Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sistem Muis teguh dukung tadbir urus, akauntabiliti awam

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menyangkal beberapa tohmahan dalam rencana yang mempersoal proses pengurusan kewangan dan tadbir urusnya menerusi satu kenyataan. Berikut kenyataan penuh daripada Muis.
Jul 11, 2021 | 05:30 AM



TERKINI terdapat artikel oleh penulis asing yang mempersoalkan proses pengurusan kewangan dan tadbir urus di Muis.



Artikel ini telah dikongsi di platform dalam talian dan melalui media sosial.



Kebanyakan dakwaan yang diketengahkan telahpun diperjelaskan Muis sebelum ini melalui kenyataan media dan di Parlimen.



Walau bagaimanapun, ini tidak diendahkan atau disebut oleh artikel itu.



Disebabkan itu, perlu bagi Muis untuk menyangkal tohmahan-tohmahan serta memperjelaskan kebenaran mengenai dakwaan-dakwaan dalam artikel tersebut.



  • MUIS MEMPUNYAI SISTEM YANG TEGUH UNTUK MENDUKUNG TADBIR URUS DAN AKAUNTABILITI AWAM

Sebagai sebuah lembaga berkanun yang terikat dengan undang-undang tadbir urus badan awam di Singapura, Muis perlu menyerahkan penyata kewangannya yang telah diaudit kepada Parlimen selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun.



Muis juga menyiarkan penyata kewangan Muis yang telah diaudit di laman web kami setiap tahun untuk pemeriksaan masyarakat.



Selaras dengan ini, penyata kewangan Muis yang telah diaudit bagi FY2020 telahpun dikemukakan kepada Parlimen dan dimuat naik ke laman web Muis. Alhamdulillah, juruaudit Muis telah mengeluarkan pendapat audit yang bersih lagi penyata kewangan ini.



Bagi memastikan proses pentadbiran kewangan Muis kekal teguh, Muis juga telah melaksanakan fungsi audit dalaman berasaskan risiko di mana semakan tahunan dijalankan oleh juruaudit dalaman bebas/berkecuali.



Segala dapatan audit dan saranan dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Muis, yang dipengerusikan oleh seorang anggota majlis Muis.



Selain audit dan pemeriksaan dalaman, sebagai sebuah agensi awam, Muis juga tertakluk kepada audit yang dilakukan AGO setiap lima tahun.



Muis mengambil segala dapatan dan pemerhatian audit yang diketengahkan oleh AGO dengan serius, dan kami komited untuk menangani kekurangan dan memperkukuhkan lagi kawalan dan proses kewangan kami.



Berikutan audit pada 2018, Muis membentuk satu pasukan bertindak yang dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Muis untuk mengukuhkan proses-proses pentadbiran Muis.



Sejauh ini, Muis telah melaksanakan semua proses pembaikan dari dapatan AGO (Pejabat Juruaudit Negara), kecuali satu yang memerlukan pembangunan sistem IT yang baru, yang ini dijangka selesai menjelang akhir 2021.



Sementara itu Muis juga melaksanakan langkah interim demi memperbaiki keadaan.



  • MASJID-MASJID DAN MADRASAH KITA DIURUS DENGAN SEMPURNA DAN TELAH DAPAT MEMBUAT PENYESUAIAN BAIK SEPANJANG WABAK COVID-19

Di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), semua masjid di Singapura terletak di bawah naungan Muis, Lembaga Pentadbir setiap masjid dikehendaki menyimpan akaun yang baik, dan penyata kewangan bagi setiap masjid mestilah diaudit setiap tahun oleh seorang akauntan awam bertauliah yang dilantik Muis dan diluluskan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam.



Muis juga menyelia tadbir urus kewangan masjid-masjid, di mana terdapat dasar-dasar, peraturan dan prosedur untuk memastikan tadbir urus yang baik.



Muis juga melatih pemimpin dan kakitangan masjid serta melakukan semakan audit dalaman di masjid-masjid untuk mengukuhkan tadbir urus kewangan masjid.



Sepanjang lima tahun yang lalu, terdapat pencapaian ketara dalam pembaikan laporan juruaudit.



Pada 2015, 77 peratus masjid kita mempunyai penyata kewangan yang bersih. Peratusan ini meningkat kepada 99 peratus pada 2019.



Muis juga memperkukuhkan tadbir urus kewangan madrasah, dan di sini juga kita telah sama-sama meraih banyak peningkatan.



Di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), Muis memastikan bahawa akaun madrasah JMS diaudit setiap tahun.



Lembaga Pentadbir JMS menjalankan audit kewangan tahunan, yang kemudian diserahkan kepada Muis. Muis juga sentiasa menyemak dan mengukuhkan dasar dan amalan madrasah.



Di samping madrasah-madrasah JMS, Muis juga membantu Madrasah Wak Tanjong memperkukuh proses tadbir urus kewangan dan audit tahunan melalui Pakej Bantuan Komprehensif pada 2018.



Para pelajar, guru dan kakitangan juga mendapat bantuan pembangunan profesional secara menyeluruh.



Madrasah Al-Ma'arif dan Madrasah Alsagoff juga dapat memanfaatkan geran kewangan Muis bagi latihan guru dan pembangunan pelajar.



Masjid dan madrasah kita kekal stabil walaupun menghadapi cabaran wabak Covid-19.



Kita telah beralih kepada cara digital untuk memudahkan sumbangan derma dalam talian, dan sejak April 2020 portal OurMasjid.SG telah mengumpul hampir $6 juta, yang diagihkan kepada masjid-masjid setiap suku tahun.



Bersama-sama dengan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) pemerintah, masjid-masjid kita berada dalam kedudukan kewangan yang sihat.



Muis dan madrasah kita juga telah melancarkan portal OurMadrasah.SG pada Disember 2020, dan telah mengumpul $400,000 setakat ini.



Pada masa yang sama, semasa wabak ini, kakitangan madrasah dan guru-guru kita telah bertindak dengan cepat untuk mengurangkan gangguan kepada pembelajaran pelajar mereka, sambil memastikan mereka selamat serta membuat persediaan untuk "Norma Baru".



Muis memperkukuhkan sistem tadbir urus kewangan di masjid-masjid dan madrasah kita.



Namun usaha ini perlu dilengkapi dengan para pemimpin yang cekap dan komited yang berpegang pada prinsip akauntabiliti dan integriti.



Apabila terdapat kes-kes yang melibatkan individu atau keadaan yang kurang menyenangkan, Muis terus mengambil tindakan susulan dan melakukan siasatan yang menyeluruh.



Apabila perlu, Muis tidak teragak-agak melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan juga tindakan yang sewajarnya.



Namun, kes-kes ini jarang berlaku, dan perkara seperti ini tidak harus menjejas reputasi para pemimpin masjid dan madrasah, kakitangan dan sukarelawan kita.



  • MEMASTIKAN TADBIR URUS YANG BAIK BAGI ZAKAT SAMBIL MEMBERI KHIDMAT KEPADA GOLONGAN YANG MUDAH TERJEJAS DALAM MASYARAKAT

Di bawah Amla, Muis mentadbir kutipan zakat dan fitrah. Pungutan zakat diagihkan kepada lapan asnaf.



Muis mendapatkan panduan mengenai pungutan zakat dan pengagihannya kepada pelbagai asnaf mengikut syariah dari Jawatankuasa Zakat & Fitrah, yang terdiri daripada pemimpin agama dan masyarakat.



Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Presiden Muis ini juga menyemak semula dasar dan amalan semasa setiap tahun, demi memenuhi keperluan lapan asnaf, terutamanya golongan miskin dan memerlukan, dan memastikan golongan yang mudah terjejas dalam masyarakat mendapat sokongan yang baik.



Di samping itu, kutipan dan pengagihan zakat Muis diaudit dengan teliti, dan maklumat ini boleh dilaporkan dalam laporan tahunan Muis.



Alhamdulillah, lebih 6,900 keluarga dibantu melalui zakat tahun lalu.



Pada 2020, Muis mengagihkan $27.6 juta untuk membantu masyarakat Islam yang miskin dan memerlukan di bawah pelbagai program dan skimnya.



Pada tahun-tahun di mana kutipan zakat lebih tinggi, Muis juga menyalurkan lebih banyak bantuan wang kepada penerima zakat melalui komponen pengagihan Ramadan dan akhir tahun, selain daripada pengagihan bulanan.



Bagi 2020 misalnya, kami menyediakan tambahan enam bulan bantuan melalui komponen ini untuk membantu keluarga mengharungi kelembapan ekonomi disebabkan pandemik.



Selain bantuan kewangan, Muis juga menyediakan keperluan holistik bagi penerima zakat melalui program sokongan seperti program pendamping (Befriender) yang terdiri daripada lebih 500 pendamping sukarela, dan pelaksanaan program pembelajaran dan kemahiran hidup Islam untuk pembangunan diri penerima bantuan.



Para penerima bantuan juga dihubungkan dengan rangkaian sokongan nasional seperti ComCare oleh MSF (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga), pusat khidmat keluarga dan perkhidmatan oleh agensi-agensi perkhidmatan sosial yang lain untuk memastikan mereka menerima bantuan sosial atau pekerjaan yang relevan.



Selain daripada pengurusan zakat, bagi tanggungjawab berkanun Muis yang lain, contohnya pengurusan haji, pensijilan halal dan pengurusan wakaf, kami juga akan terus berusaha untuk mengukuhkan tadbir urus yang baik dan sentiasa menyemak proses kami untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.



Muis sentiasa mengalu-alukan maklum balas dan amat mengambil berat mana-mana aduan yang diterima, demi menegakkan tahap integriti yang tertinggi.



  • PEJABAT MUFTI TELAH MENYIASAT KES AJARAN SESAT

Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Januari 2021 di Parlimen, Muis telah menangani satu kes dakwaan ajaran sesat di mana aduan pertama diterima pada 2015.



Pada 2018, Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan surat arahan mengerahkan individu itu supaya segera menghentikan khidmat penyembuhan.



Beliau juga diarahkan berhenti menyebarkan kepada orang ramai sebarang idea dan amalan yang bukan berdasarkan sumber agama yang berwibawa.



Jawatankuasa Fatwa juga menasihatkan beliau supaya mendapatkan pengetahuan agama daripada asatizah yang berwibawa dan berkelayakan.



Pada November 2020, sejurus setelah timbul maklumat baru mengenai kes ini, Muis dengan segera membuka semula siasatan kami dan mengeluarkan kenyataan media pada 10 November 2020 menggesa orang ramai supaya tampil dengan bukti.



Pasukan penyiasat dan Jawatankuasa Fatwa telah menemu bual mereka yang terlibat dan sedang dalam proses menyelesaikan siasatan.



Muis akan berkongsi dapatannya dengan orang awam dalam masa terdekat.



  • MUIS AMAT MENGAMBIL BERAT TADBIR URUS DAN AKAUNTABILITI, DAN MENGHARGAI MAKLUM BALAS UNTUK TERUS MEMPERBAIKI PERKHIDMATAN DAN AMANAH KEPADA MASYARAKAT

Kesimpulannya, Muis amat mengambil berat perkara berkaitan tadbir urus dan akauntabiliti, dan mempunyai proses yang kukuh yang kami sentiasa titik berat.



Walau bagaimanapun, kami akur bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, dan kami menghargai maklum balas dan cadangan daripada orang ramai mengenai bagaimana proses kami boleh dipertingkat lagi.



Sejak Muis ditubuhkan pada 1968, matlamat utama kami adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam di Singapura.



Kami mampu melakukannya dengan sokongan padu dan kepercayaan yang kuat daripada masyarakat.



Kami tidak mengambil mudah perkara ini, dan akan terus bekerja keras untuk terus membina kepercayaan yang telah diletakkan oleh masyarakat Islam ke atas Muis.



Kami kekal komited untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam pelbagai bidang untuk menyokong kehidupan sosioagama dan kemajuan masyarakat.




"Kesimpulannya, Muis amat mengambil berat perkara berkaitan tadbir urus dan akauntabiliti, dan mempunyai proses yang kukuh yang kami sentiasa titik berat.

Walau bagaimanapun, kami akur bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, dan kami menghargai maklum balas dan cadangan daripada orang ramai mengenai bagaimana proses kami boleh dipertingkat lagi."

- Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >