SEKTOR seni dan sukan di Singapura akan menerima lebih banyak sokongan di dalam usaha pemerintah memperketat langkah keselamatan Covid-19 bagi mengekang peningkatan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu (15 Mei), Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) berkata, bagi sektor seni, ia akan memberi subsidi kos pada ujian pra-acara yang dikendalikan syarikat seni dan budaya yang mempersembahkan persembahan langsung yang dibenarkan dari 16 Mei hingga 13 Jun.
Lebih banyak keterangan tentang bagaimana mereka yang terjejas boleh memohon bagi sokongan ini akan dikeluarkan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Sektor seni juga boleh memanfaatkan Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya yang ditokok sepanjang setahun ini kepada $75 juta.
Pakej ini membiaya geran operasi, subsidi tempahan lokasi, bantuan kepada golongan yang bekerja sendiri serta pertolongan menyokong peralihan perniagaan.
Bagi sektor sukan pula, langkah bantuan yang baru-baru ini diumumkan Sport Singapore (SportSG) yang sepatutnya ditawarkan hingga 30 Mei dilanjutkan hingga 13 Jun.
Langkah yang diperkenalkan termasuk geran projek, geran operasi, geran bantuan latihan dan bantuan wang tunai langsung bagi mereka yang terjejas.
SportSG juga sedang mencari lebih banyak ruang luar di dalam kemudahan ActiveSG bagi jurulatih dan instruktornya mengendalikan kelas.
Keterangan mengenai cara memohon bagi ruang ini akan diumumkan apabila segala butirannya siap untuk dibentangkan.
Kenyataan itu juga merumuskan beberapa langkah utama yang akan menjejas sektor MCCY.
- Semua persembahan di dalam ruang tertutup dan terbuka harus ditunda walaupun persembahan 'live' yang telah diuar-uarkan kepada awam sebelum 5 Mei dan dijadualkan diadakan antara 8 Mei hingga 13 Jun boleh diteruskan dengan kebenaran Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.
- Rakaman terbitan digital dan latihan yang berkait dengannya dihadkan pada 15 bakat dan kru di atas pentas dan di balik pentas pada sesuatu masa yang diberi.
- Semua penceramah, peserta dan instruktor dalam kelas seni dan budaya, kuliah, ceramah dan bengkel mesti menggunakan pelitup sepanjang masa. Kegiatan yang tidak boleh dikendalikan dengan pelitup harus digantung.
- Kelas menyanyi atau alat muzik tiupan dan bras juga digantung.
- Lokasi seni dan warisan boleh meneruskan operasi pada tampungan yang dikurangkan kepada 25 peratus.
- Hanya kegiatan tidak memerlukan banyak tenaga boleh diteruskan di semua lokasi sukan tertutup dengan peserta menggunakan pelitup setiap masa.
- Kelas di ruang tertutup dan terbuka dihadkan pada 30 orang sahaja (termasuk instruktor) atau mengikut had tampungan lokasi yang digunakan, mana-mana yang lebih rendah. Semua individu mesti gunakan pelitup setiap masa. Peserta juga mesti terbahagi kepada kumpulan tidak melebihi dua orang dengan jarak dua meter antara individu atau tiga meter antara kumpulan berbeza.
- Kegiatan lasak yang memerlukan peserta membuka pelitup akan dihadkan pada dua orang sahaja termasuk instruktor.
- Perhimpunan dan khidmat ibadat lain dihadkan pada 100 orang dengan ujian pra-acara dilakukan atau 50 orang sekali gus tanpa ujian.
- Mereka yang menyertai sebarang upacara atau ibadat dalam kumpulan harus pastikan ia tidak melebihi dua orang. Pelitup harus digunakan setiap masa oleh semua termasuk mereka yang berhujah dalam sesi perhimpunan itu.
- Menyanyi dan bermain alat muzik tiupan atau bras tidak dibenarkan. Individu juga tidak boleh berkongsi barangan ibadat atau keperluan lain.
- Majlis pernikahan boleh diteruskan dengan had 100 tetamu yang disertakan dengan ujian pra-acara atau hingga 50 orang tanpa ujian dilakukan, bergantung pada had tampungan lokasi majlis.
- Jamuan makan atau resepsi perkahwinan tidak dibenarkan.
- Upacara pengkebumian, pembakaran mayat, pemasangan ceruk dan adat istiadat pasca pengurusan mayat di tempat ibadat boleh melibatkan lebih 20 orang dalam satu masa, bergantung pada had tampungan di lokasi berkenaan. Orang ramai yang datang harus berada dalam kumpulan tidak melebihi dua orang.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong menulis di Facebook pada Sabtu (15 Mei) bahawa sektor di bawah kementeriannya telah menerima tamparan yang "seganda lebih hebat" dengan langkah baru ini tetapi ia perlu dilaksanakan atas keperluan.
"Ini adalah masa untuk menjaga bukan sahaja kehidupan tetapi mata pencarian.
"Kami tahu banyak perniagaan yang terjejas. Saya berbincang dengan rakan Kabinet saya - apakah yang boleh kita lakukan bagi membantu menangani impak, menyerap kos umum dan membantu penduduk kita mengharungi tempoh ini," tulis Encik Tong.