Topik diikuti
Pergi ke BHkuSG dijangka longgar sekatan 12 Jul; warga melancong semula jelang hujung tahun
Sebahagian daripada pelan tiga langkah negara ini ke arah norma baru: Ye Kung
SG dijangka longgar sekatan 12 Jul; warga melancong semula jelang hujung tahun
SINGAPURA dijangka melonggarkan lagi sekatan Covid-19 pada 12 Julai ini, sebagai sebahagian daripada pelan tiga langkah negara ini ke arah norma baru, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semalam.
Dalam rangka ini, penduduk Singapura juga boleh menjangkakan untuk kembali melancong menjelang hujung tahun ini.
"Menjelang 12 Julai, kami sedang pertimbangkan langkah membolehkan lebih ramai orang makan bersama dan kelonggaran lain yang kami boleh pertimbangkan," kata Encik Ong.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama koresponden kanan akhbar The Straits Times, Cik Salma Khalik, semalam.
Warga Singapura juga mungkin berpeluang melancong ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, Hong Kong dan beberapa tempat di Eropah, yang kadar vaksinasinya kian meningkat.
Encik Ong berkata beliau berharap pelancongan akan disambung semula sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya Singapura boleh mempertimbangkan destinasi pelancongan jika tempat itu mempunyai trend jangkitan yang merosot ke tahap tiga kes setiap 100,000 orang dan kadar vaksinasi meningkat.
Ditanya mengenai pengaturan pelancongan dengan Hong Kong, Encik Ong berkata kededua bandar sekarang dalam keadaan yang baik untuk menyambungnya semula.
Pada awal Mei, Gelembung Perjalanan Udara bersama Hong Kong dibatalkan buat kali kedua ekoran peningkatan kes-kes Covid-19 dalam masyarakat.
"Apabila kita membezakan antara negara yang lebih selamat dan negara yang berisiko, ia kurang berkaitan dengan peraturan negara tersebut... tetapi ia lebih berkait dengan kadar jangkitan umum, kadar vaksinasi serta langkah kawalan dan ujian mereka," kata Encik Ong.
Dalam wawancara itu juga, Encik Ong mengongsi beberapa senario yang mungkin dilihat dalam bulan-bulan mendatang sedang Singapura merancang untuk hidup dengan Covid-19 untuk jangka masa panjang.
Contohnya, seseorang yang mengesyaki dirinya dijangkiti Covid-19 boleh mendapatkan sijil perubatan (MC) daripada doktor yang akan menyuruhnya mengasingkan diri dan mengambil ujian swab di rumah.
Orang lain yang telah berinteraksi dengan pesakit itu akan menerima SMS untuk memberitahu bahawa mereka mungkin telah terdedah kepada virus tersebut, dan juga akan diberi arahan untuk mengasingkan diri dan melakukan ujian swab sendiri di rumah.
Bagi mereka yang bekerja, mereka boleh memberitahu majikan bahawa mereka telah disyaki dijangkiti virus itu dan akan dibenarkan duduk di rumah tanpa MC.
Encik Ong juga menyentuh tentang penggunaan pelitup, yang katanya akan kekal penting di Singapura walaupun setelah negara ini beralih ke norma baru dengan Covid-19 yang endemik.
"Ini mungkin merupakan salah satu langkah terakhir yang akan dilonggarkan," kata Encik Ong.
Beliau menarik perhatian bahawa Israel baru-baru ini telah memperkenalkan semula penggunaan pelitup muka di kawasan yang tertutup sedang terdapat kenaikan kes virus, 10 hari selepas langkah itu dilonggarkan.
"Penggunaan pelitup akan membolehkan kita melakukan lebih banyak kegiatan berbanding jika kita tidak memakainya... dari segi risiko dan ganjaran, penggunaan pelitup muka adalah perkara yang paling munasabah untuk dilakukan," jelas Encik Ong.
Ini sejajar dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menggesa orang ramai yang telah divaksin untuk terus menggunakan pelitup untuk mencegah penularan virus.