Saling melengkapi dalam kekurangan: Mufti, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:39
Syuruk
6:56
Zuhur
1:00
Asar
3:59
Maghrib
7:02
Isyak
8:11
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Saling melengkapi dalam kekurangan: Mufti

KHUTBAH AIDILADHA OLEH MUFTI DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
Jul 20, 2021 | 11:20 AM

 

 

MUSLIMIN Muslimat sekalian,

Marilah kita penuhkan hari yang penuh suci lagi mulia ini dengan kesyukuran dan ketakwaan.

Mulakan ia dengan tekad dan azam untuk menjadi manusia dan umat yang bertakwa, berhati suci dan berakhlak terpuji yang mencari kebaikan di setiap saat dan ketika.

Halal Home Based Business
Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Ia termasuk yang menjauhi kekejian di dalam amal perbuatan, tutur perbicaraan mahupun sangkaan; yang bangkit memperbaiki diri dan orang lain dengan berhemah tinggi, bersatu hati dan berbudi pekerti.

 

KESUCIAN ZULHIJAH

Bulan mulia Zulhijah ini mengandungi beberapa hari yang paling suci, yang mana Allah swt

telah bersumpah dengannya.

Allah swt telah memilih di antara ciptaan-Nya, beberapa hari, masa, tempat, dan juga manusia yang suci lagi mulia.

Namun, kesucian dan kemuliaan ini berkait dengan manusia itu sendiri.

Di dalam khutbah terakhir Nabi Muhammad saw di dalam haji wada’, Baginda telah berpesan yang bermaksud:

“Wahai manusia! Sesungguhnya, darah dan harta kamu adalah suci buat kamu, sepertimana (sucinya) hari ini, bulan ini, sehingga sampai masanya kamu menghadap Tuhan kamu dan pastinya kamu akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan kamu.

“Sesiapa yang diserahkan kepadanya sesuatu amanah, maka tunaikanlah hak amanah tersebut kepada pemiliknya. Jangan kamu menzalimi orang lain, agar mereka tidak menzalimimu pula.”

 

KEMULIAAN NYAWA, MARUAH DAN HAK MANUSIA

Perhatikan dengan teliti wasiat Baginda saw di penghujung dakwahnya tentang kesucian dan kemuliaan nyawa, maruah dan hak manusia.

Mengapa?

Sebab, jika kita meremehkan hak orang lain, menganggap ringan perasaannya, mudah menyakitinya dan menjatuhkan maruahnya, kita telah memusnahkan asas-asas kehidupan yang sejahtera di dalam masyarakat.

Manusia hanya ikutkan hawa nafsu, keinginan dan kepentingan diri masing-masing. Lisannya bebas berbicara, tanpa mengendah langsung akan keburukan akibatnya.

Dunia sedemikian tidak akan tenang lagi aman. Ia penuh dengan porak peranda, kebingungan dan perpecahan.

Sedangkan Rasulullah saw datang membawa risalah keamanan dan kesejahteraan. Baginda saw memartabatkan nilai kemanusiaan – setiap nyawa yang dicipta Allah swt adalah mulia.

Perjuangan Baginda saw adalah untuk memastikan agar umatnya terus bersaudara, tidak berpecah belah, dan tidak menodai kesucian dan kemuliaan manusia.

Saudara-saudari sekalian,

Tekanan yang kita hadapi di dalam krisis hari ini membebankan. Pelbagai ujian yang perlu kita tanggung.

Ia menguji kesabaran, ketabahan, kasih sayang dan kesatuan. Ramai yang khuatirkan keadaan kehidupannya dan ahli keluarganya.

Kerisauan ini dengan mudah sekali boleh menjejas ikatan hubungan sesama kita.

Namun, dengan segala kesyukuran kepada Allah swt, masyarakat kita terus berkorban demi kebaikan bersama, dan prihatin menjaga keselamatan diri dan orang lain.

Hakikatnya, kita mempunyai kemahuan yang sama – agar kita dapat bangkit daripada krisis ini dalam keadaan bersatu hati dan dalam semangat bantu-membantu sesama kita.

Kita inginkan bagi saudara kita apa yang kita sayangkan buat diri sendiri. Sikap ini yang digambarkan oleh Rasulullah saw:

Maksudnya: “Perumpaan orang beriman dalam berkasih sayang, belas kasihan dan kelembutan sesama mereka adalah seperti satu jasad, jika salah satu anggotanya sakit, terasa sakitnya juga di anggota yang lain sehingga demam dan berjaga malam.”

 

SALING MELENGKAPI

Jemaah yang dimuliakan,

Ini tidak bermakna keadaan dan situasi kita sempurna. Jauh sekali. Kita masih mempunyai kekurangan dan kelemahan.

Namun, hidup ini adalah satu perjuangan dan perjalanan yang berterusan. Setiap langkah yang kita ambil ke arah pembaikan dan kegemilangan bak mendaki gunung hingga ke puncaknya, kita perlu sama-sama berganding bahu dan saling lengkap melengkapi.

Kekuatan dan kemuliaan kita terhasil daripada semangat bantu-membantu di dalam kebaikan, dalam istilah Al-Quran (at-ta’awun ‘ala al-birr wa at-taqwa).

Setiap kita melengkapi kekurang an atau kelemahan yang ada pada saudaranya.

Yang kaya membantu yang memerlukan, yang kuat dan sihat menolong yang sakit dan lemah, yang berilmu mengingatkan dan mendidik yang kurang berpengetahuan.

Semangat ini diperkukuh lagi dengan sikap tegur-menegur dengan adab dan sopan, yang dinamakan nasihat.

Nabi saw bersabda, yang bermaksud:

“Agama itu nasihat, para sahabat bertanya untuk siapa wahai Rasulullah?

Jawab Baginda, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan seluruh masyarakat amnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

 

TERBUKA TERIMA NASIHAT

Keterbukaan untuk menerima nasihat akan membantu kita menjadi manusia dan masyarakat yang lebih baik.

Kepimpinan tidak dapat berfungsi dengan baik jika ia angkuh dan sombong, serta tidak mahu menerima teguran atau nasihat.

Hanya dengan sikap ingat-mengingatkan inilah kita dapat terus membina dan membangunkan institusi-institusi agama kita serta mengukuhkannya lagi. Apatah lagi di dalam menghadapi cabaran-cabaran yang akan bertambah sukar di masa hadapan.

Jemaah yang dimuliakan,

Nasihat dan teguran yang lahir daripada hati yang suci lagi jujur ada tanda-tandanya.

Ia menghormati kemuliaan orang yang dinasihati, menjaga maruahnya, dan tidak menimbulkan

kebencian dan kemarahan. Kerana nasihat bukan bertujuan memalukan ataupun melemahkan orang.

Bahkan sebaliknya, ia untuk memperbaiki kekurangan, membina wawasan, menghargai kepelbagaian dan mengukuhkan kesatuan.

Sayang sekali, mudah sangat hari ini untuk sesiapa sahaja melontarkan kata-kata yang mencela, menghina, menuduh dan sebagainya.

Ini kemudiannya ditularkan sehingga timbul kebingungan dan kekacauan.

Lihat sahaja bagaimana ramai orang yang telah menjadi mangsa sehingga musnah kehidupan mereka.

Nasihat yang jujur lagi insaf tidak begini rupanya dan bukan begini caranya.

Memang tidak dinafikan, ramai yang risau dan takut kerana terlalu banyak perubahan dan norma baru hari ini.

Namun, walaupun terdapat keterbatasan, institusi agama kita masih terus rancak dimakmurkan dengan selamat.

Dakwah juga masih berterusan. Kita memelihara nyawa tanpa merosakkan sendi-sendi tiang agama. Kerana kedua-duanya adalah tuntutan agama.

Namun, yang suka melihat kepada kekurangan dan keterbatasan melihat ini sebagai satu kelemahan.

Ada yang meyakini bahawa ini fitnah si dajal, atau perancangan pihak-pihak tertentu untuk merosakkan agama, atau tanda-tanda kiamat di akhir zaman!

Sebagai orang yang beriman, kita yakin dan beriman dengan adanya kiamat dan hari pembalasan.

Al-Quran sering mengingatkan kita tentangnya. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.” (Surah al-Hajj, ayat 1)

Dan semakin berusia dunia ini, memang pastinya semakin hampir kita dengan kiamat. Kita beriman dengan tanda-tandanya, seperti keluarnya dajal. Kita risau dan gerun. Tetapi tidak ada seorang pun yang mengetahui masanya. Pengetahuan ini hanya milik Allah swt, bukan menjadi andaian dan permainan khayalan kita.

 

AGAMA PERLUKAN ILMU

Kerana itu agama memerlukan ilmu. Dan ilmu memerlukan usaha, masa, guru dan titik peluh.

Hanya membaca sebaris di sana dan seperenggan di sini, atau menonton klip YouTube, Facebook dan TikTok, tidak mencukupi.

Tiada salahnya mendengar nasihat yang baik dengan cara apa sekalipun. Tetapi jangan dikelirukan mesej sedemikian rupa dengan ilmu yang membantu kita memahami agama dan tradisinya.

Ilmu yang menyeluruh akan menyinari pemahaman kita, bak lampu yang kuat dapat menerangi kegelapan suasana.

Tidak sama seperti lilin yang terangnya terbatas, dan jika ditiup angin ribut, pudar cahayanya atau jatuh ia menyebabkan kebakaran rumah dan harta.

Sebagai contoh, adakah kita memahami sejarah agama yang membantu kita memahami situasi hari ini dengan lebih baik?

Benar beberapa peristiwa tahun telah berlaku sewaktu awal sejarah Islam, masjid ketika itu dibuka dan tidak ditutup.

Tetapi, yang datang menunaikan solat Jumaat hanya beberapa orang sahaja, kerana terlalu ramai orang telah meninggal dunia akibat penularan wabak.

Keadaan kita hari ini sepatutnya menimbulkan keinsafan dan kesyukuran.

Institusi agama kita masih dapat berfungsi dengan baik, walaupun ada kekurangannya.

Dan kekurangan bukan kelemahan yang disengajakan. Ilmu yang betul juga akan menangkis andaian dan konspirasi yang tidak berasas. Sebab itu Allah swt mengingatkan kita (dengan ayat) yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan adalah salah (berdosa).”

Nabi Muhammad saw telah mengingatkan kita bahawa di antara golongan yang tidak disukainya dan akan duduk jauh daripada Baginda pada hari kiamat kelak adalah mereka yang banyak bicara yang tidak benar, orang yang banyak bicara secara melulu dan mereka yang sombong. (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Dalam suasana kekhuatiran sekarang ini, janganlah kita biarkan khabar-khabar palsu memburukkan lagi suasana dan menakutkan golongan tua.

Seperti dakwaan vaksin memudaratkan. Setiap kita dambakan keadaan kembali pulih secepat mungkin.

Kerana itu, kita perlu terus berusaha dan menerima pandangan pakar dan ahli. Yang belum mengambil vaksin bersegeralah mengambilnya.

Yang sudah pula, maka galakkan saudara-mara kita, khususnya golongan berusia tua, untuk mengambilnya.

Ini adalah di antara ikhtiar kita untuk menangkis penularan wabak dan juga mengurangkan kesan ke atas diri jika kita terjangkit.

Apatah lagi dengan situasi penularan sekarang ini dengan varian baru yang lebih mudah berjangkit. Perjuangan ini tidak akan dapat selesai, sehinggalah setiap kita memainkan peranan dan bertanggungjawab.

Bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri, malah untuk kesejahteraan semua.

Saudara-saudari sekalian,

Ayuh, janganlah kita terkeliru di antara usaha dengan tawakal, di antara ilmu dengan sangkaan, di antara nasihat dengan tuduhan atau celaan.

Pengorbanan kita di sebalik penghayatan Aidiladha dan ibadah korban adalah untuk meneruskan wasiat dan panduan Nabi saw untuk menanam wawasan positif lagi membina, khusus di dalam masa-masa yang sukar.

Marilah kita pupuk semangat persaudaraan yang suci di dalam suasana muhibah hari ini.

Marilah kita menggembleng tenaga untuk mengukuhkan institusi-institusi agama kita demi memajukan masyarakat dan membangunkannya.

Semoga dengan kesucian hati dan jiwa, kita bertambah mulia di sisi Allah swt dan dengannya, masyarakat kita dipandang mulia di sisi umat manusia. 

Amin. Ya Rabbal ’Alamin.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map