Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSONALITI

Tanya apa saja demi persefahaman

May 20, 2018 | 05:30 AM



MENDENGAR rintihan mangsa serangan perkauman membuat hatinya bagai disayat sembilu bisa.



Yang paling menjentik tangkai hati ialah nasib mangsa tidak berdosa, terutama wanita bertudung yang pakaian mereka diragut orang tidak dikenali gara-gara demam Islamofobia di serata dunia.



Insiden seperti itulah yang mencetus kesedaran mendalam dan menjadi daya perangsang Cik Shahrany Hassan memupuk persefahaman antara kaum di sini.



Antara lain, wanita berusia 43 tahun itu terlibat dengan penubuhan wadah Ask Me Anything (AMA), yang bertujuan menyemai keharmonian kaum menerusi dialog dan acara silang kaum dan agama.



Sejak ditubuhkan tahun lalu, badan yang menerima dana antara lain daripada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) itu telah menjalankan empat acara silang agama.



Sejauh ini, lebih 400 orang telah menyertai kegiatan yang memberi peluang kepada peserta meleraikan kemusykilan tentang agama Islam, Buddha dan Kristian menerusi taklimat panel dan perbincangan berkumpulan.



Acara selanjutnya pada 26 Mei ini akan membincangkan isu jihad dalam Islam.



"Kempen Ask Me Anything ini mahu mendidik orang ramai mengenai asas agama utama di Singapura dan memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.



"Saya mahu menyediakan wadah kepada orang ramai, terutama belia, untuk berbincang mengenai isu yang menjadi keprihatinan.



"Ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan akhirnya menggalak mereka melakukan tindakan yang membawa faedah,'' katanya, yang juga pemilik L Matters Pte Ltd, firma rujukan khidmat guaman.



Antara topik yang menarik perhatian peserta dalam acara AMA ialah pandangan agama tentang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), persamaan jantina, pernikahan silang agama dan orientasi berlainan dalam agama.



"Dengan berbincang mengenai isu-isu ini, kita dapat mengenali satu sama lain dengan lebih erat.



"Ini boleh memupuk persefahaman yang akan membawa kepada kepercayaan dan penerimaan, dan bukan sekadar toleransi,'' ujar ibu dua anak - Md Aqil Dany, 15 tahun, dan Alyssa Dyna, 13 tahun - itu.



Bekas pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS) itu siswazah pengajian perhubungan Universiti Simon Fraser di Canada.



Selepas lebih sedekad dalam sektor swasta, beliau menyertai Mahkamah Negara sebagai Penolong Pengarah dan kemudian berpindah ke Persatuan Guaman Singapura untuk menjadi pengarah.



Pada 2013, beliau meninggalkan kerjaya tersebut untuk menceburi bidang niaga.



Selain AMA, Cik Shahrany gigih menguruskan badan amal berdaftar yang diasaskannya, HYFY Ltd, yang antara lain menjalankan program bimbingan belia berisiko menerusi sukan seperti bola sepak.



Suaminya Jahsh Ruzzman jurulatih bola sepak dengan F-17 Academy, yang diasaskan legenda bola sepak Fandi Ahmad.



Mengenai rancangan masa depan, wanita periang yang tidak lokek senyuman itu berkata beliau bekerjasama dengan sekumpulan asatizah untuk menganjurkan seminar agama Islam dalam bahasa Inggeris mengenai isu semasa yang menarik perhatian belia.



"Saya dapati ramai belia berminat mengetahui tentang agama. Tetapi mereka tidak selesa dengan kuliah agama yang disampaikan sehala.



"Sebaliknya mereka mahukan interaksi, peluang bertanya dan berbincang,'' ujarnya, yang juga anggota kumpulan kerja Majlis Integrasi Nasional (NIC) dan anggota Jawatankuasa Peringatan Pengasas.



Buat masa ini, beliau dan beberapa teman melakar laman bertajuk seekinganswers.sg.



Laman tersebut memberi peluang kepada pengguna Internet mengemukakan persoalan dan kemusykilan tentang Islam.



"Saya libatkan diri kerana saya mahu membuat perbezaan.



"Anak saya sedang membesar dan saya mahu menyumbang demi kepentingan dan masa depan masyarakat, terutama belia termasuk anak saya.



"Mereka mungkin belum faham sepenuhnya apa yang saya cuba lakukan, tetapi satu hari nanti, mungkin mereka akan faham.



"Lagipun kalau bukan saya yang lakukan, siapa lagi? Dan kalau bukan sekarang, bila lagi?'' katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >