Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tabah hadapi dugaan jaga anak yang dilahirkan dengan penyakit ‘kurang kulit’

May 23, 2023 | 04:12 PM



SEMASA mengandung anak kelimanya pada 2020, Cik Siti Abdillah Mohamed menyangka proses kelahirannya mudah, setelah melalui empat kelahiran yang rata-ratanya berjalan lancar sebelum ini.

Malangnya, itu tidak berlaku semasa beliau melahirkan bayi perempuannya, Sumayyah Abdul Rahman di Hospital Besar Singapura (SGH).

Cik Siti terpaksa menjalani pembedahan caesarean (C-section) kerana bayinya berada dalam keadaan songsang atau ‘breech’.


Anaknya itu kemudian didapati menghidap Aplasia Cutis Congenita, keadaan yang jarang berlaku di mana bayi dilahirkan dengan ketiadaan lapisan kulit tertentu.


Sejak dilahirkan, Sumayyah telah menjalani lebih 20 pembedahan sebelum berusia tiga tahun.

Cik Siti dan suaminya, Encik Abdul Rahman Abdul Rahim, banyak berkorban untuk menjaga anak bongsu mereka itu.

Ketika Sumayyah dilahirkan, Encik Rahman pada awalnya berfikir anak perempuannya hanya berada dalam keadaan ‘kotor’.

“Apabila saya mendengar anak saya menangis saya mengucapkan Alhamdulillah kerana saya ingat semuanya okey saja.

“Saya ternampak badannya macam ada darah dan berfikir ini adalah sesuatu yang biasa kerana selalunya bayi apabila dilahirkan ada darah dan sebagainya.

“Tetapi apabila doktor memanggil saya ke tepi untuk menunjuk anak saya setelah mengelapnya, saya terkejut. Dia bukan ‘kotor’ tetapi dia mempunyai keadaan yang jarang berlaku,” jelas Encik Rahman, 41 tahun.

Menunjukkan keadaan Sumayyah ketika beliau baru sahaja berlahir, anak kecil itu mempunyai kulit yang tipis dan merah di sebahagian besar kepala dan badannya.

Tambah Encik Rahman, doktornya kemudian memaklumkan bahawa sebanyak 37 peratus kulit anaknya terjejas dan keadaannya merupakan antara yang paling serius di seluruh dunia.

Akibat keadaannya, Sumayyah terpaksa menjalani pelbagai pembedahan dalam beberapa bulan awal kehidupannya.

Ini termasuk menggunakan kulit tiruan dan cantuman kulit dari badan kecilnya sendiri.

Mengimbas kembali peristiwa tersebut, Cik Siti berkata ia merupakan salah satu detik yang paling menyakitkan baginya sebagai seorang ibu.

“Apabila saya lihatnya, saya hanya dapat berfikir, apa yang saya buat salah?

“Doktor-doktor semua bertanya sekiranya saya ada makan makanan yang salah dan pelbagai soalan lagi,” katanya dengan suara yang sebak.

Menurutnya, semakin Sumayyah membesar, kulitnya menjadi semakin tipis dan ini akan menyebabkan kulitnya koyak. Apabila ini terjadi, doktor terpaksa mengambil kulit dari pehanya yang tidak terjejas untuk mencantumkan kulit yang terkoyak itu.

Encik Rahman berkata: “Saya sampai tanya doktor, jika dia boleh mengambil kulit saya.

“Sebagai seorang bapa saya tidak dapat melakukan apa pun. “

Sumayyah diwadkan dan menjalani rawatan selama lima bulan di SGH, sebelum menjalani rawatan susulan di Hospital Wanita & Kanak-Kanak KK (KKH), kata Encik Rahman.

Semasa tempoh yang mencabar ini, pasangan ini telah banyak berkorban.

Encik Rahman yang bekerja sebagai seorang pegawai keselamatan terpaksa menyesuaikan jadual kerjanya untuk mengambil syif malam sahaja supaya beliau dapat membantu keluarga pada siang hari.

Pasangan itu juga akan bergilir-gilir menemani Sumayyah di hospital dan berulang-alik ke rumah untuk menjaga empat anak mereka yang lain.

“Semasa tempoh itu, kami tidak dapat meluangkan masa bersama.

“Masa kami berjumpa adalah apabila kami bertukar ‘syif’ untuk menjaga Sumayyah di hospital,” kata Encik Rahman.

“Kadangkala, kami sekeluarga akan berkumpul di lobi hospital supaya dapat meluangkan masa sebagai satu keluarga walaupun hanya seketika sahaja.

“Apa-apa pun kami selalu ingat bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Tuhan tidak akan menguji kami sekiranya kami tidak dapat menanganinya,” tambahnya.

Meskipun ia mencabar, Cik Siti dan Encik Rahman melahirkan perasaan syukur menerima sokongan daripada rakan kerja dan juga keluarga mereka.

Dedikasi dan pengorbanan mereka dalam menjaga Sumayyah telah memainkan peranan yang besar dalam membentuknya menjadi seorang anak yang ceria.

Sehingga kini, ia difahamkan bahawa Sumayyah akan terus menjalani kehidupan yang berbeza daripada kanak-kanak lain. Apabila membesar, beliau mungkin harus menjalani pembedahan untuk kontraktur leher atau ‘neck contracture’.

Keadaan ini adalah apabila leher menjadi tegang lantas menghalang pergerakan.

Atas pengorbanan Cik Siti dan Encik Rahman sebagai ibu bapa, mereka menerima Anugerah Penjaga Inspirasi oleh SingHealth baru-baru ini. Mereka telah dicalonkan oleh SGH bagi anugerah itu.

Pengiktirafan dan anugerah tersebut diharapkan dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada individu-individu lain yang sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan dan penjagaan.

Mengulas tentang anugerah itu, Encik Rahman berkata:

“Apa yang kami lakukan adalah menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

“Saya rasa sesiapa pun akan melakukannya sekiranya ia adalah anak mereka.”

*Artikel ini telah disemak supaya ia menjadi lebih jelas dan tepat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >