"DIK, saya perlukan peguam. Macam mana hendak dapatkan peguam?"
Soalan diajukan oleh seorang wanita dalam kecemasan kepada Cik Halijah Mohamad sebagai peguam muda yang secara kebetulan di Mahkamah Rendah, menyedarkannya bahawa bantuan guaman tidak mudah diakses oleh ramai individu.
Walaupun sudah 30 tahun berlalu, pengalaman itu masih segar di ingatan Cik Halijah hingga ke hari ini.
Beliau sedar akses kepada bantuan guaman terus menjadi cabaran kepada golongan kurang bernasib baik.
Lantaran itu, daya usaha seperti Pusat Guaman Masyarakat di kawasan kejiranan Hougang memang dialu-alukannya kerana ia akan memberi banyak manfaat kepada ramai keluarga susah.
Pusat yang terletak di premis Kuil Tian De di Hougang itu, adalah yang pertama oleh Pro Bono SG di kawasan kejiranan, dan akan memberi tumpuan kepada penduduk timur laut seperti di Hougang, Punggol serta Sengkang.
Cik Halijah, pengasas firma guaman Halijah Mohamad & Co, adalah antara 10 peguam yang menganggotai panel sumber pusat tersebut.
Mereka berpengalaman dalam pelbagai bidang undang-undang seperti keluarga, jenayah dan pekerjaan.
Cik Halijah, yang tidak asing lagi dalam melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan khidmat guaman secara pro bono, berkata sumbangannya di pusat itu adalah sesuatu yang bermakna.
"Saya rasa memang penting untuk menyumbang balik kepada masyarakat.
"Memang bunyinya seperti klise, tetapi adalah nyata sesuatu yang sangat baik untuk menyumbang semula kepada masyarakat jika kita dalam kedudukan yang membolehkan kita berbuat demikian.
"Apatah lagi golongan dibantu adalah mereka yang kurang bernasib baik dan amat memerlukan bantuan.
"Saya bukan doktor, atau jururawat jadi inilah kepakaran saya yang boleh digunakan untuk membantu orang lain," ujarnya.
Mengenai peranannya, Cik Halijah berkata beliau akan berkongsi kepakaran dan pengalamannya dalam bidang undang-undang keluarga.
"Disebabkan pengalaman yang ada, apabila peguam seperti saya dalam panel melihat dan meneliti sesuatu kes itu, kami sudah boleh tahu apakah strategi dan pelan tindakan yang boleh diambil.
"Ini berbanding dengan peguam lebih muda dan kurang berpengalaman.
"Jadi contohnya, dalam kes berkaitan undang-undang keluarga, strategi paling berkesan untuk anak guaman ialah pengantaraan atau mediation.
"Kalau ini gagal dan kami perlu berjuang di mahkamah, saya boleh menasihatkan tentang strategi terbaik dan bagaimana untuk membentangkan bukti dengan berkesan," terang beliau.
Menurut Cik Halijah, peranannya di pusat itu tidak banyak berbeza daripada khidmat yang disumbangkan di klinik guaman lain.
"Cuma apa yang ketara di sini ialah pusat ini bekerjasama dengan agensi lain di daerah kejiranan ini seperti agensi perkhidmatan sosial dan pejabat perkhidmatan sosial.
"Ini sesuatu yang sangat baik kerana ini bermakna jika pusat menerima klien yang bukan hanya mempunyai isu guaman, bahkan juga masalah kewangan dan lain-lain, mereka di sini dapat merujuk masalah klien ke badan atau agensi relevan untuk mendapatkan bantuan.
"Dan ini sesuatu yang sangat relevan untuk masyarakat Singapura hari ini kerana kita harus menjadikan bantuan dan nasihat guaman lebih mudah diakses dan diterima oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan," tegas beliau.
"Saya rasa memang penting untuk menyumbang balik kepada masyarakat...
Saya bukan doktor, atau jururawat jadi inilah kepakaran saya yang boleh digunakan untuk membantu orang lain."
- Cik Halijah Mohamad, peguam yang juga pengasas firma guaman Halijah Mohamad & Co.