
ISTANA Singapura akan dibuka kepada orang ramai Isnin depan sempena Tahun Baru Cina. Semasa rumah terbuka pengunjung akan dapat menonton persembahan langsung, menyertai pelbagai aktiviti dan melihat kolam angsa dipertingkat yang dilengkapi dengan sebuah dek pemandangan dan sungai kecil baru di kebunnya. Rumah terbuka Istana itu akan diadakan dari 8.30 pagi hingga 6 petang sempena perayaan Tahun Baru Cina, yang bermula Ahad depan. Pengunjung boleh menyertai pelbagai kegiatan seperti kaligrafi Cina, membuat lilin serta mendapatkan inai. Mereka juga boleh menikmati persembahan tarian, dram dan band oleh Institut Hwa Chong, Sekolah Tinggi Maris Stella, Sekolah Menengah Montfort, Sekolah Rendah Nan Hua dan Sekolah Bakat Muda, Akademi Seni Halus Nanyang yang akan berlangsung sepenuh hari. Pengunjung berupaya menyertai lawatan diatur di sekitaran bangunan utama Istana untuk melihat beberapa bilik acara tertentu serta meneliti koleksi hadiah yang diberi kepada pemimpin Singapura oleh negara lain. Relawan Lembaga Taman Negara juga akan mengaturkan lawatan untuk menunjukkan jenis pohon, bunga dan tumbuhan yang ditanam di sekitaran premis Istana. Kedua-dua lawatan dibimbing itu berharga antara $2 dengan $4 bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap, dan $2 hingga $10 bagi pengunjung lain, bergantung pada usia mereka. Gerai makanan dan sebuah trak makanan serta gerai-gerai cenderamata yang menjual produk Istana edisi terhad dan produk Cabaran Presiden juga akan tersedia di rumah terbuka itu. Kesemua dapatan yang diraih daripada penjualan produk tersebut dan lawatan diatur itu akan diagihkan ke badan-badan amal yang disokong Cabaran Presiden.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg