Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PELUANG NIAGA DALAM SEKTOR DIGITAL

'Sisterscookies' laris lepas tutup studio kek, pindah 100% ke digital

Pandemik Covid-19 telah menjejas banyak perniagaan dari segi operasi, pendapatan dan sebagainya. Namun, sebahagian besar perniagaan telah membuat peralihan untuk memanfaatkan teknologi demi merebut peluang baru di tengah-tengah wabak ini. Malah, ada yang mencatatkan kemajuan lebih baik setelah memanfaatkan penggunaan teknologi dan dapat menebarkan sayap ke luar negara dengan membawa produk dan perkhidmatan ke ruang dalam talian. Berikut kisah tiga perniagaan yang semakin mencatatkan prestasi baik setelah memanfaatkan teknologi.
Dec 28, 2021 | 05:30 AM



APABILA pandemik Covid-19 melanda, pelbagai peraturan dikenakan ke atas perniagaan demi memastikan keselamatan semua, namun ia telah menjejas teruk perniagaan Cik Suriani Abdul Samad.



Kelas-kelas membuat kek dan roti yang diadakan secara fizikal oleh syarikatnya, Sisterscookies, terpaksa dihentikan apabila diberitahu mereka hanya boleh mengadakan kelas dengan seramai lima orang saja.



Namun, Cik Suriani, 50 tahun, tidak berputus asa, malah telah memikirkan cara inovatif untuk meneruskan perniagaannya.



"Kami terpaksa tutup satu-satunya studio membuat kek dan roti kami pada Julai tahun lalu disebabkan peraturan Covid-19. Sewa studio saja sudah sekitar $5,000 sebulan, dan kami juga perlu bayar gaji kakitangan dan sebagainya. Kalau setakat lima peserta satu kelas, berapa sahaja yang kita boleh untung.



"Lalu, saya dan suami, yang juga pengasas bersama syarikat, dan dua anak kami berbincang dan sepakat untuk memindahkan perniagaan ke dalam talian sepenuhnya di mana kami adakan kelas membuat kek dan roti secara digital," kata beliau, sambil menambah mereka sudah pun mengadakan beberapa kelas dalam talian sebelum pandemik.



Hasilnya berbaloi - sejauh ini, Sisterscookies mempunyai sekitar 1,000 peserta, termasuk dari dalam negara dan juga sejauh Dubai dan Australia, yang telah mengikuti kelas dalam talian mereka.



Pada mulanya, Cik Suriani menjelaskan bahawa kelas diadakan secara langsung, atau 'live', dalam talian, namun mereka mendapati sambutannya tidak begitu memberangsangkan kerana ramai orang mungkin tidak cukup masa mengikuti kelas itu yang boleh berlangsung selama sehingga empat jam.



Oleh itu, mereka menerapkan strategi baru dengan membuat rakaman video membuat kek dan roti yang kemudiannya dimuat naik ke dalam laman seperti Facebook.



Peralihan ini melibatkan sumbangan tenaga seluruh keluarganya - suami beliau, Encik Mohamed Halimuddin Sapinge, merakam videonya; anak perempuan beliau, Cik Siti Raudhah, menjadi hos yang mengajar cara membuat kek dan roti di hadapan kamera; dan seorang anak lelakinya, Encik Mohd Ridhuan, kemudian menyunting video tersebut.



Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak lelaki, Encik Mohd Firdaus, yang kini sedang mengikuti pengajian diploma dalam membuat kek dan roti di Pusat Latihan dan Pendidikan Persatuan Hotel Singapura (Shatec).



Dengan itu, peserta yang mendaftar bagi kelas mereka akan diberi pautan laman untuk mendapat akses kepada video itu selepas membuat bayaran.



Demi menarik lebih ramai pelanggan, Sisterscookies juga telah memperkenalkan sebuah sistem langganan menerusi laman www.sisterscookiesdigital.com.



Di bawah sistem langganan itu, individu membayar $39.90 setiap bulan dan mendapat akses kepada lebih 60 video untuk belajar membuat kek dan roti dan lebih 80 resipi.



Malah, kandungan video dan resepi itu bertambah setiap bulan, dengan mereka boleh menonton dan merujuk kepadanya pada bila-bila masa.



"Semua resepi yang diajar adalah ciptaan kami. Anak saya, Raudhah, melakukan penyelidikan dan pengembangan (R&D), dan akan mencuba resepi itu tiga, empat kali sebelum kita ajarkannya kepada orang lain.



"Yang paling penting, resepinya mesti mudah dan hasilnya boleh dijual supaya kita boleh bantu wanita yang berniaga dari rumah di sini. Kita nak beri tambah nilai di situ," kata beliau.



Di samping itu, Cik Suriani sendiri mengadakan kelas keusahawanan dalam talian demi berkongsi ilmu dan kemahiran berniaga secara kecil-kecilan, seperti cara menjalankan perniagaan, memikat pelanggan, pemasaran dan sebagainya.



Memandang ke hadapan, Cik Suriani berharap dapat menarik lebih ramai peserta, baik di dalam negara mahupun di luar negara, untuk menyertai kelas dalam talian mereka.



"Kita perlu ikut trend… Lebih ramai usahawan harus memasuki ruang digital. Jika tidak, susah untuk masa depan. Lagipun apabila kita masuk dunia digital, tumpuannya bukan hanya sekadar di Singapura.



"Jika produk kita dapat dibawa ke luar negara, mengapa tidak? Anda akan mendapat lebih ramai pelanggan," ujarnya.




''Kita perlu ikut trend… Lebih ramai usahawan harus memasuki ruang digital. Jika tidak, susah untuk masa depan. Lagipun apabila kita masuk dunia digital, tumpuannya bukan hanya sekadar di Singapura. Jika produk kita dapat dibawa ke luar negara, mengapa tidak? Anda akan mendapat lebih ramai pelanggan.''
- Cik Suriani.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >