Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan digesa bagi golongan muda teroka peluang kerjaya

Mar 3, 2022 | 5:30 AM
CIK RAHAYU MAHZAM: Saran ekosistem pementoran dibentuk agar setiap anak muda itu mendapat sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya,
CIK RAHAYU MAHZAM: Saran ekosistem pementoran dibentuk agar setiap anak muda itu mendapat sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya, -

ADALAH penting bagi pemerintah terus membina usaha untuk menyokong golongan muda dalam meneroka peluang kerjaya kerana bukan setiap daripada mereka bernasib baik, kata Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.

Oleh itu, Cik Rahayu menekankan terdapat keperluan untuk membina ekosistem sokongan, budaya pementoran, supaya setiap anak muda, tanpa mengira latar belakangnya, berpeluang dibimbing mencari dan merebut semua peluang yang datang.

Ini merupakan antara tiga saranan yang diutarakan beliau semasa berucap ketika perbahasan mengenai Belanjawan di Parlimen semalam.

"Pemerintah perlu terus menyediakan peluang untuk anak-anak muda kita meneroka peluang pekerjaan yang ada. Amat baik sekiranya usaha terus dicurahkan untuk membentuk ekosistem pementoran, agar setiap anak muda itu mendapat sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya," kata beliau.

Cik Rahayu juga berharap pemerintah dapat terus menyalurkan dana untuk meningkatkan sokongan buat keluarga yang punya anak-anak yang berbeza keupayaannya.

Menurut beliau keperluan golongan ini pelbagai dan memerlukan pihak pemerintah menyediakan landasan agar masyarakat di sini dapat sama-sama berganding bahu dalam usaha mewujudkan Singapura yang lebih inklusif.

Cik Rahayu turut menarik perhatian bahawa selain daripada usaha pemerintah, setiap rakyat Singapura perlu mengambil bahagian dalam usaha membangunkan negara.

"Pemerintah harus bertanggungjawab menyediakan rangka kerja fiskal agar ekonomi dapat berkembang maju dan menyediakan infrastruktur bagi pelbagai sokongan untuk demografi yang berbeza dalam masyarakat," jelasnya.

Namun, beliau menekankan bahawa masih terdapat banyak yang boleh rakyat Singapura lakukan untuk menaiktarafkan masyarakat.

Cik Rahayu menjelaskan Belanjawan tahun ini bukan sahaja menjangkaui pertimbangan fiskal sahaja, malah "mencerminkan keutamaan Singapura" dan membentuk Singapura sebagai sebuah negara.

"Saya berharap kita dapat mencari ketenangan dalam kekuatan dan perpaduan rakyat kita, untuk berkongsi beban dan memanfaatkan peluang yang ada di hadapan kita.

"Belanjawan adalah daya penggerak penting ke arah penciptaan prospek yang lebih baik dan pemerkasaan individu, sambil kita melakarkan hala tuju baru kita bersama-sama," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg