Subuh
5:32
Syuruk
6:56
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:59
Isyak
8:13
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Suntikan percuma cegah pneumonia bagi warga emas di Marsiling

Dec 04, 2021 | 05:30 AM



WARGA emas daripada Generasi Perintis dan Merdeka di Marsiling akan menerima vaksinasi percuma untuk melindungi mereka daripada penyakit radang paru-paru.



Ia merupakan satu program masyarakat baru, dilancarkan oleh Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, di Blok 185B, Woodlands Street 13, semalam.



Encik Zaqy yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Marsiling-Yew Tee berkata kebanyakan kematian warga emas akibat Covid-19 adalah kerana mereka juga mempunyai masalah perubatan lain seperti pneumonia.



"Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Kebangsaan 2020, hanya 14.4 peratus warga emas divaksinasi terhadap pneumonia dan ini membimbangkan kerana pneumonia adalah penyebab kematian nombor dua di Singapura.



"Ini sebabnya anggota akar umbi dan relawan melihat keperluan untuk membawa program ini lebih dekat kepada warga tua kami supaya dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang sihat, aktif dan mencegah daripada dijangkiti pneumonia," ujar Encik Zaqy.



Beliau berkata demikian semasa berucap di pelancaran program itu yang dinamakan Smart Wellness Programme@ Marsiling.



Program itu merupakan hasil kerjasama Kawasan Undi Marsiling bersama RSVP Singapore, The Organisation of Senior Volunteers.



Program tersebut bertujuan menyokong sistem penjagaan kesihatan semasa pandemik Covid-19 ini, dengan melindungi warga emas.



Program itu akan mendekati warga emas yang mudah terjejas dalam masyarakat melalui tiga cara iaitu dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan dalam kalangan warga emas dan pengasuh; memupuk semangat warga emas untuk membantu warga emas lain dalam mencegah penyakit; dan menggalak warga emas supaya mengambil berat mengenai kesihatan dan kesejahteraan diri.



Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.



Seramai 30 relawan RSVP akan melatih 100 relawan warga emas di kawasan undi itu yang kemudian akan menjangkaui 1,000 warga emas pada 2022.



Program ini juga akan melibatkan sebuah klinik mudah alih yang akan kerap mengunjungi kawasan itu untuk menyediakan konsultasi vaksinasi untuk seramai 300 warga emas.



Program ini akan berlangsung selama setahun untuk memantau kesihatan penduduk yang menyertai program itu.



Antara penduduk Marsiling yang telah turun untuk mendapatkan rawatan dan vaksinasi itu ialah Cik Amisha Ahmad, 74 tahun.



"Ini satu program yang baik kerana ia dilakukan demi keselamatan dan kesihatan warga emas. Tambahan pula ia percuma.



"Satu lagi, program ini juga senangkan kami untuk pergi mendapatkan vaksinasi. Jadi penduduk dapat pergi sama-sama dan sokong satu sama lain.



"Walaupun kita lain bangsa, kita bersatu di Singapura ini," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >