan integrasi yang lebih baik untuk bekas penagih wanita.



Bahkan, ia juga akan memenuhi keperluan unik dan cabaran yang dihadapi bekas pesalah, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengorak langkah memperluaskan khidmatnya untuk membantu bekas penagih wanita pulih dan dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat, dengan membentuk Rumah Peralihan Rise Above itu dengan kerjasama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).



Ia akan menjadi rumah peralihan sekular pertama bagi pesalah wanita menjalani program pemulihan masyarakat.



Ini bermakna ia menerima semua bekas pesalah wanita, tidak kira bangsa atau agama.



Dr Faishal telah mengunjungi bakal tempat rumah peralihan itu yang terletak di 1 St George's Lane semalam.



Turut hadir adalah Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.



Ia bakal dibuka dalam separuh kedua tahun depan.



Ketika ini, tempat itu tidak digunakan dan pernah menempatkan rumah tumpangan, MWS Girls' Residence.



"Tempat ini (Rumah Peralihan Rise Above) memainkan peranan yang penting bagi menawarkan program pemulihan dan integrasi bagi wanita kerana dari penyelidikan dan pengalaman kami, ia menunjukkan bahawa terdapat bekas pesalah yang mempunyai cabaran dan keperluan yang berlainan ketika mereka menjalani perjalanan pemulihan mereka," jelasnya.



Bercakap kepada pihak media semalam, beliau berkata secara purata, kadar residivisme (kembalinya seseorang melakukan jenayah semula) selama dua tahun daripada kohort yang dibebaskan pada 2016 hingga 2018 dan ditempatkan pada program berasaskan masyarakat adalah kira-kira 16 peratus.



Ini berbanding sekitar 26 peratus bagi bekas pesalah yang tidak ditempatkan dalam program berasaskan masyarakat.



Selain daripada mengurangkan kadar residivisme bagi bekas pesalah wanita, Dr Faishal turut berkata rumah peralihan ini juga akan dapat membantu dalam mengekang kesalahan bagi generasi-generasi mendatang.



"Ia akan memberi ruang membangunkan keluarga yang lebih baik dan mengekang perkara yang sama untuk terjadi kepada anak pesalah serta generasi akan datang.



"Dengan bekerja sama dengan rakan kongsi masyarakat yang lain dalam rangkaian ini, saya yakin kita dapat menawarkan program-program yang mantap bagi bekas pesalah dan keluarga mereka," ujarnya.



Mengulas visi PPIS bagi rumah peralihan baru ini, Cik Hazlina berkata mereka berharap dapat menyediakan ruang yang holistik, selamat dan dilengkapi kemudahan supaya wanita-wanita di sana dapat membina diri serta membangkitkan kebolehan mereka.



"Dengan mempertingkatkan diri mereka, mereka dapat membina keluarga mereka dan kemudian menjadi lebih yakin menjalin hubungan dengan keluarga serta masyarakat," katanya.



Ditanya mengenai cabaran yang mungkin dihadapi mengendali rumah peralihan pertama PPIS, Cik Hazlina berkata dengan pengalaman dan kemahiran yang diraih selama tujuh dekad bersama pelbagai golongan masyarakat serta sokongan daripada SPS, ia dapat membantu mereka.



"Membentuk idea bersama-sama dengan SPS dan membincangkan dengan mereka, kita berharap mempunyai visi yang sama bagi rumah peralihan ini.



"Sejauh ini, perjalanan untuk memahami apa yang harus dilakukan untuk membangunkan tempat ini serta kerja-kerja ubah suai adalah sesuatu yang bukan baru," katanya sambil menambah PPIS kini mempunyai sebanyak 16 Pusat Perkhidmatan.



PPIS sudah mendampingi masyarakat di sini selama tujuh dekad dan telah menyediakan khidmat-khidmat berlainan yang merangkumi keluarga, kanak-kanak dan juga wanita.



Pengumuman bagi rumah peralihan bagi bekas penagih wanita ini buat pertama kali diumumkan pada Oktober 2020 oleh Dr Faishal.




''Ia akan memberi ruang membangunkan keluarga yang lebih baik dan mengekang perkara yang sama untuk terjadi kepada anak pesalah serta generasi akan datang. Dengan bekerja sama dengan rakan kongsi masyarakat yang lain dalam rangkaian ini, saya yakin kita dapat menawarkan program-program yang mantap bagi bekas pesalah dan keluarga mereka.''
- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >