Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: WARGA BERBAKTI

Tak jemu-jemu sebar mesej mengenai keharmonian kaum di SG

Oct 12, 2021 | 05:30 AM



  • Mengasaskan hash.peace yang diterajui belia sebagai wadah bincang isu perkauman secara terbuka, bertanggungjawab

  • Sumbangan Nazhath Faheema diiktiraf apabila diberi Anugerah Insan Baik di majlis Anugerah Presiden bagi Sukarelawan dan Dermawan 2021



SETIAP kali adanya perbincangan mengenai isu perkauman, setiap orang sudah pun ada prasangka yang tertanam dalam diri masing-masing yang kadangkala tidak disedari oleh individu itu sendiri.



Atas kesedaran itulah Cik Nazhath Faheema Nazeer Khan mengasaskan hash.peace pada Disember 2015, sebuah kumpulan sokongan diterajui belia, dengan tujuan memupuk keharmonian sosial merangkumi kaum, agama dan hal identiti kepelbagaian lain.



Sebelum itu, beliau sudah pun aktif melakukan kerja sukarelawan menangani isu kandungan radikal dalam talian sebagai duta belia Muslim bagi sebuah program keamanan di bawah Jamiyah.



"Saya dapati bahawa setiap kali kita bercakap tentang suatu isu kaum atau tentang orang muda menjadi radikal dan mahu membuat serangan, ia datang daripada dua idea luas - iaitu dipengaruhi ideologi ekstremis, dan satu lagi ialah mempunyai pemikiran yang eksklusif dan tidak terbuka kepada kepelbagaian.



"Saya rasa perlu ada mesej untuk menangani isu ini," kata beliau.



Cik Faheema, 36 tahun, berkata apabila beliau memulakan hash.peace, matlamat beliau adalah untuk membawa kesedaran kepada orang yang terdekat dalam kehidupannya seperti anggota keluarga, sahabat dan rakan sekerja.



Ini misalnya berkongsi maklumat mengenai kandungan dalam talian yang sengaja ingin melaga-lagakan dan memecah-belahkan masyarakat.



Namun, usahanya kemudian semakin berkembang luas.



Cik Faheema mula menganjurkan kegiatan Heritage Saturday untuk membawa peserta ke pusat warisan dan rumah ibadah yang berlainan supaya mereka dapat mengenali kaum dan agama yang berbeza dengan lebih mendalam.



Hari ini, hash.peace mengadakan juga pelbagai siri perbincangan dan forum, seperti siri Hidup Dengan Perkauman yang menyediakan ruang bagi individu berkongsi dan bercakap tentang diskriminasi dan prasangka yang dialami, dan Perbincangan Dalam Etnik untuk meningkatkan kesedaran tentang masyarakat etnik yang berbeza dalam kumpulan kaum lebih besar Cina, Melayu, India dan lain-lain di Singapura.



Malah, hash.peace telah didaftarkan sebagai sebuah persatuan di bawah Akta Pendaftaran Persatuan di Singapura pada tahun ini.



Usaha Cik Faheema itu mendapat pengiktirafan besar semalam - beliau menerima Anugerah Insan Baik di majlis Anugerah Presiden bagi Sukarelawan dan Dermawan (PVPA) 2021 anjuran Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional (NVPC) di Istana.



Anugerah Insan Baik itu mengiktiraf individu yang telah membuat sumbangan luar biasa dan secara sukarela memberikan masa, bakat, harta dan/atau suara mereka untuk mewujudkan kesan positif dalam masyarakat.



Secara keseluruhan, seramai 12 individu dan pertubuhan menerima Anugerah Presiden bagi Sukarelawan dan Dermawan tahun ini.



Sebagai sebahagian usahanya di hash.peace itu, Cik Faheema telah membangunkan model dipanggil R2D2 (menyelidik, merenung, berbincang dan membangunkan) yang menggalak aktivisme bertanggungjawab untuk mencapai keharmonian sosial yang mampan.



Di bawah model ini, belia digalak melakukan kajian, membaca daripada pelbagai sumber dan membincangkan tentang topik yang dikaji untuk membangunkan pandangan atau huraian sendiri.



"Anak-anak muda yang datang ke hash.peace mula percaya dengan model ini dan mereka menggunakannya, termasuk apabila kami membincangkan tentang isu seperti tudung atau hak keistimewaan orang Cina. Kami akan melakukan banyak kajian terdahulu dan sebagainya," kata beliau.



"Apabila anda mula melakukan proses ini, ia menjadi satu tabiat kerana anda sedar anda tidak akan dapat membangunkan pandangan yang baik melainkan anda melakukan langkah-langkah seperti itu.



"Sebab di sebalik R2D2 adalah untuk memastikan sokongan yang bertanggungjawab untuk keharmonian sosial," tambahnya, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam Pengajian Asia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Selain hash.peace, Cik Faheema juga pengerusi bagi kumpulan belia di Jamiyah, yang menyelaraskan pelbagai kegiatan sukarelawan.



Ini seperti membantu Bank Makanan Jamiyah untuk membungkus dan mengagihkan keperluan makanan yang didermakan kepada lebih 900 keluarga susah dan menjadi mentor kepada pasukan yang menganjurkan persidangan Asean Youth UnConference pada Mei lalu.



Bagi individu yang berminat melakukan kerja-kerja relawan, Cik Faheema berkata mereka boleh bermula dengan usaha kecil, seperti bercakap tentang isu yang mereka mahu perjuangkan.



Beliau memberi contoh isu ejen hartanah yang mengeluarkan iklan mahu menyewakan rumah kepada individu atau keluarga hanya daripada kaum atau agama tertentu atas permintaan klien mereka.



Bagi isu ini, Cik Faheema telah menguar-uarkan di media sosialnya untuk mengajak ejen hartanah tampil menyertai usaha keharmonian sosial dan menangani isu itu bersama.



"Tidak ada sesiapa yang mahu menyerang sesiapa pun. Kami hanya mahu mendengar pandangan semua pihak dan melihat apa yang kami boleh lakukan untuk menangani isu ini. Mungkin bukan hari ini oleh saya, mungkin esok oleh orang lain tetapi mari kita letakkan asasnya.



"Anda boleh bercakap tentang suatu isu itu di dalam talian, tetapi jika anda dapat mengusahakannya dan membantu walaupun untuk satu situasi itu, anda telah melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat," kata beliau.




" Anak-anak muda yang datang ke hash.peace mula percaya dengan model ini dan mereka menggunakannya, termasuk apabila kami membincangkan tentang isu seperti tudung atau hak keistimewaan orang Cina. Kami akan melakukan banyak kajian terdahulu dan sebagainya. Apabila anda mula melakukan proses ini, ia menjadi satu tabiat kerana anda sedar anda tidak akan dapat membangunkan pandangan yang baik melainkan anda melakukan langkah-langkah seperti itu. Sebab di sebalik R2D2 adalah untuk memastikan sokongan yang bertanggungjawab untuk keharmonian sosial."



- Cik Nazhath Faheema Nazeer Khan, pengasas hash.peace, mengenai model dipanggil R2D2 (menyelidik, merenung, berbincang dan membangunkan) bagi menggalak aktivisme bertanggungjawab untuk mencapai keharmonian sosial yang mampan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >