BAGASI tidak dijaga dan penumpang tidak memakai pelitup boleh dikesan secara automatik tidak lama lagi oleh sebuah sistem analitik video yang digunakan operator pengangkutan awam SBS Transit.
Sistem itu akan dilancarkan di lima stesen pertukaran MRT - Outram Park, Chinatown, Dhoby Ghaut, Little India dan Serangoon - di Laluan Timur Laut akhir tahun ini, sebagai permulaan.
Ia dijangka digunakan di stesen pertukaran di Laluan Downtown tahun depan.
Sistem itu, yang menganalisis visual daripada rangkaian kamera litar tertutup (CCTV) SBS Transit, dibangunkan oleh firma Perancis Thales.
Naib presiden kanan SBS Transit Jeffrey Sim, berkata di satu pratonton media Jumaat lalu: "Tujuan keseluruhan kami ialah benar-benar meningkatkan pengalaman pelanggan dan juga meningkatkan hasil dalam (aspek) keselamatan."
Sistem itu tidak akan menggantikan kakitangan stesen tetapi sebaliknya akan menjadikan perkhidmatan "lebih baik," kata Encik Sim, yang juga ketua Laluan Timur Laut/LRT Sengkang-Punggol dan ketua pembangunan rel.
Sekarang, kakitangan harus kerap melakukan rondaan di stesen dan memantau kamera CCTV bagi mengesan sebarang isu. Sistem itu akan membantu kakitangan mengenal pasti dengan lebih cepat isu bagasi tidak dijaga, penumpang tidak memakai pelitup dan kumpulan ramai orang yang timbul tanpa dijangka.
Ia boleh mengukur kepadatan penumpang di stesen MRT - fungsi yang dicuba di stesen Woodleigh Mac lalu.
Encik Sim berkata sistem itu akan mengumpul data untuk mengenal pasti paras biasa orang ramai pada waktu berbeza dalam sehari. Perisian itu kemudian akan memberi amaran kepada kakitangan stesen setiap kali kumpulan orang lebih besar daripada biasa dikesan.
Isu itu, misalnya, akan timbul sekiranya ada penumpang pengsan.
"Kecenderungan apabila seseorang pengsan ialah orang ramai datang berhimpun dan kepadatan (penumpang) akan naik," kata Encik Sim.
"Jadi, itulah masanya kakitangan stesen dapat campur tangan lebih awal, berbanding daripada dimaklumkan oleh seseorang yang memicit butang panik atau datang ke (kaunter) kawalan stesen."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg