Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT ANAK WATAN

Siang baik, malam jadi 'Da Butcherman', nak 'darah', 'daging' orang...

Instruktor latihan kecemasan Danial Alias capai impian jadi ahli gusti profesional
Nov 25, 2021 | 05:30 AM



PADA siang hari, Encik Danial Alias mengajar orang cara menyelamatkan nyawa orang lain. Beliau bertugas sebagai instruktor latihan persediaan kecemasan asas seperti prosedur bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan cara mengguna defibrilator luaran automatik (AED).



Pada malam hari, beliau menjadi 'buas' dan ingin 'mengakhirkan nyawa' orang.



Siapa sangka jejaka berusia 26 tahun ini rupanya seorang ahli gusti pada malam hari.



Apatah lagi, Encik Danial mengambil persona 'Da Butcherman' - seorang tukang potong daging gila yang gemar merasa 'darah' dan 'daging' lawannya di gelanggang gusti.



"Persona ini diberikan pihak penganjur sukan gusti kendalian Singapore Pro Wrestling (SPW). Pada mulanya saya musykil kerana ia memainkan watak seorang pekerja dan agak seperti kartun. Tetapi demi peluang yang diberikan, saya terima cabaran mengambil watak itu," kata Encik Danial, yang mula menyertai SPW pada 2014.



Beliau juga membuat beberapa pelaburan wang dan masa bagi menghayati watak itu.



"Saya membeli baju putih, mengoyakkan dan memotong beberapa helai seluar jeans, apron, pisau potong daging, dan beberapa kepingan daging dari pasar raya NTUC Fairprice.



"Kemudian, saya berkurung di dalam bilik saya dalam kegelapan dengan menutup semua tingkap dan hanya nyalakan sebatang lilin sahaja.



"Di situlah saya dapat mereka suatu 'bilik daging' dan menghayati perwatakan 'Da Butcherman' itu dengan sepenuhnya," kata beliau, yang watak itu gemar menghidu pisau potong daging dan menjilat kepingang daging mentah.



Sejak itu, keunikan watak dan persembahan mantap Encik Danial di gelanggang diikuti oleh ramai peminat gusti tempatan hinggalah 'Da Butcherman' memegang gelaran Juara SPW pada 2016.



Namun, seperti ramai ahli gusti lain, Encik Danial juga menghadapi kesukaran semasa pertama kali memasuki gelanggang gusti.



Sejak kecil, Encik Danial sudah terpaut pada watak ahli gusti seperti The Undertaker, Kane, Big Show, Stone Cold Steve Austin, Dwayne 'The Rock' Johnson, Batista dan Brock Lesnar.



Bagi para peminat hiburan sukan gusti sepertinya, nama-nama itu tidak asing buat mereka.



Melihat aksi-aksi nekad yang dilakukan para penggusti itu membuat Encil Danial 'tersangkut' pada sukan hiburan itu.



Beliau juga kerap melihat video gusti profesional lain, seperti penganjur gusti Mexico dan Jepun. Beliau berkata aksi gusti mereka agak berbeza daripada aksi ahli gusti penganjur gusti popular di Amerika Syarikat.



Pada 2012, Encik Danial memberitahu hasratnya menjadi seorang ahli gusti profesional kepada ibu bapanya.



"Pada mulanya saya enggan memberitahu rahsia saya hendak menjadi seorang ahli gusti kepada mereka.



"Namun, mereka menerimanya dan, walaupun tidak begitu gembira dengan berita itu, ibu bapa saya menasihati saya supaya mempunyai pelan sandaran sekiranya impian saya itu tidak berhasil," ujar beliau.



Berbekalkan azam menjadi ahli gusti pertama Singapura, Encik Danial mula mencari gelaran itu dalam talian pada 2014.



Pencarian itu menjadi kehampaan apabila beliau mendapat tahu bahawa seorang warga Singapura, Encik Andruew Tang, sudah mengambil gelaran itu.



Namun, di sebalik kehampaan itu ada juga peluang keemasan bagi Encik Danial kerana Encik Tang adalah pengasas SPW dan syarikat penganjur ahli gusti tempatan itu baru dibuka.



Encik Danial, yang berusia 19 tahun ketika itu, menghubungi Encik Tang dan melahirkan keinginannya belajar menjadi ahli gusti profesional.



Namun, perjalanan menjadi seorang ahli gusti profesional bukanlah sesuatu yang mudah, terutama sekali bagi beliau, yang sangat muda ketika itu.



"Saya tidak terima maklum balas atau kecaman negatif terhadap aksi saya di gelanggang. Atas sebab itu, saya berhenti bergusti seketika," kata Encik Danial, yang juga sukar membahagikan masa antara gusti dan tanggungjawab Perkhidmatan Negara (NS) ketika itu.



Tetapi cintanya terhadap gusti kental dan beliau kembali berlatih pada 2016 untuk menjadikan impiannya satu kenyataan.



Selain bergusti dengan ahli gusti profesional tempatan, Encik Danial berbesar hati berpeluang bergusti dengan ahli gusti terkenal Kenny Omega pada 2019.



"Saya masih mengingati melihat Kenny beraksi dalam video YouTube pada 2009 dan sejak itu, mengikuti kerjaya beliau. Apabila melihat beliau di depan mata saya, saya tidak memperkenalkan diri saya dan hanya tergamam.



"Namun, saya gembira Kenny mengizinkan saya membuat beberapa gerakan gusti terhadapnya," kata beliau.



Encik Danial berharap lebih ramai ahli gusti tempatan dapat menebarkan sayap ke negara lain, seperti Dante Chen, yang mencipta sejarah menjadi ahli gusti Singapura pertama beraksi di WWE (Hiburan Gusti Sedunia).



"Saya percaya dengan bakat yang ada di sini, kami boleh pergi jauh di peringkat antarabangsa.



"Saya juga berharap saya dapat merealisasikan impian saya bergusti di luar negara apabila pandemik Covid-19 ini berakhir," kata Encik Danial, dengan senyuman lebar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >