SYARIKAT SPH Media Trust semalam mengumumkan penyelesaian penstrukturan semula media dengan Singapore Press Holdings Limited (SPHL) dan pemindahan perniagaan berkaitan media (SPH Media).
Pemindahan itu menyusuli mesyuarat agung khas (EGM) pada 10 September lalu dengan pemegang saham mengundi menyerahkan perniagaan media SPHL ke sebuah syarikat awam berhad yang dijamin (CLG), yang mengambil alih perniagaan media SPH pada 1 Disember.
Syarikat CLG itu, SPH Media Trust, mulai semalam mengendalikan SPH Media di bawah struktur bukan untuk keuntungan, demikian menurut kenyataan SPH Media Trust lewat malam tadi.
Mengulas, Pengerusi SPH Media Trust, Encik Khaw Boon Wan, berkata:
"Kami berbesar hati telah menyelesaikan pemindahan SPH Media kepada SPH Media Trust hari ini (semalam).
"Ini menandakan satu peristiwa penting sedang kami memberi tumpuan semula pada misi kami untuk menghasilkan kewartawanan bermutu sebagai kepentingan awam.
"Ini juga akan memastikan kerelevanan dan kemampanan SPH Media yang berterusan.
"Kami berterima kasih kepada SPHL atas pengawasannya ke atas SPH Media selama ini," kata Encik Khaw.
Beliau menambah: "Kami berharap dapat bekerjasama dengan semua orang dalam pasukan baru akan datang untuk mengukuhkan SPH Media sebagai pertubuhan multimedia yang dipercayai."
Dengan selesainya pemindahan itu, semua aset berkaitan media dan 2,500 pekerja dipindahkan ke SPH Media Trust, termasuk hartanah dan bangunan News Centre dan Print Centre, di samping hak intelek dan aset teknologi maklumat yang berkaitan.
Laporan Khas Mempertingkat Bilik Berita Di Bawah SPH Media Trust:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg