Topic followed successfully
Go to BHkuTarikh akhir lebih awal bagi syarikat lapor jumlah bahan sisa dijana
Tarikh akhir lebih awal bagi syarikat lapor jumlah bahan sisa dijana
Langkah bagi mengurangi penjanaan sisa di negara ini
Tarikh akhir lebih awal bagi syarikat lapor jumlah bahan sisa dijana
SYARIKAT di sini perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jenis bahan bungkusan yang digunakan, setahun lebih awal daripada yang dijadualkan, sebagai sebahagian langkah yang diambil Singapura untuk mengurangkan penjanaan sisa.
Menjelang akhir 2020, syarikat seperti itu - daripada pasar raya kepada pengimport - perlu menyerahkan kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) laporan tahunan yang mengandungi jenis dan jumlah bahan pembungkus digunakan serta rancangan untuk mengurangkan sisa.
Perkembangan ini antara beberapa usaha yang diumumkan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam ucapannya sempena membuka tirai Sidang Puncak Pemimpin Sekitaran Bersih (CELS) di Marina Bay Sands semalam.
Katanya, rancangan itu akan diterapkan dalam Pelan Induk Sisa Sifar yang akan diterbitkan tahun depan.
Encik Masagos berkata:
"Kami akan mempercepatkan pelancaran rangka kerja laporan mandatori bagi data pembungkusan dan rancangan pengurangan sisa dari 2021, sebagaimana yang telah diumumkan, kepada 2020."
Perubahan itu bermakna syarikat terjejas perlu menyerahkan laporan pertama pada 2021.
Sebelum ini, syarikat perlu mengumpul data dan menyerahkan laporan pertama pada 2022.
Dalam laporannya, Encik Masagos berkata pemerintah juga sedang menyelidik dari sudut praktikal sama ada syarikat boleh dipertanggungjawab bagi apa yang berlaku terhadap sisa bungkusan atau plastik yang dibuang.
Rangka kerja Tanggungjawab Penghasil Diperluas (EPR), pada 2021, menggesa penghasil peralatan elektrik dan elektronik supaya memastikan produk mereka diambil dan dikitar semula atau dibuang di penghujung hayat mereka.
"Mempertangungjawabkan penghasil ke atas akhir riwayat produk mereka memberi insentif kepada mereka (penghasil) untuk menghasilkan produk yang lebih mudah dikitar semula, atau untuk mengilhamkan cara perniagaan ekonomi sepusingan yang inovatif," ujar beliau.
Namun, menurut Encik Masagos, undang-undang ketat pula boleh mengehadkan ciptaan idea baru.
Justeru, beliau mengumumkan bahawa pemerintah akan mengadakan makmal ujian kurang undang-undang, atau regulatory sandbox, bagi sektor perkhidmatan sekitaran, yang membenarkan syarikat mencuba teknologi baru dalam sekitaran undang-undang lebih longgar.
Di acara itu, NEA juga mengiktiraf 13 syarikat yang menandatangani Perjanjian Pembungkusan Singapura kerana komitmen mereka untuk mengurangkan sisa pembungkusan.
Syarikat itu termasuk Nestle Singapore dan Wildlife Reservs Singapore yang secara bersama mengurangkan sekitar 46,000 tan sisa pembungkusan, memadai untuk mengisi 88 kolam renang saiz Olimpik.
Langkah itu juga membantu mereka menjimatkan lebih $100 juta.
CELS diadakan sempena Sidang Puncak CleanEnviro Singapura 2018 yang berlangsung dari Ahad lalu sehingga esok.
"Mempertangungjawabkan penghasil ke atas akhir riwayat produk mereka memberi insentif kepada mereka untuk menghasilkan produk yang lebih mudah dikitar semula, atau untuk mengilhamkan cara perniagaan ekonomi sepusingan yang inovatif." - Menteri Sekitaran dan Sumber Air Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

