SINGAPURA menyambut kelahiran anak beruang panda pertamanya semalan di River Safari. Ia anak pasangan beruang panda yang dikenali ramai - Kai Kai, 13 tahun, dan Jia Jia, 12 tahun.

Dalam satu kenyataannya semalam, Wildlife Reserves Singapore (WRS) menyifatkan kelahiran itu sebagai satu berita gembira yang merancakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Ia mengatakan jantina anak beruang panda itu belum dipastikan dan akan diumumkan kelak.

Ibunya, Jia Jia, dan anaknya itu kini tidak ditampilkan dalam pameran bagi memberi mereka masa bersama.

Turut gembira mengenai berita itu ialah Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang memuji usaha gigih pasukan WRS hingga berjaya.

"Tahniah kepada pasukan WRS di atas kejayaan ini serta kerana membantu dalam pembiakan banyak spesies terancam lain di bawah penjagaan mereka.

"Saya berharap dapat melawat anak panda ini tidak lama lagi," tulis Encik Lee dalam satu pos Instagram.

Kelahiran itu berlaku selepas musim pengawan ketujuh beruang panda tersebut. Pasangan itu mula mengawan pada 2015.

Beruang panda lazimnya sukar membiak dalam kurungan, kerana tempoh pendek bagi membunting.

Beruang panda betina seperti Jia Jia hanya menjalani ovulasi sekali setahun dan tahap kesuburannya memuncak selama 24 jam hingga 36 jam sahaja.

Pakar daripada Pusat Kajian dan Pemuliharaan China bagi Panda Raksasa (CCRCGP) menasihatkan doktor haiwan WRS supaya menjalankan permanian beradas sebelum tempoh pembiakan berakhir.

Timbalan Ketua Eksekutif, yang juga merangkap ketua pegawai sains hayat WRS, Dr Cheng Wen-Haur, berkata: "Kehamilan dan kelahiran anak Jia Jia yang pertama ini adalah pencapaian penting bagi kami dalam bidang penjagaan spesies terancam di Singapura.

"Usaha diteruskan sekarang untuk menyokong ibu kali pertama itu membesarkan anaknya yang baru dilahirkan."

Kai Kai dan Jia Jia tiba di Singapura pada September 2012, atas pinjaman 10 tahun dari China. Mereka tarikan utama di River Safari.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti