Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

Saudi larang dieksport... tapi di SG dijual harga tinggi

Jan 20, 2022 | 05:30 AM



KESUKARAN untuk menunaikan ibadah haji dan umrah sejak pandemik Covid-19 menyerang dunia lebih dua tahun lalu telah mengakibatkan permintaan tinggi untuk air zamzam di sini.



Disebabkan itu, ada pihak telah mengambil kesempatan dan meletakkan harga tinggi gila.



Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati, ia telah dijual antara $35 dengan $65 sebotol di sini - berbanding 5.5 Riyal atau hampir $2 (kadar tukaran: $1.80) bagi setiap botol lima liter, termasuk cukai tambah nilai (VAT), di Arab Saudi.



Paras harga tertinggi di Singapura ini adalah lebih 35 kali ganda berbanding harga di Saudi.



Umumnya, air zamzam dibahagikan secara percuma di Arab Saudi untuk dinikmati rakyat dan pengunjung negara itu.



Sekiranya perlu dibeli, setiap orang dikenakan kuota empat botol sahaja untuk setiap 15 hari.



Kerajaan Arab Saudi melarang pengeksportan air zamzam sama sekali.



Penguasa Penerbangan Awam (CAS) Saudi menetapkan setiap penumpang membeli dan membawa pulang sebotol sahaja air zamzam seberat lima liter.



Bagaimanapun, kunjungan ke wadah beli-belah popular dalam talian, Shopee.sg umpamanya, menunjukkan ada penjual setempat 'sedia' menawarkan 10 liter air zamzam pada harga $119 sebotol.



Di wadah Carousell.sg pula, ada penjual menawarkan 500mililiter (ml) air zamzam pada harga $13 sebotol, dan 1 liter pula, $19 sebotol.



Penjualan yang laku bagai goreng pisang panas, ditambah dengan permintaan tinggi menyebabkan beberapa penjual di sini kehabisan bekalan.



Persoalannya ialah, bagaimana air zamzam dapat dieksport ke negara luar, sedangkan kerajaan Saudi menerusi Penguasa Pembangunan Eksport Saudi (Seda) memastikan dasar dan arahan itu dipatuhi?



Malah, Penguasa Zakat, Cukai dan Kastam (ZTCA) Saudi turut mengesahkan larangan eksport air zamzam sejak 14 Disember 2020.



Kesemua ini terpampang jelas di laman rasmi mereka.



Baru-baru ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor telah menggagalkan cubaan menyeludup air zamzam ke Singapura di sempadan negara itu.



Pengarah JKDM Johor, Encik Sazali Mohamad, ditukil media tempatan sebagai berkata, pihaknya merampas 3,000 liter air zamzam bernilai RM66,000 ($21,279.68) di laluan keluar cawangan eksport, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang.



"Menerusi pemeriksaan kira-kira jam 3.45 petang pada 30 Disember lalu, sebuah lori ditahan selepas didapati membawa 600 botol air zamzam yang dipercayai cuba dibawa ke negara jiran.



"Modus operandi ialah membuat ikrar tidak benar dan lori turut membawa dagangan lain termasuk peralatan mandian, minyak urut dan peralatan sembahyang.



"Dipercayai memang ada permintaan dari negara jiran terhadap air zamzam itu dan sampel sudah dihantar ke Jabatan Kimia pada 2 Januari lalu bagi melihat ketulenannya," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor.



Hasil tindakan yang dilakukan, dua individu iaitu pemandu bersama kelindan berusia 21 dan 30 tahun telah ditahan dan mereka akan disiasat di bawah Akta Kastam Malaysia.



Pemeriksaan BH mendapati air zamzam yang dirampas pihak kastam Johor telah dibawa masuk oleh dua syarikat berasingan menerusi laluan kapal dari Jeddah (Arab Saudi) dan Sanaa (Yaman) ke Pelabuhan Klang.



Dokumen yang didapatkan BH memperincikan barangan kargo dalam kapal dari Yaman menunjukkan kaitan sebuah syarikat bukan Muslim di sini yang beralamat di North Bridge Road.



Butiran dalam dokumen itu tidak menyatakannya sebagai air zamzam secara khusus tetapi sebagai 'mineral water' atau air mineral.



Menjelaskan mengapa eksport air zamzam dilarang, Seda menyatakan ia disebabkan "keterbatasan sumber" dan "demi menjimat sumber air itu sendiri".



Ia di antara 16 senarai barangan yang dikenalpasti dilarang, termasuk tepung gandum; sayur-sayuran dan buah-buahan seperti jagung, zaitun, anggur, kentang, bawang, labu, semangka, barli, dan bijirin lain yang ditanam di ladang terbuka; barangan arkeologi dan budaya; kayu api dan arang;



Pelaksanaan dasar dan larangan kesemua ini adalah di bawah Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Saudi.



Seorang asatizah setempat, Ustaz Abdul Rahman Mohamed, juga mengesahkan "air zamzam tak dibenarkan eksport dengan apa alasan sekalipun, hanya jemaah sahaja yang boleh bawa pulang satu orang satu botol sahaja", tulisnya di laman sosial beliau.



Pengimportan air zamzam ke Singapura juga menuntut jawapan daripada pihak penjual - sama ada ia mendapat pengesahan dan kelulusan pihak berkuasa di sini - sama ada Agensi Makanan Singapura (SFA) atau Penguasa Sains Kesihatan (HSA).



"Import dan penjualan makanan dan makanan tambahan berasaskan bahan makanan diselia di bawah Akta Penjualan Makanan dan Peraturan Makanan di bawah SFA. Sementara itu, produk perubatan dan produk kesihatan lainnya diselia di bawah peraturan HSA," menurut kenyataan SFA.



"Pengimport mesti memastikan produk mereka mematuhi peraturan SFA dan keperluan pelabelan," tambah agensi penguatkuasa itu lagi.



Seorang konsultan syarikat antarabangsa yang pakar dalam menjejaki sindiket penyeludupan produk ke negara ini, ketika diminta mengulas mengenai penjualan air zamzam di sini, berkata:



"Apa yang dikhuatirkan adalah pengimportan air zamzam ini disalurkan menerusi pasaran gelap atau penyeludupan yang didalangi sindiket asing.



"Kita tidak tahu dari sumber manakah air zamzam ini dibekalkan atau didapatkan, jadi mutu keaslian atau ketulenannya mahupun perniagaannya diragui," ujarnya yang meminta identitinya dirahsiakan disebabkan tugas yang dilakukan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >