SINGAPURA mengambil pendirian kukuh terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine kerana negara ini memilih untuk mendukung satu prinsip utama yang selaras dengan kepentingan nasional jangka panjangnya, iaitu kedaulatan dan kewibawaan wilayah semua negara, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Bercakap dengan media Singapura di akhir lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat, Encik Lee berkata inilah pendirian yang diambil Singapura secara konsisten selama ini.
"Kita memilih prinsip dan mendukung prinsip yang selaras dengan kepentingan nasional jangka panjang kita, dan kita mendukungnya dengan konsisten," ujar beliau ketika ditanya apakah responsnya kepada warga Singapura yang prihatin bahawa negara ini memilih untuk menyebelahi satu pihak.
Salah satu prinsip asas ini adalah untuk tidak mencemari kedaulatan dan kewibawaan wilayah negara, yang dipelihara dalam piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) namun kini tergugat dek konflik di Ukraine sekarang.
Singapura sebelum ini mengumumkan untuk mengenakan langkah kawalan eksport terhadap barangan yang boleh digunakan secara langsung sebagai senjata di Ukraine, selain mengenakan sekatan dengan menghalang bank atau urus niaga kewangan tertentu yang mempunyai kaitan dengan Russia.
Encik Lee berkata Singapura telah mengambil pendirian yang jelas secara konsisten selama ini, termasuk apabila ia menentang pencerobohan Vietnam ke atas Kemboja pada 1978.
Bahkan, Singapura juga mengambil pendirian terhadap pencerobohan Amerika ke atas Grenada di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 1983.
"Kita mengundi menentang mereka di PBB... tidak bermakna kita musuh Amerika, tetapi kita tidak boleh setuju dengan tindakan mereka," ujarnya.
Berhubung pencerobohan Russia ke atas Ukraine juga, Singapura bukan musuh Russia, kata Encik Lee.
Namun, Singapura tidak boleh menyokong atau menerima langkah mencemari kedaulatan sesebuah negara lain dan perlu mengambil pendirian, ujar beliau.
Encik Lee turut merakamkan sokongannya bagi PBB apabila beliau bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, kelmarin.
Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Akhbar Encik Lee, Cik Chang Li Lin, berkata Encik Lee telah berkunjung ke PBB untuk merakamkan sokongannya bagi pucuk pimpinan dan kerja yang dijalankan PBB, khususnya ketika kerjasama berbilang hala diuji kini.
"Ketika inilah kita perlu menyokong PBB dan bekerjasama untuk mengukuhkan sistem berdasarkan peraturan supaya kita dapat menangani cabaran penting seperti perubahan iklim, isu laut dan ruang siber secara berkesan bersama," ujarnya.
Tambahnya, perbincangan Encik Lee dan Encik Guterres yang berlangsung selama 40 minit adalah baik dan meluas.
Encik Guterres sebelum ini menyifatkan perang di Ukraine sebagai satu bencana yang menjejas asas aturan antarabangsa, hingga merentas sempadan serta menyebabkan harga makanan, bahan api dan baja yang melonjak, yang juga membawa kecelakaan bagi negara yang sedang membangun.